Sejauh manakah keberkesanan antidepresan yang digunakan untuk merawat sakit kronik dan adakah ia menyebabkan kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

• Kami hanya yakin dengan keberkesanan satu antidepresan sahaja iaitu duloxetine. Kami mendapati bahawa duloxetine pada dos standard (60 mg) adalah berkesan dan tiada faedah tambahan sekiranya menggunakan dos yang lebih tinggi.

• Kami tidak pasti tentang kesan yang tidak diingini untuk sebarang antidepresan kerana data yang ada adalah sangat sedikit. Penyelidikan masa hadapan perlu menilai tentang perkara ini.

• Dalam amalan klinikal bagi merawat kesakitan kronik, duloxetine pada dos standard boleh dipertimbangkan sebelum mencuba antidepresan yang lain.

• Mengambilkira ‘person-centred approach’ adalah kritikal dalam rawatan kesakitan kronik. Kesakitan merupakan pengalaman yang bersifat individu dan ubat-ubatan tertentu mungkin berkesan terhadap individu tertentu walaupun tiada bukti penyelidikan yang kukuh ataupun tiada bukti penyelidikan. Kajian masa hadapan harus dilanjutkan dengan lebih lama dan memberi tumpuan terhadap kesan antidepresan yang tidak diingini.

Apakah kesakitan kronik?

Kesakitan kronik merupakan sebarang jenis kesakitan yang berlarutan selama lebih daripada tiga bulan. Lebih daripada satu pertiga manusia di seluruh dunia mengalami kesakitan kronik. Hal ini sering menjejaskan emosi dan kesejahteraan orang ramai serta keupayaan mereka untuk bekerja dan menjalankan tugas harian.

Bagaimanakah antidepresan merawat kesakitan kronik?

Antidepresan merupakan ubatan yang pada asalnya dihasilkan bagi merawat kemurungan. Jenis antidepresan yang berlainan berfungsi dengan cara yang berlainan (tersendiri). Antidepresan yang berfungsi dengan cara yang sama dikumpulkan dalam beberapa kelas. Antara kelas yang paling biasa ialah perencat selektif pengambilan semula serotonin (SSRI), antidepresan trisiklik (TCA) dan perencat pengambilan semula serotonin-noradrenalin (SNRI). Penyelidikan mencadangkan bahawa antidepresan mungkin berkesan untuk merawat kesakitan kerana bahan kimia yang mempengaruhi emosi juga mungkin boleh mempengaruhi rasa sakit.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sekiranya ubat-ubatan antidepresan berkesan untuk merawat kesakitan kronik dan adakah ubat-ubatan ini menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami membuat carian terhadap kajian yang membandingkan mana-mana antidepresan dengan rawatan lain untuk sebarang jenis kesakitan kronik (kecuali sakit kepala). Kami membandingkan semua rawatan antara satu dengan yang lain menggunakan kaedah statistik yang dipanggil meta-analisis rangkaian. Kaedah ini membolehkan kita menentukan kedudukan antidepresan yang berbeza mengikut tahap keberkesanan daripada yang terbaik kepada yang paling teruk.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 176 buah kajian yang melibatkan 28,664 orang yang mempunyai kesakitan kronik. Kajian-kajian ini menyiasat 89 jenis rawatan berbeza atau kombinasi rawatan. Kajian tersebut menumpukan penyelidikan terhadap kesan antidepresan ke atas tiga jenis kesakitan yang berbeza: fibromialgia (59 kajian), sakit saraf (49 kajian) dan sakit otot dan sendi (contohnya osteoartritis atau sakit pinggang; 40 kajian). Kelas antidepresan yang paling banyak diselidik ialah SNRI (74 kajian), TCA (72 kajian) dan SSRI (34 kajian). Antidepresan yang paling banyak diselidik ialah: amitriptyline (sejenis TCA; 43 kajian); duloxetine (sejenis SNRI; 43 kajian) dan milnacipran (sejenis SNRI; 18 kajian). Daripada 146 kajian yang melaporkan sumber pembiayaan kajian mereka, sebanyak 72 kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal. Purata tempoh kajian berlangsung ialah selama 10 minggu.

Kebanyakan kajian membandingkan antidepresan dengan plasebo (yang kelihatan seperti ubat sebenar tetapi tidak mengandungi sebarang bahan aktif), tetapi sesetengah kajian membandingkan antidepresan dengan jenis ubatan yang berbeza, antidepresan yang berbeza, jenis rawatan yang berbeza (seperti fisioterapi) atau dos berbeza bagi antidepresan yang sama.

Kebanyakan kajian dalam ulasan ini melaporkan maklumat tentang pengurangan kesakitan dan kesan yang tidak diingini. Sebilangan kecil kajian melaporkan tentang kualiti hidup, tidur dan fungsi fizikal.

Keputusan utama

• Duloxetine mungkin mempunyai kesan yang sederhana dalam mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi fizikal. Ia merupakan antidepresan yang paling kami yakini. Dos duloxetine yang lebih tinggi mungkin tidak memberikan sebarang faedah tambahan berbanding dos standard. Bagi setiap 1000 orang yang mengambil duloxetine pada dos standard, 435 orang mengalami 50% kelegaan daripada kesakitan berbanding dengan 287 orang yang mengalami 50% kelegaan daripada kesakitan selepas pengambilan plasebo.

• Milnacipran mungkin mengurangkan kesakitan tetapi kami tidak yakin dengan keputusan ini seperti duloxetine kerana bilangan kajian yang sedikit dan penglibatan peserta yang sedikit.

• Kebanyakan kajian mengecualikan individu yang mengalami masalah kesihatan mental. Hal ini bermakna peserta sudah berada dalam julat 'normal' bagi diagnosis kerisauan dan kemurungan pada permulaan kajian. Ini menghadkan analisis kami untuk konteks emosi. Mirtazapine dan duloxetine boleh menambahbaik emosi tetapi kami sangat tidak pasti tentang kesannya.

• Kami tidak mengetahui kesan yang tidak diingini berikutan penggunaan antidepresan untuk kesakitan kronik. Tiada data yang mencukupi untuk memastikan kesan ini.

Apakah kelemahan bukti ini?

Masih terdapat beberapa soalan yang tidak dapat kami jawab:

• Selain duloxetine dan milnacipran, kami tidak mempunyai keyakinan terhadap keputusan daripada mana-mana antidepresan lain yang dilibatkan dalam ulasan ini kerana tiada kajian yang mencukupi.

• Kami tidak mengetahui keberkesanan antidepresan dalam merawat kesakitan dalam jangka masa panjang. Purata tempoh kajian hanyalah 10 minggu.

• Tiada bukti yang boleh dipercayai berkaitan keselamatan pengambilan antidepresan untuk kesakitan kronik bagi kedua-dua tempoh jangka pendek dan panjang.

• Kami tidak mengetahui sejauh mana keberkesanan antidepresan untuk individu yang mengalami kesakitan kronik dan juga kemurungan kerana kebanyakan kajian mengecualikan peserta yang mengalami kemurungan dan kerisauan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information