Perbandingan piloromiotomi terbuka berbanding invasif minimum (laparoskopi) untuk stenosis pilorik hipertrofik

Soalan Ulasan

Kami meneliti bukti kesan pembedahan terbuka berbanding piloromiotomi laparoskopi pada bayi dengan diagnosis stenosis pilorik hipertrofik. Kami menemui 7 kajian (dilaporkan dalam 8 laporan).

Latar belakang

Stenosis pilorik hipertropik dikalangan bayi adalah keadaan dimana berlaku penyempitan disaluran keluar perut (dipanggil pilorus) pada kanak-kanak di bawah usia satu tahun. Keadaan ini biasanya berlaku pada usia bayi, 3 hingga 10 minggu. Ia membawa kepada gangguan laluan makanan dari perut ke bahagian pertama usus kecil (duodenum). Kanak-kanak mungkin mengalami muntah yang teruk, yang boleh menyebabkan dehidrasi dan boleh mengganggu keseimbangan elektrolit/garam galian dalam badan.

Penyempitan dapat dibetulkan dengan pembedahan; pakar bedah membuat insisi/goresan pada lapisan otot nipis saluran keluar perut (piloromiotomi). Kami memasukkan tujuh kajian (dengan jumlah keseluruhan 720 kanak-kanak) dalam tinjauan sistematik ini yang membandingkan teknik secara terbuka klasik untuk pembedahan ini dengan teknik laparoskopi yang lebih baru. Teknik laparoskopi ini kurang invasif kerana pakar bedah tidak membuat torehan besar di perut sebaliknya, hanya torehan kecil untuk memasukkan instrumen endoskopi.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari maklumat di pangkalan data perubatan sehingga Februari 2021, merangkumi tujuh kajian yang melibatkan 720 bayi dengan stenosis pilorik. Semua peserta adalah bayi yang berusia dari 11 sehingga 108 hari dan bilangan bayi lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan. Kesemua tujuh kajian melaporkan mengenai kadar perforasi mukosa, empat dari tujuh RCT yang melaporkan mengenai piloromiotomi yang tidak lengkap. Waktu penyertaan ke dalam kajian adalah antara 16 hingga 56 bulan.

Sumber pembiayaan kajian

Enam dari tujuh kajian yang tidak melaporkan sumber dana, satu kajian menerima dana amal.

Keputusan utama

Tinjauan menunjukkan bahawa piloromiotomi laparoskopi mungkin boleh mengakibatkan kenaikan sedikit kadar perforasi mukosa dibandingkan dengan pembedahan terbuka. Laparoskopi juga mungkin menyebabkan kadar piloromiotomi tidak lengkap lebih tinggi. Bukti menunjukkan bahawa kesan laparoskopi terhadap komplikasi pasca pembedahan termasuk jangkitan ditempat pembedahan dan insisi hernia tidak dapat dipastikan. Begitu juga, kepastian bukti yang sangat rendah tidak membenarkan kesimpulan akhir mengenai kesan pembedahan terbuka berbanding dengan piloromiotomi laparoskopi mengenai tempoh berada di wad, masa yang diambil bagi pemakanan penuh dapat dilakukan dan tempoh masa pembedahan dalam stenosis pilorik bayi.

Kepastian bukti

Kesemua tujuh kajian mempunyai kelemahan yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan kepada keputusan mereka. Kami menganggap bahawa kesahihan bukti untuk semua hasil-hasil kajian adalah berkualiti rendah atau sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information