Kesan penglibatan ibu bapa dan penjaga dewasa lain dalam diet kanak-kanak dan intervensi aktiviti fizikal

Soalan ulasan

Adakah terdapat perbezaan jika ibu bapa atau penjaga dewasa lain terlibat dalam intervensi untuk menggalakkan kanak-kanak makan lebih sihat atau lebih aktif secara fizikal?

Latar belakang

Diet dan kelakuan aktiviti fizikal adalah penentu kesihatan yang penting. Ibu bapa dan penjaga dewasa lain mempunyai peranan yang penting dalam membentuk tabiat kesihatan kanak-kanak dengan mengawal ketersediaan dan akses kepada makanan sihat dan peluang untuk menjadi aktif. Mereka juga menyokong, menggalakkan dan memodelkan perilaku yang sihat; serta mengamalkan gaya dan amalan pemakanan yang menyokong. Oleh sebab ini, sering dikatakan bahawa penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam diet kanak-kanak dan intervensi aktiviti fizikal adalah penting. Walau bagaimanapun, ia masih tidak jelas jika penglibatan ibu bapa dan penjaga sebenarnya mendatangkan manfaat.

Objektif-objektif

Kami menilai kesan penglibatan ibu bapa atau penjaga dewasa lain dalam pemakanan yang sihat dan intervensi aktiviti fizikal berbanding dengan kesan intervensi kanak-kanak yang sama tanpa komponen ibu bapa atau penjaga. Kami sangat berminat untuk memahami kesan pengambilan makanan kanak-kanak, tahap aktiviti fizikal kanak-kanak, dan kesan sampingan dari intervesi.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 23 kajian, yang diterbitkan antara 1982 dan 2019, yang melaksanakan intervensi diet, intervensi aktiviti fizikal, atau gabungan diet dan aktiviti fizikal dengan kanak-kanak atau remaja, dan menilai kesan penambahan komponen intervensi yang melibatkan ibu bapa atau penjaga dewasa lain. Kira-kira 12,192 kanak-kanak berumur 2 hingga 18 tahun telah dikaji. Lebih separuh daripada kajian dijalankan di Amerika Utara, dan kesemuanya (kecuali dua) negara berpendapatan tinggi. Kebanyakan kajian adalah berasaskan sekolah dan melibatkan penambahan kelas pemakanan yang sihat atau pendidikan jasmani, atau kedua-duanya, kadang-kadang seiring dengan perubahan lain pada persekitaran sekolah. Keluasan maklumat yang diberikan mengenai kandungan intervensi berbeza-beza antara kajian. Teknik intervensi yang paling lazim digunakan ialah yang bertujuan untuk membentuk pengetahuan peserta, seperti memberikan arahan tentang cara melakukan tingkah laku (misalnya tarian, pelajaran memasak). Kira-kira tiga perempat kajian melaporkan sumber dana mereka; tiada kajian melaporkan pembiayaan industri.

Keputusan utama

Penemuan ulasan ini mencadangkan penambahan komponen ibu bapa atau penjaga kepada perubahan sikap tingkah laku diet atau intervensi aktiviti fizikal mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada pengambilan makanan atau tahap aktiviti fizikal kanak-kanak. Untuk intervensi yang sasarannya adalah kedua-dua diet dan kelakuan aktiviti fizikal, penglibatan ibu bapa atau penjaga mungkin sedikit mengurangkan pengambilan minuman gula manis kanak-kanak pada akhir intervensi. Kami tidak tahu sama ada mana-mana intervensi ini menghasilkan kesan buruk kerana data ini tidak tersedia.

Kualiti bukti

Keseluruhannya, bukti dari kajian adalah rendah atau sangat rendah. Ini bermaksud kita tidak pasti tentang hasil kajian.

Bukti terkini

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information