Bolehkah intervensi kes etika memperbaiki penjagaan kesihatan?

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada intervensi kes etika boleh memperbaiki penjagaan untuk pesakit. Intervensi kes etika (contohnya jawatankuasa etika, pertimbangan kes moral) mengenalpasti dan menganalisis konflik etika yang berlaku dalam konteks penjagaan pesakit. Contoh tipikal bagi situasi di mana konflik etika boleh timbul adalah kes di mana tiada kepastian sama ada pemberian atau limitasi rawatan adalah sejajar dengan kehendak pesakit atau kebajikan pesakit (atau kedua-duanya). Intervensi kes etika melibatkan perbincangan pakar-pakar etika tentang cabaran etika penjagaan pesakit (situasi pesakit tertentu) dengan pelbagai ahli profesional kesihatan yang bertanggungjawab untuk penjagaan pesakit serta pesakit dan keluarganya. Matlamat intervensi kes etika adalah untuk menyokong pembuatan keputusan di dalam amalan klinikal. Para penyelidik di Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menentukan sama ada intervensi kes etika memperbaiki penjagaan pesakit dan mendapati empat kajian yang relevan yang diterbitkan dalam enam artikel.

Mesej Utama

Adalah tidak pasti sama ada intervensi kes etika mengurangkan konflik keputusan bagi mereka yang perlu membuat keputusan tentang rawatan, kerana kepastian bukti adalah sangat rendah. Kami mendapati tiada kajian yang melaporkan kesan intervensi kes etika terhadap distres moral, penglibatan pesakit dalam membuat keputusan, kualiti hidup pesakit atau kecekapan etika. Adalah tidak pasti sama ada intervensi kes etika meningkatkan kepuasan berhubung penjagaan, kerana kepastian bukti adalah sangat rendah. Kami perlukan lebih banyak kajian berkualiti tinggi untuk menilai intervensi kes etika.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami memilih konflik keputusan peserta kajian yang terkesan oleh keputusan, pengurangan distres moral, penglibatan pesakit dalam membuat keputusan, dan kualiti hidup pesakit sebagai kriteria hasil utama untuk menilai sama ada intervensi kes etika memperbaiki penjagaan kesihatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mendapati empat kajian yang relevan dengan keputusan yang diterbitkan dalam enam artikel. Semua kajian membandingkan intervensi kes etika dengan penjagaan biasa dalam unit penjagaan intensif. Kajian-kajian tersebut menggunakan dua model intervensi kes etika yang berbeza – konsultansi etika proaktif dan konsultasi berasaskan permintaan. Di dalam konsultansi etika proaktif, ahli etika itu sendiri mengenal pasti potensi konflik etika tanpa diminta, atau konsultansi etika ditawarkan sebagai respons kepada konflik yang terpendam. Di dalam konsultansi etika berasaskan permintaan, ahli profesional, pesakit atau keluarga mereka secara khusus meminta konsultansi etika untuk menyelesaikan konflik etika tertentu. Semua kajian menerima pembiayaan awam dan satu kajian menerima pembiayaan tambahan daripada sumber persendirian.

Tiga kajian melaporkan konsultansi etika proaktif. Kami mendapati tiada data tentang konflik keputusan, distres moral, penglibatan pesakit dalam membuat keputusan, kualiti hidup pesakit atau kecekapan etika. Satu kajian menilai kepuasan terhadap penjagaan. Adalah tidak pasti sama ada konsultasi etika proaktif meningkatkan kepuasan dengan penjagaan, kerana tahap kepastian bukti adalah sangat rendah.

Satu kajian melaporkan konsultansi etika berasaskan permintaan. Kajian tersebut menilai tahap konsensus berhubung keputusan tentang penjagaan pesakit sebagai kriteria tidak langsung untuk mengurangkan konflik keputusan. Adalah tidak pasti sama ada konsultansi etika berasaskan permintaan meningkatkan konsensus dan, seterusnya, mengurangkan konflik keputusan, kerana kepastian bukti yang sangat rendah. Kami mendapati tiada data berhubung distres moral, penglibatan pesakit dalam membuat keputusan, kualiti hidup pesakit atau kecekapan etika.

Adakah tinjauan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga September 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save