Melatih pekerja kesihatan dalam pemeriksaan payudara untuk pengesanan awal kanser payudara di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Apakah isunya?

Perkhidmatan saringan yang terhad dan sistem kesihatan yang tidak mencukupi di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC) membawa kepada kelewatan diagnosis kanser payudara dalam kalangan wanita yang tinggal di LMIC. Pemeriksaan lanjutan untuk kanser payudara (menggunakan mamografi) kebanyakannya tidak tersedia di banyak kemudahan kesihatan dan, jika ada, terlalu mahal untuk kebanyakan wanita. Ulasan Cochrane ini mengkaji sama ada melatih pekerja kesihatan yang berpangkalan di LMIC dalam pemeriksaan payudara klinikal (CBE) akan mempunyai sebarang kesan ke atas pengesanan awal kanser payudara dalam komuniti ini.

Mengapa ianya penting?

Lebih ramai wanita yang mati akibat kanser payudara di LMIC berbanding negara berpendapatan tinggi (HIC) walaupun kadar kejadian kanser payudara yang lebih rendah dalam HIC berbanding LMIC. CBE ialah teknik pengesanan awal yang murah untuk kanser payudara dan melatih pekerja kesihatan daripada LMICs untuk menjalankan CBE mempunyai potensi untuk meningkatkan pengesanan awal kanser payudara.

Kami bertanya?

Sama ada melatih pekerja kesihatan dalam CBE berbanding tanpa latihan mempunyai sebarang kesan ke atas meningkatkan pengesanan kanser payudara pada peringkat awal penyakit ini. Kami juga menilai sama ada latihan pekerja kesihatan di CBE mempunyai sebarang kesan ke atas ketepatan dalam mengesan kanser payudara, kesan CBE ke atas kematian akibat kanser payudara, dan pengetahuan dan penerimaan CBE di kalangan wanita. Kami memasukkan kajian yang diterbitkan sehingga 17 Julai 2021.

Kami mendapati empat kajian yang menjawab soalan kajian kami. Latihan CBE telah disediakan kepada pekerja kesihatan, jururawat, bidan dan pekerja kesihatan masyarakat yang bekerja di LMIC. Jumlah populasi 947,190 wanita telah disaring untuk kanser payudara. Daripada jumlah populasi yang disaring, 593 kanser payudara telah didiagnosis, dengan lebih banyak kanser yang didiagnosis pada peringkat awal oleh pekerja kesihatan terlatih daripada oleh pekerja kesihatan yang tidak terlatih. Keputusan daripada kajian ini mencadangkan bahawa melatih pekerja kesihatan dalam CBE boleh meningkatkan diagnosis kanser payudara pada peringkat awal, tetapi bukti sedia ada adalah berkualiti rendah. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai kesannya terhadap hasil lain, termasuk sejauh mana CBE dilakukan dengan tepat, pengetahuan tentang CBE, pengambilan/penerimaan CBE, dan jika CBE mempunyai sebarang kesan ke atas kematian akibat kanser payudara.

Ini bermakna terdapat potensi untuk mengesan kanser payudara pada peringkat awal jika pekerja kesihatan di LMIC dilatih untuk melakukan CBE; namun kajian yang berkualiti tinggi diperlukan untuk menjawab persoalan kajian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information