Vitamin D, kalsium atau kombinasi vitamin D dan kalsium untuk rawatan riket pemakanan dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan vitamin D, kalsium atau kombinasi vitamin D dan kalsium untuk rawatan riket pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

Latar belakang

Riket pemakanan adalah penyakit tulang yang mempengaruhi kebanyakan kanak-kanak di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Kanak-kanak dengan riket pemakanan secara tipikal mempunyai tulang yang cacat, tumbesaran yang kurang baik dan mengalami masalah-masalah kesihatan lain. Kekurangan vitamin D merupakan penyebab paling lazim riket pemakanan. Dengan itu, riket pemakanan sering dirawat dengan memberi vitamin D kepada kanak-kanak dengan atau tanpa kalsium. Di beberapa buah negara yang cerah, walau bagaimanapun, hanya kalsium diguna untuk merawat riket pemakanan dalam kalangan kanak-kanak yang cukup vitamin D dari pendedahan cahaya matahari tetapi kekurangan kalsium dalam diet mereka. Ulasan ini dilaksanakan untuk mengkaji sama ada vitamin D, kalsium atau kombinasi vitamin D dan kalsium adalah terbaik untuk rawatan riket pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui empat kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan vitamin D, kalsium atau kombinasi vitamin D dan kalsium untuk rawatan riket pemakanan dalam kalangan kanak-kanak. 286 kanak-kanak dalam kajian-kajian tersebut berumur enam bulan hingga 14 tahun. Berikutan dengan rawatan, kanak-kanak dipantau selama 12 sehingga 24 minggu.

Bukti ini adalah terkini sehingga 25 Julai 2019.

Keputusan utama

Kami mendapati bukti penggunaan kalsium sahaja atau vitamin D bercampur dengan kalsium untuk merawat riket pemakanan mungkin memperbaiki penyembuhan berbanding mengguna vitamin D sahaja. Kami kurang pasti tentang kesan kalsium sahaja ke atas fraktur tulang berbanding vitamin D sahaja. Kami kurang pasti kesan ke atas fraktur tulang atau kesan sampingan lain vitamin D dengan kalsium berbanding vitamin D sahaja. Kami kurang pasti kesan vitamin D dengan kalsium berbanding kalsium sahaja ke atas penyembuhan riket, fraktur tulang dan kesan sampingan.

Tiada kajian melaporkan tentang pola pertumbuhan (perbezaan ketinggian, berat badan, ketinggian untuk usia, berat badan untuk usia), kematian sebarang punca, kesan sosioekonomi (kos rawatan, kehilangan sumber akibat sakit atau kerana ketiadaan penjaga kesihatan di tempat kerja, kos melawat ke hospital atau fasiliti kesihatan) dan kualiti hidup berkaitan kesihatan.

Kebolehpercayaan bukti

Kebolehpercayaan bukti bagi semua hasil dalam ulasan ini adalah rendah atau sangat rendah. Kebanyakan punca ketidakpastian adalah bilangan peserta yang rendah dalam kajian-kajian dan bilangan kecil kajian yang dimasukkan dalam ulasan. Keputusan yang tidak tepat dan berpotensi membuat kesimpulan yang salah adalah kerana cara perlaksanaan beberapa kajian juga menyumbang kepada tahap ketidakpastian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wendy Yeo Wai Yeng (Perdana University, Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information