Pembalut keras berbanding lembut untuk amputasi transtibial (di bawah lutut)

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan sama ada pembalut keras adalah lebih berkesan daripada pembalut lembut dalam membantu penyembuhan luka berikutan amputasi transtibial (di bawah lutut). Penyelidik dari Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan (kajian rawak terkawal (RCT) dan kajian separa rawak terkawal) untuk menjawab soalan ini dan menemui sembilan kajian yang berkaitan.

Mesej utama

Kepastian bukti untuk semua hasil adalah sangat rendah kerana keputusannya tidak dapat menerima atau menolak manfaat atau bahaya yang penting, dan kerana reka bentuk dan pelaporan kajian yang tidak pada piawai yang tinggi. Oleh itu, kami tidak pasti sama ada penggunaan pembalut keras menyebabkan hasil pesakit yang lebih baik atau teruk berbanding dengan pembalut lembut.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami mengkaji kesan pembalut keras seperti pelekat plaster atau pembalut kaca gentian terhadap hasil melibatkan penyembuhan luka, kejadian buruk, preskripsi prostetik, fungsi fizikal, tempoh tinggal di hospital, keselesaan pesakit, kualiti hidup, kos dan pembengkakan pada orang susulan amputasi transtibial. Pembalut keras dibandingkan dengan pembalut lembut seperti kain kasa atau pembalut elastik dalam semua kajian yang disertakan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menyertakan hasil dari sembilan RCT dan kuasi-RCT yang melibatkan 436 peserta (441 kaki) dalam ulasan ini. Peserta direkrut dari hospital akut dan/atau pemulihan dari tujuh negara yang berbeza. Saiz sampel kajian berkisar dari 15 hingga 154, sementara usia purata peserta berkisar dari 54 hingga 75. Lebih daripada separuh dari semua peserta menghidap penyakit kencing manis dan komorbiditi lain (contohnya anemia, sejarah merokok, darah tinggi, penyakit jantung). Amputasi semuanya disebabkan oleh keadaan vaskular (contohnya penyakit arteri periferal) walaupun penyebab amputasi tidak selalu dinyatakan.

Kami tidak pasti sama ada pembalut keras menyebabkan lebih banyak penyembuhan luka, kurang kesan buruk, tempoh pemulihan yang lebih cepat untuk kesakitan dan penyembuhan luka, preskripsi berjalan dan prostetik, penurunan lebih banyak untuk bengkak, dan tempoh tinggal di hospital yang lebih singkat, berbanding dengan pembalut lembut. Kami tidak pasti mengenai hasil ini kerana semua kajian mempunyai batasan metodologi yang sangat teruk, dan kebanyakan keputusan adalah berdasarkan bilangan kajian yang kecil (iaitu satu hingga tiga kajian yang melibatkan 21 hingga 65 peserta).

Adakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga bulan Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information