Ujian saringan tuberkulosis pulmonari aktif dalam kalangan kanak-kanak

Mengapa penambahbaikan saringan tuberkulosis pulmonari dalam kalangan kanak-kanak penting?

Tuberkulosis adalah salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia. Kebanyakan kematian kanak-kanak akibat tuberkulosis tidak pernah didiagnos atau dirawat. Ujian saringan mungkin berguna untuk mengenalpasti kanak-kanak dengan tuberkulosis dan merujuk mereka untuk ujian lanjut. Selain itu, ujian saringan juga boleh diguna untuk mengenalpasti kanak-kanak tanpa tuberkulosis yang perlu dipertimbang untuk rawatan pencegahan. Keputusan positif palsu bermaksud kanak-kanak mungkin menjalani ujian dan rawatan yang tidak perlu dan mungkin tidak mendapat rawatan pencegahan segera. Keputusan negatif palsu bermaksud kanak-kanak yang menghidap tuberkulosis tetapi mungkin terlepas ujian lanjut untuk mengesahkan diagnosis.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menentukan ketepatan ujian saringan tuberkulosis pulmonari aktif dalam kalangan kanak-kanak berisiko tinggi seperti kanak-kanak dengan HIV dan kontak rapat kepada orang dengan tuberkulosis.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Ujian saringan adalah: satu gejala tuberkulosis; satu atau lebih gabungan gejala tuberkulosis; saringan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) empat gejala (satu atau lebih gejala batuk, demam, tambahan berat badan yang kurang baik atau kontak tuberkulosis) dalam kalangan kanak-kanak dengan HIV, disyorkan pada setiap lawatan penjagaan kesihatan; radiografi dada (CXR) dan Xpert MTB/RIF.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Sembilan belas kajian menilai ujian saringan berikut: satu gejala (15 kajian, 10,097 peserta); lebih dari satu gejala (12 kajian, 29,889 peserta); CXR (10 kajian, 7146 peserta) dan Xpert MTB/RIF (dua kajian, 787 peserta).

Saringan gejala

Bagi setiap 1000 kanak-kanak yang disaring, jika 50 ada tuberkulosis mengikut standard rujukan:

Satu atau lebih gejala iaitu batuk, demam atau tambahan berat badan yang kurang baik dalam kalangan kontak tuberkulosis (standard rujukan gabungan (CRS) (4 kajian)

339 akan disaring positif, yang mana 294 (87%) mungkin tiada tuberkulosis (positif palsu).

– 661 akan disaring negatif, yang mana 5 (1%) mungkin menghidap tuberkulosis (negatif palsu).

Satu atau lebih gejala iaitu batuk, demam, kurang bermain dalam kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun, pesakit dalam atau pesakit luar (CRS) (3 kajian)

- 251 hingga 636 mungkin disaring positif, yang mana 219 hingga 598 (87% hingga 94%) mungkin tiada tuberkulosis (positif palsu).

- 364 hingga 749 mungkin disaring negatif, yang mana 12 hingga 18 (2% hingga 3%) mungkin menghidap tuberkulosis (negatif palsu).

Satu atau lebih gejala iaitu batuk, demam,tambahan berat badan yang kurang baik, atau kontak rapat tuberkulosis (saringan empat gejala WHO) dalam kalangan kanak-kanak dengan HIV, pesakit luar (CRS) (2 kajian)

- 88 mungkin disaring positif, yang mana 57 (65%) tiada tuberkulosis (positif palsu).

- 912 mungkin disaring negatif, yang mana 19 (2%) mungkin menghidap tuberkulosis (negatif palsu).

CXR abnormal dalam kalangan kontak tuberkulosis (CRS) (8 kajian)

– 63 mungkin disaring positif, yang mana 19 (30%) mungkin tiada tuberkulosis (positif palsu).

– 937 mungkin disaring negatif, yang mana 6 (1%) mungkin menghidap tuberkulosis (negatif palsu).

Xpert MTB/RIF dalam kalangan kanak-kanak, standard rujukan mikrobiologi pesakit dalam atau pesakit luar (MRS) (2 kajian)

– 31 hingga 69 mungkin positif MTB/RIF, yang mana 9 hingga 19 (28% hingga 29% mungkin tiada tuberkulosis (positif palsu).

– 931 hingga 969 mungkin negatif Xpert MTB/RIF, yang mana 0 hingga 28 (0% hingga 3%) mungkin menghidap tuberkulosis (negatif palsu).

Adakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh percaya?

Diagnosis tuberkulosis dalam kalangan kanak-kanak adalah sukar. Ini boleh menampilkan ujian saringan lebih tepat atau kurang tepat dari sebenar. Bagi Xpert MTB/RIF, terdapat kurang kajian dan kanak-kanak yang diuji untuk meyakini keputusan-keputusan kajian.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini diaplikasi?

Kanak-kanak yang berisiko untuk mendapat tuberkulosis paru-paru. Hasil kajian mungkin tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak dalam masyarakat umum. Kebanyakan kajian berlangsung di negara dengan beban tuberkulosis yang tinggi.

Apakah implikasi ulasan ini?

Dalam kalangan kanak-kanak kontak rapat tuberkulosis atau menghidap HIV, ujian saringan menggunakan gejala atau CXR mungkin bermanfaat. Walau bagaimanapun, gejala dan CXR adalah sebahagian daripada standard rujukan yang mungkin secara tidak langsung meningkatkan ketepatan keputusan secara palsu. Kami sangat memerlukan ujian saringan tuberkulosis yang lebih baik bagi mengenalpasti kanak-kanak yang perlu dipertimbang untuk rawatan pencegahan tuberkulosis dan meningkatkan kekinian rawatan dalam kalangan mereka dengan tuberkulosis.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Hingga 14 Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Salizawati.Muhamad Salhimi. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information