Mesej utama
-
Dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS), mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kelahiran hidup, kehamilan berganda (kembar atau kembar tiga), kehamilan atau kadar keguguran antara gonadotropin daripada urin (dihasilkan daripada urin wanita menopaus) dan hormon perangsang folikel rekombinan (dibina dengan teknologi DNA rekombinan).
-
Untuk gonadotropin menopaus manusia (juga berasal daripada urin wanita menopause) berbanding hormon perangsang folikel urinari yang telah dimurnikan, kami tidak pasti sama ada satu atau yang lain memperbaik atau mengurangkan peluang kelahiran hidup, kehamilan berganda, kehamilan atau keguguran.
-
Dalam kalangan wanita yang tidak hamil selepas mengambil clomiphene citrate, gonadotropin mungkin menyebabkan lebih banyak kelahiran hidup dan kehamilan berbanding rawatan berterusan dengan clomiphene citrate, tanpa meningkatkan risiko mendapat anak kembar atau kembar tiga. Gonadotropin boleh meningkatkan risiko keguguran.
Apakah masalahnya?
Satu daripada tujuh pasangan di seluruh dunia boleh mengalami ketidaksuburan, yang ditakrifkan sebagai menghadapi masalah untuk hamil selepas satu tahun mencuba. Kemandulan disebabkan oleh masalah pembebasan telur (ovulasi) semasa kitaran haid adalah sebab yang paling lazim untuk wanita mendapatkan kaunseling atau rawatan. Mereka dirawat dengan merangsang pembebasan telur dari ovari dengan ubat, yang dipanggil 'induksi ovulasi'. Ini biasanya dilakukan dengan pil yang mengandungi clomiphene citrate, sebagai pilihan pertama rawatan. Jika wanita tidak respon kepada clomiphene, pilihan kedua rawatan yang paling lazim ialah rangsangan pembebasan telur dengan gonadotropin, yang merupakan ubat suntikan.
Apakah rawatan sedia ada?
Pelbagai jenis gonadotropin telah dihasilkan dengan memproses urin wanita menopause. Gonadotropin ini termasuk gonadotropin menopaus manusia, tersedia dalam bentuk yang ditulenkan dan sangat ditulenkan, dan hormon perangsang folikel yang ditulenkan dan sangat ditulenkan. Akhirnya, hormon perangsang folikel rekombinan tiruan dihasilkan untuk mendapatkan ketulenan yang lebih tinggi. Wanita yang ovulasi, tetapi tidak hamil dalam tempoh enam kitaran rawatan dengan clomiphene citrate, boleh teruskan dengan clomiphene citrate atau bertukar kepada gonadotropin. Gonadotropin boleh menyebabkan perkembangan folikel berbilang. Untuk mengelak kehamilan berganda dan sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS), yang merupakan satu keadaan serius, kitaran perlu dibatalkan.
Adalah penting untuk mengetahui ubat mana yang paling berkesan bagi membolehkan doktor dan wanita membuat keputusan termaklum tentang rawatan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu gonadotropin mana yang merupakan pilihan terbaik untuk mencetuskan pembebasan telur dalam kalangan wanita dengan PCOS yang tidak mengalami ovulasi atau hamil selepas mengambil pil clomiphene citrate.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan pelbagai gonadotropin untuk merangsang ovulasi dalam kalangan wanita dengan PCOS. Kami merumus keputusan kajian yang disertakan, dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Ulasan itu menyertakan 15 kajian dengan 2348 wanita dengan PCOS. Sepuluh kajian membandingkan FSH rekombinan dengan gonadotropin yang berasal dari urin. Tiga kajian membandingkan gonadotropin menopaus manusia dengan hormon perangsang folikel urin yang ditulenkan dan satu kajian membandingkan gonadotropin dengan clomiphene citrate yang berterusan.
Keputusan utama
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kelahiran hidup, kehamilan berganda, kehamilan klinikal atau kadar keguguran antara gonadotropin daripada urin yang ditulenkan dan hormon perangsang folikel rekombinan. Kami tidak pasti sama ada gonadotropin menopaus manusia memperbaik hasil kehamilan dalam kalangan wanita dengan PCOS berbanding hormon perangsang folikel urin. Kami tidak pasti sama ada sebarang rawatan mengurangkan risiko OHSS atau kehamilan ektopik.
Berbanding rawatan berterusan dengan clomiphene citrate, gonadotropin mungkin mengakibatkan lebih banyak kelahiran hidup dan kehamilan tanpa meningkatkan kadar kehamilan berganda. Gonadotropin mungkin menyebabkan lebih banyak keguguran berbanding clomiphene citrate, manakala tiada kes OHSS.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari sangat rendah kepada sederhana. Kebanyakan kajian mempunyai saiz sampel kecil dan telah lama dijalankan, bermakna tiada maklumat penting tentang kaedah kajian. Sepuluh daripada lima belas kajian yang disertakan dalam ulasan ini melaporkan penaja komersial. Kami tidak mengambil kira kos dan kemudahan; kami menggalakkan pesakit untuk membincangkan kos, kemudahan dan kesan tidak diingini dengan kakitangan penjagaan kesihatan mereka.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ini adalah ulasan kemas kini. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).