Akupunktur untuk merawat pundi kencing yang terlalu aktif pada orang dewasa

Soalan ulasan

Adakah akupunktur merupakan rawatan yang selamat dan berkesan untuk merawat pundi kencing yang terlalu aktif pada orang dewasa?

Latar belakang

Pundi kencing yang terlalu aktif ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan sekumpulan gejala kencing, termasuk keperluan mendesak untuk membuang air kecil, kerap membuang air kecil (pengosongan), inkontinens kencing dan bangun sekali atau lebih pada waktu malam untuk membuang air kecil (nokturia). Pesakit mungkin mempunyai satu atau lebih gejala. Pundi kencing yang terlalu aktif adalah keluhan biasa dan boleh menjejaskan kedua-dua lelaki dan wanita pada mana-mana peringkat umur, walaupun ia lebih kerap dialami oleh orang yang lebih berusia. Rawatannya termasuk latihan pundi kencing, senaman lantai pelvis, ubat, suntikan botox ke dalam dinding pundi kencing, neuromodulasi sakral dan pembedahan.

Akupunktur merujuk kepada amalan memasukkan jarum halus ke titik-titik tertentu pada badan untuk mencapai kesihatan yang lebih baik. Ia digunakan dalam pelbagai keadaan dan telah dicadangkan sebagai rawatan yang mungkin untuk gejala pundi kencing yang terlalu aktif.

Sejauh mana ulasan ini terkini?

Ulasan ini menyertakan semua kajian yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan oleh pengulas, yang diterbitkan sehingga 14 Mei 2022. Pengulas sedar bahawa terdapat enam kajian yang masih berjalan dan dua kajian yang tidak dapat mereka peroleh sepenuhnya, yang tidak disertakan dalam ulasan mereka.

Ciri-ciri kajian

Pengulas menyertakan 15 kajian yang melibatkan sejumlah 1395 peserta dengan pundi kencing yang terlalu aktif. Majoriti kajian melibatkan bilangan peserta yang kecil dan pengulas mempunyai beberapa persoalan tentang reka bentuk kajian, proses-proses yang terlibat atau kedua-duanya dalam kebanyakan kajian.

Sumber pembiayaan kajian

Daripada 15 kajian yang disertakan, empat disokong oleh geran penyelidikan yang dibiayai oleh Kerajaan China dan dua dibiayai oleh institusi pengajian tinggi. Yuran bagi penerbitan akses terbuka untuk satu kajian telah dibayar oleh Persatuan Akupunktur Norway. Lapan kajian tidak melaporkan sebarang sumber pembiayaan.

Hasil utama

Kaedah berbeza yang digunakan oleh kajian-kajian menjadikan perbandingan keputusan adalah sukar.

Berbanding dengan tanpa rawatan, kesan akupunktur terhadap menyembuhkan atau menambahbaik gejala pundi kencing yang terlalu aktif dan jumlah kesan sampingan yang kecil adalah sangat tidak pasti. Tiada kesan buruk serius yang telah dilaporkan. Tiada laporan mengenai kesan akupunktur berbanding tiada rawatan yang berkaitan dengan pengurangan keperluan mendesak untuk kencing, kekerapan kencing di siang hari, episod inkontinens kencing atau episod nokturia.

Berbanding dengan akupunktur mainan (palsu), kesan akupunktur terhadap menyembuhkan atau memperbaiki gejala pundi kencing yang terlalu aktif adalah tidak pasti. Akupunktur mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kejadian buruk yang kecil berbanding dengan akupunktur palsu. Tiada kejadian buruk yang besar berlaku dalam mana-mana kajian. Bukti adalah sangat tidak pasti mengenai kesan akupunktur terhadap ketiadaan keperluan mendesak untuk kencing, kekerapan kencing di siang hari atau episod nokturia. Mungkin tiada perbezaan antara akupunktur dan akupunktur palsu dari segi episod inkontinens kencing.

Akupunktur mengkin menyebabkan sedikit penambahbaikan pada gejala pundi kencing yang terlalu aktif jika dibandingkan dengan ubat-ubatan dan boleh mengakibatkan pengurangan jumlah kejadian buruk yang kecil. Tiada kesan buruk serius yang telah dilaporkan. Kesan akupunktur berbanding dengan ubat-ubatan adalah sangat tidak pasti berkaitan dengan keperluan mendesak untuk kencing dan episod inkontinens. Akupunktur mungkin mempunyai kesan yang sama seperti ubatan pada kekerapan kencing dan mungkin mengurangkan sedikit episod nokturia.

Kepastian bukti

Majoriti bukti dalam ulasan ini adalah berkepastian sangat rendah atau rendah kerana kajian yang disertakan mempunyai kelemahan dalam reka bentuk dan/atau pelaksanaannya. Banyak kajian hanya melibatkan bilangan peserta yang kecil dan dijalankan dalam tempoh masa yang singkat. Memandang kepada isu-isu ini, sukar untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan akupunktur untuk merawat pundi kencing yang terlalu aktif. Kajian lanjut berskala besar yang direka bentuk dengan baik adalah diperlukan untuk menjawab persoalan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information