Mengulas tentang hal kematian untuk mencegah kematian ibu dan anak pada masa hadapan

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai sekiranya ‘audit dan ulasan kematian’ (mengkaji sebab kematian dan apa yang boleh dilakukan untuk mencegah kematian) boleh mencegah kematian ibu dan anak. Penulis kajian telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab persoalan ini dan telah menjumpai dua kajian.

Mesej utama

Kajian daripada hospital-hospital Afrika Barat, di mana kadar kematian dalam kalangan wanita dan bayi adalah tinggi, ulasan kematian kemungkinan menyebabkan pengurangan kematian dalam kalangan wanita mengandung, ibu-ibu muda dan bayi yang baru lahir. Di hospital-hospital Perancis, di mana kadar kematian dalam kalangan bayi adalah rendah, ia mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan tentang kadar kematian dalam kalangan bayi baru lahir.

Apakah kajian ulasan ini?

Setiap tahun, berjuta-juta bayi dan kanak-kanak mati. Ramai wanita yang juga mati ketika mereka mengandung atau melahirkan, atau sebaik sahaja selepas melahirkan anak. Lebih dari separuh kematian seperti ini berlaku di sub-Saharan Afrika.

Dalam banyak tetapan, kemudahan kesihatan dan komuniti yang menjalankan ‘audit dan ulasan kematian’. Di sini, mereka mengkaji mengapa seseorang itu mati, apa yang boleh dilakukan untuk mengelak kematian dan perkara yang lebih baik yang boleh dilakukan pada masa hadapan.

Audit dan ulasan kematian berpotensi untuk meningkatkan kualiti penjagaan dan mencegah kematian baru dalam kalangan ibu-ibu dan anak. Tetapi ia juga boleh melibatkan kos kewangan, berdasarkan maklumat yang salah dan menggunakan pekerja kesihatan di luar kerja-kerja lain yang lebih penting. Sekiranya ia dilakukan dengan teruk, ia juga mengakibatkan pekerja kesihatan merasa disalahkan dan dimalukan, di mana akan mengakibatkan penjagaan yang lebih buruk. Kita perlu mengetahui sama ada audit dan ulasan berkesan dan apakah pendekatan yang berfungsi dengan baik.

Penulis ulasan telah mencari kajian-kajian daripada orang dari kemudahan kesihatan dan komuniti yang menjalankan audit dan ulasan kematian dalam kalangan wanita mengandung, wanita yang baru melahirkan, bayi yang baru dilahirkan dan kanak-kana di bawah umur lima tahun. Kajian-kajian tersebut perlu membandingkan tempat atau masa di mana audit dan ulasan kematian digunakan kepada tempat atau masa di mana ia tidak dilakukan.

Apakah keputusan-keputasan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mendapati dua kajian yang berkaitan. Kedua-dua kajian telah menilai audit kematian di kemudahan kesihatan.

Kajian pertama dijalankan di hospital Afrika Barat dengan kadar kematian yang tinggi dalam kalangan wanita dan bayi. Dalam kajian ini, doktor dan bidan telah diberikan lebih latihan dalam hal kehamilan dan penjagaan bayi. Ini termasuklah latihan selama satu hari tentang bagaimana untuk menjalankan audit kematian terhadap wanita yang mati ketika kehamilan ataupun melahirkan. Mereka kemudiannya kembali ke hospital dan menjalankan audit di mesyuarat bulanan, dengan sokongan pakar dari hospital yang berlainan. Hospital ini dibandingkan dengan hospital yang tidak memberi latihan dan mengadakan mesyuarat audit. Bagi ibu dan bayi yang berada di hospital, pendekatan yang diberikan:

- mungkin akan mengurangkan kematian wanita hamil dan ibu yang baru melahirkan, dan mungkin menyebabkan penjagaan yang lebih baik kepada para ibu;

- akan mengurangkan kematian bayi dalam tempoh 24 jam pertama. Namun, ia mungkin tidak menyebabkan perbezaan dari segi jumlah kematian bayi dalam tempoh 24 jam pertama mereka, walaupun julat kesan sebenar mungkin (“margin kesilapan”) melibatkan kedua-dua peningkatan dan penurunan dalam jumlah kematian bayi.

- kemungkinan tidak ada perbezaan dalam jumlah kelahiran bayi mati.

Kajian kedua berlaku di hospital Perancis yang telah mempunyai beberapa kes kematian yang sangat sedikit dalam kalangan bayi baru lahir. Dalam kajian ini, doktor dan bidan telah memberi maklumat tentang kehamilan dan panduan melahirkan bayi. Selepas itu, mereka mengadakan mesyuarat audit di hospital-hospital di mana mereka membincangkan kelahiran bayi mati dan bayi yang telah menjadi sakit atau meninggal dunia. Hospital-hospital ini telah membandingkan dengan hospital yang tidak memberikan maklumat dan mengadakan mesyuarat audit. Pendekatan ini:

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan bayi yang meninggal pada minggu pertama mereka

- mungkin mengurangkan jumlah bayi yang sakit kerana mereka menerima penjagaan yang berkualiti rendah.

Kami tidak tahu apa kesannya terhadap kelahiran bayi mati atau terhadap bilangan ibu atau bayi yang lebih tua dan kanak-kanak yang meninggal kerana kajian tidak mengukur hal ini.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskini?

Penulis ulasan telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 16 Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Asmidar Alias (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save