Kaedah pembayaran untuk kakitangan perkhidmatan kesihatan dalam jabatan kesihatan pesakit luar

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan kaedah pembayaran yang berbeza untuk kakitangan perkhidmatan kesihatan yang bekerja di jabatan rawatan pesakit luar. Pengulas ulasan telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab persoalan ini dan telah mendapati terdapat 27 kajian yang berkaitan.

Mesej-mesej utama

Ulasan ini menunjukkan bahawa kaedah pembayaran yang berbeza dapat mempengaruhi tingkah laku kakitangan perkhidmatan kesihatan melalui cara positif dan negatif. Sebagai contoh, sementara kakitangan perkhidmatan kesihatan mungkin didorong untuk memberikan lebih banyak layanan khusus, mereka juga dapat didorong untuk memberikan layanan yang tidak perlu. Masih terdapat jurang besar dalam pemahaman tentang bagaimana pembayaran kakitangan perkhidmatan kesihatan mempengaruhi perkhidmatan kesihatan, semangat kerja dan beban kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan, dan kesihatan pesakit.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Kakitangan perkhidmatan kesihatan mungkin boleh dibayar dengan cara yang berbeza-beza. Kaedah pembayaran yang berbeza dapat mendorong kakitangan perkhidmatan kesihatan memberi pesakit rawatan yang mereka perlukan dengan cara yang terbaik dan yang paling menjimatkan, tetapi mereka juga dapat mendorong kakitangan perkhidmatan kesihatan untuk menawarkan mutu penjagaan kesihatan yang berkualiti rendah, mahal, dan tidak perlu, serta untuk mengelakkan rawatan tertentu atau jenis-jenis pesakit yang tertentu. Kaedah pembayaran yang berbeza juga dapat mempengaruhi semangat kerja dan beban kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan. Juga ia mungkin mampu mengakibatkan sistem penjagaan kesihatan menanggung kos yang lebih banyak ataupun kurang daripada yang sepatutnya.

Pengulas ulasan telah mencari kajian-kajian mengenai kesan-kesan kaedah pembayaran yang berbeza untuk kakitangan perkhidmatan kesihatan yang bekerja dalam jabatan rawatan pesakit luar. Penjagaan pesakit luar adalah di mana pesakit mendapat rawatan kesihatan dari kakitangan penjagaan kesihatan di luar hospital dan di mana mereka tidak memerlukan katil di wad. Pusat rawatan kesihatan, pusat perancang keluarga, dan klinik pergigian adalah semua contoh fasiliti pesakit luar.

Kaedah-kaedah pembayaran yang diminati oleh penulis pengulas ulasan adalah seperti berikut.

- Bayar untuk prestasi: kakitangan perkhidmatan kesihatan dibayar untuk melaksanakan tugas tertentu atau mencapai sasaran tertentu.

- Bayaran untuk perkhidmatan: kakitangan perkhidmatan kesihatan dibayar untuk setiap perkhidmatan yang mereka berikan kepada pesakit.

- Gaji: kakitangan perkhidmatan kesihatan dibayar berdasarkan masa yang mereka habiskan di tempat kerja.

- Bayaran secara had: kakitangan perkhidmatan kesihatan dibayar mengikut jumlah pesakit yang mereka ada.

- Campuran pendekatan yang berbeza-beza yang di atas.

Apakah hasil-hasil utama ulasan ini?

Penulis ulasan mendapati 27 kajian yang berkaitan. Sebilangan besar kajian telah meneliti doktor-doktor penjagaan kesihatan utama di negara berpendapatan tinggi.

Apabila pembayaran untuk prestasi ditambah kaedah pembayaran lain (termasuk kapitasi, gaji, dan bayaran untuk perkhidmatan) dibandingkan dengan kaedah pembayaran lain: kakitangan perkhidmatan kesihatan mungkin memberikan lebih banyak perkhidmatan tertentu, termasuk imunisasi. Mereka juga mungkin akan menyediakan rawatan yang lebih berkualiti, termasuk bagaimana beberapa ubat digunakan, tetapi penambahbaikan ini mungkin dikurangkan ketika pembayaran untuk prestasi berakhir. Kesan terhadap kesihatan pesakit berkemungkinan telah bercampur-campur. Kami tidak pasti mengenai kesannya terhadap semangat kerja atau beban kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan, atau kos, kerana bukti tersebut hilang atau mempunyai kepastian yang sangat rendah.

Apabila kaedah bayaran untuk perkhidmatan dibandingkan dengan kaedah pembayaran lain (seperti had atau gaji): kakitangan perkhidmatan kesihatan yang dibayar dengan bayaran untuk perkhidmatan mungkin memberikan perkhidmatan yang lebih tidak perlu daripada yang dibayar dengan gaji. Kami tidak pasti mengenai kesannya terhadap kualiti atau kuantiti penjagaan, semagat kerja atau beban kerja penyedia perkhidmatan kesihatan, atau kos, kerana bukti tersebut hilang atau mempunyai kepastian yang sangat rendah.

Apabila bayaran untuk perkhidmatan bercampur dengan kaedah pembayaran lain (termasuk bayaran untuk perkhidmatan ditambah bayaran seacara had dan bayaran untuk perkhidmatan ditambah gaji) dibandingkan dengan kaedah pembayaran lain: kakitangan perkhidmatan kesihatan mungkin memberikan lebih banyak perkhidmatan khusus. Kami tidak pasti mengenai kesannya terhadap kualiti atau kuantiti penjagaan, semangat kerja atau beban kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan, atau kos, kerana bukti tersebut hilang atau mempunyai kepastian yang sangat rendah.

Apabila kaedah bayaran untuk perkhidmatan menggunakan bayaran yang lebih tinggi dibandingkan dengan kaedah bayaran untuk perkhidmatan menggunakan bayaran yang lebih rendah: kakitangan perkhidmatan kesihatan mungkin memberikan lebih banyak perkhidmatan tertentu, termasuk imunisasi. Kami tidak pasti sama ada bayaran yang lebih tinggi memberi kesan kepada kos kerana buktinya sangat rendah. Kami tidak pasti mengenai kesannya terhadap kualiti penjagaan, kesihatan pesakit, semangat kerja atau beban kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan, atau kesan-kesan yang tidak disengajakan kerana bukti tersebut hilang atau mempunyai kepastian yang sangat rendah.

Sejauh manakah ulasan ini telah dikemaskinikan?

Pengarang ulasan kajian ini telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 5 Mac 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information