Terapi psikologi untuk orang dengan kecelaruan personaliti pinggiran

Latar belakang

Orang yang terjejas dengan kecelaruan personaliti pinggiran (BPD) sering mempunyai kesukaran mengawal dorongan dan emosi mereka. Mereka mungkin mempunyai imej diri yang buruk, mengalami perubahan angin yang cepat, mencederakan diri mereka dan mendapati kesukaran untuk menjalinkan hubungan interpersonal yang harmoni. Pelbagai jenis rawatan psikologi (‘rawatan bercakap’) telah dikembangkan untuk membantu orang dengan BPD. Kesan rawatan-rawatan ini perlu diselidiki bagi menentukan seberapa baik mereka berkesan dan jika mereka boleh menjadi berbahaya.

Objektif

Ulasan ini merumuskan apa yang kami ketahui pada masa ini mengenai kesan psikoterapi dalam orang dengan BPD.

Kaedah

Kami membandingkan kesan rawatan psikologi terhadap orang yang terjejas dengan BPD yang tidak menerima rawatan atau yang meneruskan rawatan biasa mereka, berada dalam senarai menunggu atau menerima rawatan aktif.

Penemuan

Kami mencari artikel penyelidikan yang berkaitan, dan menemui 75 kajian (4507 peserta, kebanyakannya wanita, purata usia antara 14.8 hingga 45.7 tahun). Kajian-kajian tersebut meneliti pelbagai rawatan psikologi (lebih daripada 16 jenis yang berbeza). Kebanyakannya dijalankan dalam keadaan pesakit luar, dan berlangsung antara satu dan 36 bulan. Terapi tingkah laku dialektik (DBT) dan Rawatan Berasaskan Mentalisasi (MBT) merupakan terapi yang paling kerap dikaji.

Psikoterapi berbanding dengan rawatan biasa

Psikoterapi mengurangkan keparahan simptom BPD dan bunuh diri dan mungkin mengurangkan kemudaratan diri dan kemurungan sementara juga menambah baik fungsi psikologi berbanding rawatan biasa. DBT mungkin lebih baik daripada rawatan biasa bagi mengurangkan keparahan BPD, kemudaratan diri dan menambah baik fungsi psikososial. Begitu juga, MBT kelihatan lebih berkesan daripada rawatan biasa dalam mengurangkan kemudaratan diri, bunuh diri dan kemurungan. Walau bagaimanapun, penemuan ini adalah berdasarkan bukti berkualiti rendah dan oleh itu kami tidak pasti sama ada keputusan ini boleh berubah atau tidak jika kami menambah lebih banyak kajian. Kebanyakan kajian tidak melaporkan peristiwa buruk, dan mereka yang melaporkannya, menemui tiada reaksi tidak diingini yang jelas selepas rawatan psikologi. Sebilangan besar kajian (64 daripada 75) dibiayai oleh geran universiti, pihak berkuasa atau yayasan penyelidikan. Empat kajian melaporkan tiada pembiayaan telah diterima. Bagi kajian yang selebihnya (7), pembiayaan tidak dinyatakan.

Psikoterapi berbanding senarai menunggu atau tiada rawatan

Psikoterapi lebih berkesan daripada senarai menunggu dalam menambah baik simptom BPD, fungsi psikososial, dan kemurungan, tetapi terdapat tiada perbezaan yang jelas di antara psikoterapi, dan senarai menunggu bagi hasil kemudaratan diri, dan hasil berkaitan bunuh diri.

Kesimpulan

Secara umumnya, psikoterapi mungkin lebih berkesan daripada rawatan biasa dalam mengurangkan keparahan simptom BPD, kemudaratan diri, hasil berkaitan bunuh diri dan kemurungan, sementara juga menambah baik fungsi psikososial. Walau bagaimanapun, hanya pengurangan keparahan simptom BPD didapati berada di tahap yang penting secara klinikal. DBT kelihatan lebih baik dalam mengurangkan keparahan BPD, kemudaratan diri, dan menambah baik fungsi psikososial berbanding rawatan biasa dan MBT kelihatan lebih berkesan daripada rawatan biasa dalam mengurangkan kemudaratan diri dan bunuh diri. Walau bagaimanapun, kami masih tidak pasti mengenai penemuan-penemuan ini kerana bukti kualiti yang rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save