Ubat penahan sakit (NSAIDs: ubat anti-radang bukan steroid) sekitar masa pembedahan di kalangan wanita yang menjalani pembedahan payu dara

Apakah matlamat utama ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada ubat penahan sakit NSAID mengurangkan kesakitan semasa sebarang pembedahan payu dara berbanding denagan tanpa ubat (plasebo) atau ubat tahan sakit yang lain (contoh opioid). Kesan-kesan sampingan yang mungkin daripada NSAIDS telah dikaji dan dibandingkan dengan kesan sampingan pesakit yang tidak diberi ubat atau kaedah melegakan kesakitan yang lain. Ubat penahan sakit NSAID termasuk ketorolac, flurbiprofen, ibuprofen dan celecoxib.

Mengapa ianya penting?

NSAIDs telah menunjukkan keberkesaannya dalam mengurangkan keradangan, sakit dan demam, sementara berpotensi meningkatkan risiko komplikasi pendarahan. Terdapat kebimbangan mengenai keselamatan ubat penahan sakit NSAID semasa pembedahan payu dara, tetapi ia mungkin lebih baik daripada ubat lain (opioid) yang mempunyai kesan sampingan berbeza yang membimbangkan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kajian-kajian melibatkan wanita yang menerima sama ada ubat penahan sakit NSAID atau plasebo, ubat penahan sakit yang lain, atau tanpa ubat. Kami ingin menilai pendarahan payu dara, kesakitan selepas pembedahan, loya dan muntah selepas pembedahan, pendarahan dari mana-mana lokasi, keperluan untuk transfusi darah, sebarang kesan sampingan yang dilaporkan daripada penggunaan NSAID, penggunaan opioid dalam tempoh 24 jam pembedahan, tempoh tinggal di hospital, kanser payu dara berulang, dan penggunaan NSAID yang tidak ditetapkan.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 12 kajian yang melibatkan jumlah peserta seramai 1596 orang. Bukti adalah terkini sehingga September 2020. Tujuh kajian membandingkan NSAIDs (ketorolac, diclofenac, flurbiprofen, parecoxib dan celecoxib) dengan plasebo. Empat kajian membandingkan NSAIDs (ketorolac, flurbiprofen, ibuprofen dan celecoxib) dengan ubat penahan sakit yang lain. Satu kajian membandingkan NSAIDs (diclofenac) dengan tanpa ubat.

NSAIDs dibandingkan dengan plasebo : penggunaan NSAIDs nampaknya menyebabkan sedikit perbezaan terhadap kejadian hematoma payu dara (pengumpulan darah di dalam ketiak atau tapak pembedahan payu dara) dan pendarahan dari mana-mana lokasi atau peningkatan transfusi darah dalam tempoh 90 hari selepas pembedahan payu dara. Tiada peningkatan loya dan muntah selepas pembedahan. NSAIDs mungkin mengurangkan kesakitan dalam 24 jam selepas pembedahan dan mengurangkan penggunaan opioid dalam masa 24 jam selepas pembedahan.

NSAIDs dibandingkan dengan ubat penahan sakit yang lain penggunaan NSAIDs mungkin menyebabkan sedikit perbezaan terhadap kejadian hematoma payu dara atau pendarahan dari mana-mana lokasi atau keperluan transfusi darah dalam tempoh 90 hari selepas pembedahan payu dara. NSAIDs mungkin mengurangkan kesakitan dalam masa 24 jam dan mengurangkan kemungkinan loya dan muntah selepas pembedahan. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kejadian kesan-kesan sampingan yang lain. NSAIDs mungkin mengurangkan penggunaan opioid dalam masa 24 jam selepas pembedahan berbanding ubat tahan sakit yang lain.

NSAIDs dibandingkan dengan tanpa ubat : penggunaan NSAIDs nampaknya menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kesakitan dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan dibandingkan dengan tanpa ubat.

Banyak kajian tidak mengumpul atau melaporkan data tentang keperluan untuk transfusi darah, tempoh tinggal di hospital, barah payu dara berulang, dan penggunaan ubat penahan sakit NSAID yang tidak ditetapkan.

Apakah maksud penemuan ini?

Ringkasnya, kajian-kajian tersebut adalah kecil, berbeza antara satu sama lain dan tidak melaporkan semua kesan sampingan yang berkemungkinan dengan baik. Oleh itu, kami tidak boleh membuat kesimpulan yang kukuh tentang faedah atau kemudaratan NSAIDs. Kajian ini menyediakan bukti preliminari, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk memastikan tiada kemudaratan daripada penggunaan NSAIDs selepas pembedahan payu dara. Kajian dengan skala besar yang berkualiti baik diperlukan sebelum sebarang kesimpulan muktamad boleh dibuat.

Adakah ulasan ini muktahir?

Penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 21 September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information