Mesej utama
Kanak-kanak dengan tahap penguasaan bahasa yang rendah, atau low language proficiency (LLP), mungkin menghadapi masalah dalam pertuturan, pemahaman bahasa, dan literasi (keupayaan membaca), apabila mereka semakin membesar. Mereka juga mengalami kesukaran psikologi dan sosial pada kemudian hari, tetapi bukti bagi hasil ini adalah kurang pasti berbanding bukti bagi hasil pembelajaran.
Tidak jelas sama ada kemahiran bahasa awal mempengaruhi tahap berdikari dan penyertaan dalam kehidupan harian pada masa hadapan, kerana bukti yang tersedia adalah sangat terhad dan tidak pasti.
Kami memerlukan lebih banyak kajian jangka panjang, berkualiti tinggi dengan sampel yang besar dan kumpulan perbandingan untuk memahami kanak-kanak yang paling terjejas dan cara kesukaran bahasa awal mempengaruhi hasil kemudian, terutamanya kebebasan dan penyertaan dalam kehidupan seharian, di mana bukti semasa adalah terhad.
Tahap penguasaan bahasa yang rendah dalam kalangan kanak-kanak
Kanak-kanak yang mengalami LLP menghadapi kesukaran dalam pertuturan, pemahaman, atau penggunaan bahasa pada peringkat awal kanak-kanak. Kesukaran ini boleh mempengaruhi cara kanak-kanak belajar membaca, berkomunikasi dengan orang lain, dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian di sekolah serta di rumah. Bagi sesetengah kanak-kanak, kesukaran bahasa awal bertambah baik dari semasa ke semasa. Bagi kanak-kanak lain pula, kesukaran tersebut berterusan apabila mereka membesar dan boleh menjejaskan pembelajaran, hubungan sosial, serta tahap berdikari pada kemudian hari.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada kanak-kanak yang mempunyai kemahiran bahasa rendah pada usia empat hingga lapan tahun terus mengalami masalah berkaitan bahasa, pembacaan, dan kualiti hidup apabila mereka membesar.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang melibatkan kanak-kanak berusia antara empat hingga lapan tahun yang dikenal pasti mempunyai LLP. Kanak-kanak ini sama ada mendapat skor di bawah purata dalam ujian bahasa atau mempunyai diagnosis klinikal. Kami menganalisis hasil berkaitan bahasa dan pembacaan, serta lima bidang kualiti hidup:
kesejahteraan psikologi (kesihatan mental)
kesihatan fizikal
kemandirian
hubungan sosial (keupayaan menjalin persahabatan)
penyertaan dalam kehidupan harian seperti pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat
Kami menggabungkan keputusan kajian menggunakan kaedah statistik (meta-analisis), dan mengambil kira bahawa sesetengah hasil mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 80 kajian (dijalankan di Amerika Utara atau Eropah) yang mengikuti kanak-kanak dengan LLP sehingga usia remaja atau dewasa dan melaporkan hasil daripada 15 kumpulan kanak-kanak yang berbeza (kohort), dengan jumlah keseluruhan kira-kira 28,800 kanak-kanak.
Kanak-kanak yang mengalami LLP berkemungkinan besar akan terus:
mengalami kesukaran bahasa dan pembacaan sehingga usia remaja dan dewasa.
Kesukaran ini adalah ketara dan konsisten merentas kajian. Kanak-kanak yang mempunyai LLP juga mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami:
masalah kesihatan mental, seperti kemurungan atau keresahan
kesukaran menjalin persahabatan
tahap berdikari yang lebih rendah dalam kehidupan harian
Kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mengetahui sama ada mereka mengalami masalah berkaitan kesihatan fizikal.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Sesetengah kajian dalam ulasan ini mempunyai keterbatasan yang mempengaruhi tahap keyakinan kami terhadap keputusan.
Kami mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kanak-kanak dengan LLP mengalami kesukaran literasi, iaitu keupayaan membaca, apabila mereka membesar.
Kami mempunyai keyakinan yang sederhana bahawa kanak-kanak dengan LLP mengalami kesukaran bahasa apabila mereka membesar, kerana sesetengah kanak-kanak dalam kajian-kajian tersebut telah tercicir daripada susulan. Walau bagaimanapun, keputusan kami secara umumnya konsisten.
Kami berkeyakinan sederhana bahawa kanak-kanak dengan LLP mengalami lebih banyak masalah kesihatan mental, (contohnya masalah menjalin persahabatan), dan kekurangan penyertaan dalam kehidupan harian apabila mereka membesar. Keyakinan kami hanya sederhana kerana terdapat kajian yang bersaiz kecil, bagi penyertaan, atau terdapat variasi antara kajian. Secara umumnya, corak adalah konsisten tetapi bukti lanjut mungkin mengubah keputusan kami.
Kami mempunyai keyakinan yang rendah bahawa kanak-kanak dengan LLP mengalami kesukaran untuk menjadi berdikari apabila mereka membesar, kerana terdapat terlalu sedikit kajian. Bukti lanjut berkemungkinan akan mengubah keputusan kami.
Kami tidak yakin bahawa kanak-kanak dengan LLP mengalami kesukaran berkaitan kesihatan fizikal apabila mereka membesar. Bukti ini adalah sangat tidak pasti.
Cara tahap penguasaan bahasa yang rendah dihuraikan dan diukur kadangkala berbeza antara kajian. Sesetengah hasil — terutamanya kesihatan fizikal, tahap berdikari, dan penyertaan dalam kehidupan harian, hanya dilaporkan dalam beberapa kajian sahaja. Sesetengah kajian adalah kecil atau hanya memasukkan kumpulan kanak-kanak tertentu. Faktor penting, seperti IQ bukan lisan atau keadaan kesihatan lain, tidak selalu dilaporkan. Keputusan kajian juga berbeza antara kajian, yang bermaksud tidak semua kanak-kanak dengan LLP terjejas dengan cara yang sama. Corak keseluruhan adalah konsisten, namun sesetengah dapatan perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




