Asyl-L-Carnitine untuk rawatan neuropati diabetes

Tujuan ulasan ini

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai kesan Asyl-L-Carnitine (ALC) pada neuropati periferi diabetes (DPN) bagi mereka yang menghidap diabetes. Kami ingin mengetahui sama ada ALC boleh melegakan kesakitan, dan adakah terdapat sebarang kesan yang berbahaya bagi rawatan ini.

Mesej-mesej utama

Kami tidak pasti sama ada ALC mengurangkan kesakitan DPN, kerana bukti sangat jarang ditemui dan mempunyai kepastian yang sangat rendah. Kekerapan berlakunya kesan sampingan berkemungkinan tidak melebihi kesan sampingan plasebo, tetapi bukti bagi perkara ini juga tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Apa yang dikaji di dalam ulasan ini?

Diabetes (Kencing manis) adalah keadaan di mana kandungan gula di dalam darah melebihi paras normal. Keadaan gula yang berlebihan ini boleh merosakkan saraf periferi (saraf yang jauh daripada saraf tunjang) dan keadaan ini dipanggil DPN. DPN adalah komplikasi diabetes yang serius dan kerap berlaku, melibatkan 50% orang yang telah menghidap diabetes untuk jangka masa yang panjang. Secara keseluruhan, 16% hingga 24% orang yang menghidap diabetes mengalami kesakitan kronik akibat kerosakan saraf. Kaki dan tangan adalah aggota utama yang terjejas oleh DPN.

Rawatan bagi memulihkan fungsi saraf dan melegakan simptom DPN adalah keperluan yang sangat mendesak . Penulis Ulasan Cochrane mencari bukti daripada ujian rawak berkaitan kesan rawatan ALC kepada DPN. Bukti daripada ujian rawak biasanya lebih dipercayai berbanding dengan kajian jenis lain.

Apakah keputusan utama ulasan

Penulis ulasan mendapati empat ujian yang berkaitan, yang melibatkan 906 orang dewasa dengan diabetes. Tiga kajian membandingkan ALC dengan plasebo (sebatian tiruan tidak aktif), dan satu kajian membandingkan ALC dengan methylcobalamin (satu bentuk vitamin B12).

Kepastian bukti daripada kajian-kajian ini adalah rendah hingga sangat rendah, dimana ia bermaksud kami tidak boleh yakin dengan penemuan ini. Sebab utama adalah hasil kajian tidak sentiasa dilaporkan sepenuhnya atau dengan jelas, kajian mempunyai limitasi yang serius, dan hasil kajian kurang ketepatan.

Bagi m,ereka yang mengalami kerosakan saraf disebabkan oleh diabetes, tiada kepastiani sama ada ALC mengurangkan kesakitan selepas 12 bulan terapi, berbanding dengan plasebo. Kajian-kajian ini memberikan sedikit atau tiada maklumat mengenai kesan ALC pada kemerosotan fungsi, ujian deria, dan simptom. Walaupun ada kajian-kajian menyediakan data yang dikehendaki, kualiti bukti terlalu rendah untuk membuat kesimpulan yang boleh dipercayai. Kajian yang membandingkan ALC dengan methylcobalamin tidak menilai kesakitan. Terdapat nilai pemulihan kerosakan fungsi dan simptom yang berkaitan yang lebih kurang sama dengan rawatan ALC dan methylcobalamin.

Kekerapan kesan sampingan yang berbahaya dengan ALC mungkin tidak melebihi plasebo. Tiada kepastian daripada bukti kajian berkaitan kesan sampingan ALC berbanding methylcobalamin.

Dua daripada empat kajian telah dibiayai oleh pengeluar ALC dan dua lagi kajian mempunyai sekurang-kurangnya satu pengarang bersama yang merupakan perunding untuk pengeluar ALC.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli ( Health Technology Assessment Section, Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information