Adakah katil, tilam dan penutup tilam dengan permukaan berisi udara yang memberikan tekanan berterusan pada kulit dapat mencegah ulser tekanan?

Mesej utama

Permukaan reaktif yang berisi udara yang memberikan tekanan berterusan pada kulit mungkin dapat mengurangkan kemungkinan untuk mengalami ulser tekanan jika dibandingkan dengan permukaan busa.

Ia juga mungkin lebih baik bagi mencegah ulser tekanan dalam kalangan orang-orang di rumah penjagaan berbanding permukaan yang dipenuhi udara yang secara berkala mengagihkan semula tekanan di bawah badan.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengukuhkan bukti. Kajian pada masa depan harus memberi tumpuan kepada pilihan dan kesan yang penting bagi pembuat keputusan, seperti:

- Permukaan reaktif berisi udara yang mengenakan tekanan kulit yang berterusan, berbanding dengan permukaan berisi udara yang mengagihkan semula tekanan secara berkala; dan

- sama ada dan ketika ulser tekanan terhasil, kesan sampingan yang tidak diingini dan kos.

Apakah itu ulser tekanan?

Ulser tekanan juga dikenali sebagai luka tekanan atau kudis tekanan. Ianya adalah luka pada kulit dan tisu bahagian bawahnya yang disebabkan oleh tekanan atau geseran yang berpanjangan. Ia sering terjadi pada bahagian tubuh yang bertulang, seperti tumit, siku, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang. Orang yang mempunyai masalah pergerakan atau yang berbaring di katil bagi jangka masa yang panjang berisiko mengalami penyakit ulser tekanan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Terdapat katil, tilam dan penutup tilam yang direka khas untuk orang yang berisiko mengalami ulser tekanan. Ianya boleh diperbuat dari pelbagai bahan (seperti busa, sel udara atau beg air) dan dibahagikan kepada dua kumpulan:

- permukaan reaktif (statik) yang memberi tekanan berterusan pada kulit, kecuali seseorang itu bergerak atau diposisikan semula; dan

- permukaan aktif (tekanan berselang-seli) yang mengedarkan semula tekanan di bawah badan secara berkala.

Kami ingin mengetahui sama ada permukaan yang reaktif dan berisi udara:

- mencegah ulser tekanan;

- selesa dan meningkatkan kualiti hidup orang;

- mempunyai faedah kesihatan yang melebihi kosnya; dan

- mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian yang menilai kesan katil, tilam dan penutup tilam dengan permukaan reaktif yang berisi udara. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menjumpai 17 kajian (2604 orang, usia purata: 72 tahun) yang berlangsung antara lima hari dan enam bulan (purata: 14 hari). Kajian membandingkan permukaan reaktif dan berisi udara dengan:

- permukaan busa;

- permukaan yang aktif dan berisi udara; dan

- permukaan reaktif yang diisi dengan air, gel atau bahan lain.

Pencegahan ulser tekanan

Bukti menunjukkan bahawa mungkin lebih sedikit orang akan mengalami ulser tekanan ketika berbaring pada permukaan yang reaktif dan diisi udara dibandingkan dengan:

- permukaan busa (empat kajian, 229 orang); dan

- permukaan aktif berisi udara (satu kajian, 308 orang di rumah jagaan, diikuti selama 14 hari).

Tidak jelas sama ada permukaan reaktif berisi udara mencegah ulser lebih banyak daripada jenis permukaan reaktif yang lain.

Kesan lain

Kajian-kajian tersebut tidak memberikan bukti yang cukup kuat dan jelas bagi kami untuk menentukan bagaimana permukaan yang reaktif dan berisi udara mempengaruhi keselesaan dan kesan yang tidak diingini. Tidak ada kajian yang melaporkan maklumat mengenai kualiti hidup dan kos.

Apa yang membataskan keyakinan kami terhadap bukti?

Sebilangan besar kajian adalah kecil (purata 83 orang). Tujuh kajian menggunakan kaedah yang mungkin menyebabkan kesalahan dalam hasilnya. Tidak jelas sama ada 10 kajian lain menggunakan kaedah yang mantap.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information