Rawatan radioiodin bantuan tirotropin manusia rekombinan untuk goiter multinodular bukan toksik

Latar belakang

Goiter ialah pembesaran kelenjar tiroid yang boleh diklasifikasi sebagai goiter mudah, meresap atau goiter multinodular. Nodul (benjolan) dalam kelenjar tiroid adalah perkara biasa dan biasanya tidak berbahaya. Ia lebih kerap berlaku pada wanita, warga emas, dan pada orang yang menetap di kawasan dengan kekurangan iodin. Nodul tiroid mungkin terjadi sebagai nodul tunggal atau sebagai nodul yang banyak (multinodular). Goiter multinodular boleh menjadi 'toksik' (menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid), atau tidak toksik (fungsi tiroid normal). Rawatan untuk goiter multinodular bukan toksik termasuk pembedahan, terapi suppresif hormon tiroid, dan terapi radioiodin. Biasanya, jumlah radioiodin yang lebih tinggi diperlukan untuk membolehkan pengambilan radioiodin yang sesuai dalam nodul tiroid. Hormon perangsang tiroid manusia rekombinan genetik (rhTSH) telah digunakan untuk meningkatkan pengambilan radioiodin.

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan radioiodin berbantukan rhTSH adalah lebih baik untuk penghidap goiter multinodular bukan toksik berbanding dengan rawatan radioiodin sahaja. Hasil yang kami minati secara khusus ialah kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, tiroid yang kurang aktif (hipotiroidism), kesan sampingan, pengurangan isipadu tiroid, kematian akibat sebarang sebab dan kos.

Apakah yang kami cari?

Kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian yang:
— merupakan ujian rawak terkawal (kajian di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu kumpulan rawatan);
— termasuk orang yang menghidapi goiter multinodular bukan toksik;
— membandingkan rawatan radioiodin berbantukan rhTSH dengan rawatan radioiodin sahaja;
— mengikuti peserta (susulan) untuk sekurang-kurangnya satu tahun.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui enam kajian yang melibatkan sejumlah 321 peserta. Satu dos radioiodin diberikan 24 jam selepas suntikan intramuskular satu dos rhTSH. Peserta disusuli untuk 12 hingga 36 bulan.

Keputusan utama

Satu kajian dengan 85 peserta menunjukkan tiada kesan bermanfaat atau berbahaya yang jelas terhadap kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan untuk kedua-dua intervensi. Hanya sedikit orang (53 hingga 377 daripada 1000 dirawat) yang menerima radioiodin sahaja mengalami hipotiroidisme berbanding dengan terapi radioiodin berbantukan rhTSH. Berkemungkinan bahawa radioiodin sahaja menyebabkan kurang kesan sampingan, seperti ketidakselesaan dan sakit leher, berbanding radioiodin berbantukan rhTSH, tetapi kami memerlukan lebih banyak kajian untuk mengesahkan penemuan ini. Sebaliknya, radioiodin berbantukan rhTSH mengurangkan isipadu tiroid, dengan secara puratanya, 12% lebih daripada rawatan radioiodin sahaja. Satu kajian, dengan 28 peserta, melaporkan satu kematian dalam kumpulan radioiodin sahaja. Tidak ada kajian yang telah membuat laporan ke atas kos.

Kepastian bukti

Kami berkeyakinan sederhana tentang keputusan untuk hipotiroidisme dan pengurangan isipadu tiroid, terutamanya kerana hanya terdapat enam kajian dengan 268 hingga 321 peserta. Kami sangat tidak pasti tentang keputusan untuk kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan kematian daripada sebarang sebab, kerana terdapat hanya satu kajian, dengan 85 peserta yang melaporkan hasil ini. Kami tidak pasti tentang keputusan untuk peristiwa sampingan, terutamanya kerana tiada kajian atau peserta yang mencukupi untuk menilai hasil ini dengan pasti.

Sejauh manakah ulasan ini mutakhir?
Bukti ini adalah terkini sehingga 18 Disember 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information