Langkau ke kandungan utama

Adakah putaran manual membantu untuk mencegah kelahiran secara pembedahan bagi wanita yang bayinya menghadap ke arah yang salah semasa proses bersalin?

Mesej utama

  • Semasa wanita dalam proses bersalin dan serviks terbuka sepenuhnya, tetapi kepala bayi menghadap ke arah yang salah (ke hadapan atau sisi ibu), masih tidak jelas sama ada dengan memusingkan kepala bayi dengan tangan (putaran manual) supaya ia menghadap ke arah belakang ibunya (kedudukan biasa) membantu dalam mengurangkan keperluan untuk kelahiran caesarean, vakum atau kelahiran forsep.

  • Lebih banyak kajian yang direka bentuk dengan baik diperlukan untuk memahami dengan lebih jelas sama ada putaran manual berkesan dan selamat.

Apakah putaran manual?

Putaran manual ialah satu prosedur di mana doktor atau bidan menggunakan tangan atau jari untuk memusingkan kepala bayi secara perlahan-lahan ke kedudukan biasa (menghadap ke arah belakang ibu) semasa proses kelahiran, biasanya sebaik sahaja serviks terbuka sepenuhnya.

Mengapakah ini penting untuk wanita yang sedang bersalin apabila bayinya menghadap ke arah yang salah?

Apabila kepala bayi tidak berada dalam kedudukan yang ideal semasa kelahiran - menghadap ke arah hadapan ibu (occiput posterior, OP) atau sisi (occiput transverse, OT), dan bukannya pada kedudukan biasa menghadap ke arah belakang ibu (occiput anterior, OA) - ia boleh meningkatkan risiko kelahiran tidak berjalan lancar, komplikasi seperti pendarahan ibu, trauma serius pada lantai pelvis dan keperluan untuk bersalin secara vakum, forsep, atau caesarean. Memusingkan kepala bayi kepada kedudukan OA mungkin membantu mengelakkan intervensi tersebut.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada putaran manual adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa (atau penjagaan biasa) untuk mengelakkan kelahiran secara pembedahan (vakum, forsep atau kelahiran caesarean) dalam kalangan wanita yang bayinya berada pada kedudukan yang salah semasa bersalin.

Kami berminat untuk mengetahui kesan putaran manual terhadap hasil yang lain, termasuk: kematian ibu dan kematian bayi perinatal, koyakan serius kepada perineum semasa kelahiran (darjah ketiga atau keempat) dan pendarahan serius selepas kelahiran (kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat sama ada putaran manual memberikan manfaat atau mudarat kepada wanita dan bayi mereka berbanding dengan prosedur palsu (pura-pura) atau penjagaan biasa. Kami membandingkan dan merumuskan hasil-hasil tersebut serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui enam kajian yang melibatkan 1002 wanita mengandung dan bayi mereka. Kajian semuanya dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi. Semua wanita mempunyai kehamilan cukup bulan (sekurang-kurangnya 37 minggu atau lebih), serviks telah terbuka sepenuhnya, dan kebanyakannya menerima epidural untuk melegakan kesakitan.

Keputusan utama

Berbanding dengan tanpa putaran manual, putaran manual mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar keseluruhan kelahiran secara pembedahan. Tiada kematian ibu atau bayi perinatal dalam kedua-dua kumpulan.

Putaran manual mungkin tidak mengurangkan risiko kelahiran secara pembedahan caesarean atau menggunakan bantuan peralatan (forseps atau vakum). Selain itu, terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang mengalami komplikasi, termasuk koyakan perineum darjah ketiga atau keempat, atau pendarahan serius selepas kelahiran.

Satu lagi kajian sedang berjalan (mendaftarkan 46 wanita). Namun, kajian yang jauh lebih besar diperlukan untuk mengesan perbezaan yang bermakna. Kajian pada masa hadapan juga diperlukan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan yang terhad terhadap bukti ini, terutamanya disebabkan kebimbangan tentang reka bentuk kajian (khususnya, dalam tiga daripada enam kajian, wanita mengetahui rawatan yang mereka terima), juga kerana jumlah keseluruhan wanita yang terlibat dalam kajian ini adalah kecil.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Phipps H, Osborn DA, Zhang R, Cooper C, Hyett JA, de Vries BS. Prophylactic manual rotation of the fetal head (manual rotation alone) to reduce operative delivery and complications for mother and babies. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD009298. DOI: 10.1002/14651858.CD009298.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan