Penerusan atau pemberhentian antikoagulan oral untuk orang dengan aritmia dan menjalani ablasi kateter

Soalan ulasan

Patutkah doktor meneruskan atau menghentikan ubat pencair darah sebelum prosedur ablasi kateter dalam orang dengan aritmia?

Latar belakang

Degupan jantung yang tidak teratur (juga dikenali sebagai aritmia) datang dalam pelbagai jenis; jenis yang paling biasa ialah degupan tidak sekata yang tidak selaras (juga dikenali sebagai fibrilasi atrium). Orang yang mengalami degupan jantung yang tidak teratur berisiko mendapat strok dan oleh itu mereka memerlukan penggunaan ubat cair darah jangka panjang untuk mengelakkan pembekuan darah. Ramai pesakit ini mungkin perlu menjalani prosedur yang dipanggil ‘ablasi’ di mana doktor menggunakan pembedahan atau kateter (tiub fleksibel yang nipis) untuk memulihkan ritma normal jantung. Sebelum prosedur ini, doktor mungkin memutuskan untuk meneruskan ubat cair darah atau menghentikannya buat sementara waktu. Keputusan sedemikian harus mempertimbangkan dua perkara. Pertama, risiko pembentukan darah beku pada masa ablasi jika ubat cair darah dihentikan. Kedua, risiko pendarahan semasa prosedur jika ubat cair darah diteruskan. Tiada bukti yang jelas bahawa satu keputusan adalah lebih baik berbanding yang lain dari segi keselamatan. Disebabkan ketidakpastian ini, kami menjalankan ulasan ini untuk menyiasat faedah dan bahaya meneruskan berbanding menghentikan ubat cair darah pada masa prosedur ablasi.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari pangkalan data saintifik dan mengenal pasti 12 ujian klinikal yang melibatkan 4714 peserta berumur 18 tahun ke atas dengan fibrilasi atrium. Para peserta dimasukkan secara rawak (seperti melambung duit syiling) ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan. Kumpulan-kumpulan tersebut adalah: meneruskan ubat cair darah pada masa prosedur atau menghentikan ubat cair darah sama ada untuk beberapa hari atau untuk satu atau dua dos sebelum prosedur dengan atau tanpa memberikan heparin tambahan.

Kajian tersebut melaporkan risiko strok, pendarahan besar, dan pendarahan kecil selepas tempoh susulan untuk 30 hari selepas prosedur. Kajian yang dirangkumkan telah mengkaji prosedur ablasi yang berbeza serta ubat cair darah yang berbeza, termasuk Coumadin dan ubat cair darah oral yang baru seperti apixaban, rivaroxaban, edoxaban, dan dabigatran. Sepuluh kajian telah dijalankan dalam populasi Asia Timur (Jepun, China dan Korea Selatan). Syarikat ubat telah membiayai dua kajian. Bukti adalah terkini sehingga 5 Januari 2021.

Keputusan utama

Disebabkan ketidakpastian bukti, setelah menggabungkan keputusan daripada 12 kajian klinikal dalam ulasan ini, kami tidak yakin dalam menasihati satu strategi berbanding yang lain dengan bukti sedia ada. Keputusan untuk meneruskan, menghentikan sepenuhnya atau menahan satu atau dua dos ubat cair darah sebelum prosedur patut dibuat secara individu berdasarkan risiko strok dan pendarahan pesakit sehingga kajian klinikal yang direka bentuk dengan lebih baik menjadi tersedia untuk memaklumkan keputusan yang muktamad.

Kualiti bukti

Bukti seharusnya ditafsirkan dengan berhati-hati. Keputusan ulasan dihadkan oleh variasi dalam kebanyakan kajian perbandingan, bilangan kejadian yang rendah, kajian dijalankan hanya dalam satu tetapan perubatan, dan kebanyakannya menghuraikan intervensi dalam populasi Asia Timur. Kajian berkualiti tinggi yang selanjutnya adalah diperlukan untuk mencari strategi yang ideal untuk mengendalikan ubat cair darah pada masa prosedur ablasi tanpa meningkatkan kemudaratan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric Inc). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information