Mesej utama
-
Rawatan awal atau sangat awal bagi duktus arteriosus paten (PDA) yang bergejala (menyebabkan masalah perubatan yang berterusan) boleh memberi sedikit hingga tiada perbezaan kepada kematian atau hasil klinikal lain yang buruk pada bayi pramatang (mereka yang dilahirkan pramatang) apabila dibandingkan dengan pengurusan jangkaan (menunggu dan memerhati tanpa memberikan sebarang rawatan untuk menutup PDA).
-
Penggunaan ubat ibuprofen yang sangat awal boleh meningkatkan kematian pada bayi yang sangat pramatang yang dilahirkan kurang daripada 28 minggu kehamilan.
Apakah itu duktus arteriosus paten (PDA)?
Duktus arteriosus paten adalah komplikasi biasa pada pramatang (lahir sebelum sembilan bulan kehamilan) atau bayi dengan berat lahir yang rendah. Duktus arteriosus paten merupakan saluran darah yang terbuka di antara paru-paru dan jantung yang biasanya akan tertutup sejurus selepas kelahiran.
Bagaimanakah keadaan tersebut dirawat?
Keadaan ini dirawat menggunakan kelas ubat yang dipanggil perencat cyclo-oxygenase (yang melibatkan indomethacin, ibuprofen, dan acetaminophen). Jika ubat tidak berkesan, maka PDA ditutup melalui pembedahan atau dengan prosedur khas menggunakan tiub kecil yang dipanggil kateter yang dimasukkan melalui potongan kecil pada kulit yang membolehkan doktor mencapai jantung tanpa membuat hirisan besar (penutupan berasaskan kateter). Disebabkan oleh kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat-ubatan, sesetengah doktor mungkin memilih untuk menunggu dan melihat sama ada PDA tertutup dengan sendirinya (pengurusan jangkaan).
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan awal (rawatan ubat dimulakan dalam tempoh tujuh hari selepas kelahiran) atau sangat awal (rawatan ubat bermula dalam tempoh 72 jam selepas kelahiran ) adalah lebih baik untuk mengurangkan kematian atau hasil klinikal lain yang buruk pada bayi pramatang, seperti penyakit paru-paru kronik atau keadaan usus yang serius di mana sebahagian daripada usus mati (dikenali sebagai necrotizing entercolitis).
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) bayi pramatang (lahir kurang dari 37 minggu kehamilan) atau bayi dengan berat lahir yang rendah (berat kurang dari 2500 g) dengan PDA yang didiagnosis menggunakan gabungan bentuk klinikal tertentu dan ultrasound jantung. Kajian yang disertakan membandingkan rawatan awal atau rawatan sangat awal PDA bergejala dengan perencat cyclo-oxygenase dibandingkan dengan pengurusan jangkaan (tanpa menggunakan perencat cyclo-oxygenase). Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 19 kajian yang melibatkan 2323 bayi. Kami sederhana yakin bahawa rawatan awal atau sangat awal PDA bergejala tidak mengurangkan kematian atau hasil klinikal lain yang buruk pada bayi pramatang . Kami mendapati bahawa dalam bayi yang paling pramatang (lahir kurang daripada 28 minggu dalam kandungan) penggunaan awal ubat ibuprofen boleh meningkatkan risiko kematian. Pada masa ini terdapat satu kajian menunggu klasifikasi dan lima kajian yang sedang dijalankan untuk meneroka soalan ini.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah hingga tinggi, dan keputusan penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini. Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, keputusan beberapa kajian mungkin telah dipengaruhi oleh bias para penyelidik kajian sendiri. Kedua, keputusan daripada pelbagai kajian adalah berbeza-beza secara meluas untuk beberapa hasil. Akhirnya, banyak kajian hanya melibatkan sedikit bayi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami sebelum ini. Bukti adalah terkini sehingga 18 Oktober 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).