Antibiotik untuk radang paru-paru yang diperolehi di hospital dalam kalangan bayi baru lahir dan kanak-kanak

Soalan ulasan

Rejimen antibiotik manakah yang lebih selamat dan berkesan untuk merawat neonat (bayi baru lahir) dan kanak-kanak dengan radang paru-paru yang diperolehi di hospital?

Latar belakang

Pneumonia yang diperoleh di hospital ialah radang tisu satu atau kedua-dua paru-paru yang disebabkan oleh jangkitan yang berlaku semasa berada di hospital (iaitu 48 jam atau lebih selepas kemasukan ke hospital). Ia adalah salah satu jangkitan yang paling biasa diperolehi di hospital dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi. Kebanyakan pemahaman kita tentang radang paru-paru yang diperolehi di hospital dalam kalangan kanak-kanak adalah diperolehi daripada kajian orang dewasa. Untuk pengetahuan kami ini adalah ulasan pertama dengan meta-analisis yang menilai faedah dan bahaya rejimen antibiotik yang berbeza pada bayi baru lahir dan kanak-kanak dengan radang paru-paru yang diperolehi di hospital.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan empat kajian yang merawakkan 84 kanak-kanak dengan radang paru-paru yang diperolehi di hospital kepada rejimen antibiotik yang berbeza. Tiga kajian adalah kajian berbilang pusat dari Amerika Syarikat, Amerika Latin, Eropah, dan Afrika Selatan. Kajian Afrika Selatan memasukkan satu tapak di Malaysia. Setiap daripada empat kajian membandingkan rejimen antibiotik yang berbeza, seperti berikut: cefepime berbanding ceftazidime; linezolid berbanding vancomycin; meropenem berbanding cefotaxime; dan ceftobiprole berbanding cephalosporin.

Sumber pembiayaan kajian

Tiga kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal (Zeneca Pharmaceuticals, Pharmacia Corp, dan Basilea Pharmaceutica International Ltd.), yang menunjukkan kemungkinan risiko berat sebelah yang berkaitan dengan risiko kepentingan hak.

Keputusan utama

Setiap daripada empat kajian membandingkan rejimen antibiotik yang berbeza, seperti berikut: cefepime berbanding ceftazidime; linezolid berbanding vancomycin; meropenem berbanding cefotaxime; dan ceftobiprole berbanding cephalosporin.

Hanya satu kajian melaporkan hasil utama kematian dari semua punca dan kejadian buruk yang serius (komplikasi utama). Tiga kajian melaporkan hasil sekunder kegagalan rawatan. Dua kajian terutamanya memasukkan radang paru-paru yang diperolehi dari komuniti dan kanak-kanak yang dirawat di hospital dengan jangkitan bakteria, maka kanak-kanak dengan radang paru-paru yang diperolehi di hospital hanya membentuk sebahagian kumpulan daripada jumlah populasi kajian.

Di mana hasil dilaporkan, kepastian bukti adalah sangat rendah untuk setiap perbandingan. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang bermakna daripada keputusan berangka.

Tiada satu pun daripada kajian yang disertakan menilai kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kematian berkaitan radang paru-paru, atau kejadian buruk yang tidak serius (komplikasi kecil).

Kesimpulan

Bukti yang ada tidak menunjukkan satu rejimen antibiotik adalah lebih selamat dan lebih berkesan daripada yang lain untuk merawat bayi baru lahir dan kanak-kanak dengan radang paru-paru yang diperolehi di hospital. Penyelidikan lanjut adalah diperlukan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah sangat rendah. Keempat-empat kajian yang disertakan mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi (iaitu kajian telah direka sedemikian rupa sehingga keputusannya mungkin terpesong). Di samping itu, kajian yang disertakan melibatkan sedikit peserta, yang berkemungkinan membawa kepada keputusan yang tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information