Persepsi dan pengalaman pekerja-pekerja penjagaan kesihatan berkomunikasi dengan orang tua mengenai vaksinasi

Tujuan ulasan sistematik ini adalah untuk meneroka persepsi dan pengalaman pekerja-pekerja penjagaan kesihatan berkomunikasi dengan orang tua mengenai vaksinasi. Kami mencari dan menganalisis kajian-kajian kualitatif yang relevan dan menyertakan 11 kajian.

Mesej utama

Kami menemui beberapa kajian yang meneroka persepsi dan pengalaman pekerja-pekerja penjagaan kesihatan berkomunikasi dengan orang tua mengenai vaksinasi. Kajian-kajian yang kami temui menunjukkan bahawa pekerja-pekerja penjagaan kesihatan berbeza antara satu sama lain dalam apa yang mereka lihat tujuan komunikasi vaksin dan peranan orang tua dalam keputusan vaksin. Berdasarkan penemuan kami, kami menghasilkan satu set soalan untuk membantu perancang dan pengurus program apabila merancang atau melaksanakan strategi komunikasi vaksinasi antara pekerja penjagaan kesihatan dan orang tua.

Apakah yang dikaji ulasan ini?

Vaksin tersedia untuk mencegah penyakit berjangkit dalam orang tua, termasuk vaksin terhadap influenza bermusim, penyakit pneumokokus, herpes zoster (kayap) dan COVID-19. Tetapi orang tua tidak selalu menggunakan vaksin yang tersedia untuk mereka.

Komunikasi dengan pekerja-pekerja penjagaan kesihatan boleh memainkan peranan yang penting dalam keputusan orang tua untuk melakukan vaksinasi. Bagi menyokong keputusan yang tepat mengenai vaksinasi, pekerja-pekerja penjagaan kesihatan patut dapat mengenal pasti jurang pengetahuan, keperluan dan kebimbangan orang tua. Mereka juga patut dapat berkongsi dan berbincang maklumat mengenai risiko penyakit dan keterukan penyakit seseorang; keberkesanan dan keselamatan vaksin; dan maklumat praktikal mengenai bagaimana seseorang boleh mendapatkan vaksin. Oleh itu, pekerja-pekerja penjagaan kesihatan memerlukan kemahiran komunikasi yang baik dan mengikuti perkembangan terkini dengan aktif mengenai bukti terkini. Pemahaman mengenai persepsi dan pengalaman komunikasi vaksin mereka boleh membantu kami melatih dan menyokong pekerja-pekerja penjagaan kesihatan dan mereka strategi komunikasi yang baik.

Apakah penemuan utama ulasan ini?

Kami menyertakan 11 kajian dalam ulasan kami. Semua kajian adalah dari negara-negara berpendapatan tinggi. Kajian-kajian itu menumpukan kepada doktor, jururawat, ahli farmasi dan lain-lain yang bekerja di hospital, klinik, farmasi dan rumah jagaan. Pekerja-pekerja penjagaan kesihatan itu membincangkan pelbagai jenis vaksin, termasuk vaksin influenza, pneumokokus dan herpes zoster. Ulasan ini dijalankan sebelum vaksin COVID-19 tersedia.

Kami menurunkan keyakinan kami dalam beberapa penemuan dari keyakinan tinggi ke keyakinan sederhana, rendah atau sangat rendah. Salah satu sebabnya adalah bahawa beberapa penemuan hanya berdasarkan pada sejumlah kecil data. Sebab yang lain adalah penemuan-penemuan itu berdasarkan kajian-kajian dari beberapa negara sahaja, membuatkan kami tidak pasti mengenai kaitan penemuan-penemuan ini dengan keadaan-keadaan lain.

Pekerja-pekerja penjagaan kesihatan melaporkan bahawa orang tua bertanya mengenai vaksinasi dengan pelbagai tahap, antara dari tidak bertanya langsung mengenai vaksin, ke permintaan yang tinggi untuk maklumat (keyakinan tinggi dalam penemuan ini). Apabila topik vaksinasi dibincangkan, pekerja-pekerja penjagaan kesihatan menerangkan kekurangan maklumat, dan kehadiran maklumat yang salah, ketakutan dan kebimbangan mengenai vaksin dalam kalangan orang tua (keyakinan sederhana).

Cara-cara pekerja-pekerja penjagaan kesihatan membincangkan vaksin dengan orang tua didapati dikaitkan dengan apa yang mereka lihat sebagai tujuan komunikasi vaksinasi. Pekerja-pekerja penjagaan kesihatan berbeza antara satu sama lain dalam persepsi mereka mengenai tujuan ini dan mengenai peranan mereka dan peranan orang tua dalam keputusan vaksin. Beberapa pekerja penjagaan kesihatan merasakan adalah penting untuk memberi maklumat tetapi menekankan hak dan tanggungjawab orang tua untuk membuat keputusan sendiri. Yang lain menggunakan maklumat untuk memujuk dan meyakinkan orang tua untuk melakukan vaksinasi bagi meningkatkan ‘kepatuhan’ (sejauh mana seseorang mengikuti nasihat kesihatan dengan betul) dan ‘meningkatkan’ kadar vaksinasi, dan dalam beberapa kes untuk mendapatkan manfaat kewangan. Pekerja-pekerja penjagaan kesihatan yang lain menyesuaikan pendekatan mereka dengan apa yang mereka percaya orang tua perlukan atau inginkan (keyakinan sederhana).

Pekerja-pekerja penjagaan kesihatan percaya bahawa keputusan orang tua boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk sifat hubungan pekerja penjagaan kesihatan–pesakit, status pekerja penjagaan kesihatan dan sejauh mana pekerja penjagaan kesihatan memimpin dengan contoh (keyakinan rendah).

Ulasan kami juga mengenal pasti faktor-faktor yang berkemungkinan mempengaruhi bagaimana komunikasi antara pekerja penjagaan kesihatan dan orang tua berlaku. Ini termasuk isu-isu berkaitan dengan pandangan dan pengalaman pekerja-pekerja penjagaan kesihatan mengenai penyakit yang dimaksudkan dan vaksinnya, dan pandangan dan pengalaman mereka dengan pelaksanaan organisasi dan praktikal perkhidmatan vaksin.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 21 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information