Langkau ke kandungan utama

Adakah pemberian fototerapi pada intensiti yang tinggi berfungsi dengan lebih baik untuk bayi baru lahir dengan penyakit jaundis?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Untuk bayi yang baru lahir dengan penyakit jaundis:

    • Ianya tidak jelas sama ada fototerapi dos tinggi berbanding dengan dos rendah mengurangkan kejadian kecederaan otak bayi baru lahir, palsi serebral, atau kematian sebelum meninggalkan hospital.

    • Fototerapi dos tinggi berbanding dengan dos rendah mungkin sedikit mengurangkan tahap bilirubin 12 sehingga 48 jam selepas memulakan rawatan.

  • Kami memerlukan kajian yang lebih besar dan lebih baik untuk menyiasat dos fototerapi yang berbeza untuk menentukan jumlah terbaik untuk digunakan bagi meningkatkan kesihatan bayi.

Apakah jaundis neonatal?

Jaundis (penguningan kulit dan mata) adalah keadaan yang paling biasa yang mempengaruhi bayi baru lahir. Ia disebabkan oleh bilirubin (pigmen kekuningan) di dalam darah. Bilirubin dihasilkan oleh badan semasa pemecahan sel darah merah lama yang berlaku secara semula jadi. Apabila jumlah bilirubin lebih besar daripada kemampuan bayi untuk menyingkirkannya - secara kencing atau melakukan pergerakan usus, ia terkumpul di dalam badan.

Apakah fototerapi?

Fototerapi (terapi cahaya) adalah rawatan utama untuk penyakit jaundis neonatal. Cahaya daripada peranti fototerapi diserap melalui kulit - sama seperti cahaya matahari. Fototerapi menggunakan cahaya khas yang membantu menukarkan bilirubin kepada bahan yang kurang berbahaya yang boleh disingkirkan oleh bayi semasa kencing atau melakukan pergerakan usus. Fototerapi boleh diberikan pada dos yang berbeza. Kami menentukan dos sebagai kekuatan cahaya; penggunaan peranti cahaya yang berbeza; atau jarak cahaya daripada kulit bayi.

Mengapakah merawat penyakit jaundis penting?

Jaundis boleh menyebabkan masalah perkembangan dan fungsi otak. Contohnya termasuk ensefalopati (kerosakan atau penyakit yang mempengaruhi otak), yang boleh membawa kepada kernikterus, sejenis kerosakan otak yang kekal yang boleh menyebabkan palsi serebral, iaitu gangguan pergerakan yang mempengaruhi kawalan otot. Kecederaan otak yang teruk disebabkan jaundis boleh menyebabkan kematian.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pemberian dos fototerapi yang lebih tinggi kepada bayi baru lahir boleh mengurangkan bilirubin dengan lebih cepat dan mengurangkan risiko masalah jangka panjang atau kematian disebabkan oleh kecederaan atau kerosakan otak.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan dos fototerapi yang berbeza untuk melihat sekiranya dos yang berbeza mempunyai kesan yang berbeza. Kami telah membandingkan peranti fototerapi yang berbeza; kekuatan cahaya yang berbeza; dan jarak yang berbeza antara kulit bayi dan cahaya fototerapi. Kami merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian dan juga persetujuan antara kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui 41 kajian dengan 6927 bayi baru lahir yang telah dirawat dengan fototerapi untuk penyakit jaundis. Rawatan fototerapi dalam kajian berlangsung antara 16 hingga 60 jam.

Keputusan utama

Pada bayi dengan penyakit jaundis:

  • Ia tidak jelas sekiranya dos fototerapi yang tinggi berbanding dengan dos rendah mengurangkan kejadian ensefalopati atau palsi serebral.

  • Fototerapi dos tinggi berbanding dengan dos rendah:

    • Mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian semasa berada di dalam hospital;

    • Mungkin mengurangkan tahap bilirubin secara sedikit pada 24 atau 48 jam selepas rawatan;

    • Mungkin mempunyai sedikit sehingga tiada kesan dalam mengurangkan tahap bilirubin pada 72 jam selepas rawatan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang hasil tersebut.

Tiada kajian yang telah melaporkan kejadian kernikterus.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Tiga faktor utama yang mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, dalam sekitar satu pertiga kajian, nampaknya orang dalam kajian tidak diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Ini bermakna perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan bukannya antara rawatan. Kedua, penemuan tentang tahap bilirubin sangat berbeza dalam kajian yang melaporkan hasil ini, dan kami tidak tahu sepenuhnya mengapa walaupun selepas penilaian terperinci. Ketiga, untuk hasil palsi serebral dan kematian, terdapat terlalu sedikit kajian dan peserta yang telah disertakan. Oleh sebab itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh tentang betapa baik dos fototerapi yang berbeza telah berfungsi.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga 09 Jun 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Lai NM, Ahmad Kamar A, Lee SWH, Ng KT, Fiander M, Cracknell J, Choo YM, Supported by the Cochrane Neonatal Group. High- versus low-dose phototherapy for neonatal jaundice. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 3. Art. No.: CD003308. DOI: 10.1002/14651858.CD003308.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan