Intervensi bagi pengurusan cecair sekeliling paru-paru (cecair pleura) disebabkan oleh kanser

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti tentang keberkesanan kaedah yang berbeza untuk menguruskan pengumpulan cecair di sekeliling paru-paru orang yang disebabkan oleh kanser.

Latar belakang

Efusi pleura malignan (MPE) adalah keadaan yang berlaku pada lapisan paru-paru orang dengan kanser. Ini boleh menyebabkan cecair terkumpul di ruang antara bahagian luar paru-paru dan sangkar rusuk (rongga pleura), selalunya mengakibatkan sesak nafas. Pilihan rawatan memberi tumpuan kepada pengawalan gejala. Ini termasuk penyingkiran cecair menggunakan tiub dada sementara, pemeriksaan kamera rongga pleura (torakoskopi) atau tiub dada separuh kekal yang dimasukkan di bawah kulit (kateter pleura yang tetap). Memasukkan bahan kimia ke dalam rongga pleura juga boleh digunakan untuk mengelakkan pengembalian cecair (pleurodesis). Kami ingin mengetahui kaedah mana yang paling berkesan untuk mencegah pengumpulan semula cecair (kegagalan pleurodesis) dan yang terbaik dari segi kesan sampingan (termasuk kesakitan dan demam) serta dapatan penting lain seperti sesak nafas dan kualiti hidup.

Ciri-ciri kajian

Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini. Kami berminat dengan penyelidikan berkualiti tinggi, oleh itu kami hanya mencari kajian rawak terkawal (di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada rawatan yang diuji). Kami menganalisis kebanyakan data menggunakan 'rangkaian meta-analisis', yang membolehkan banyak intervensi yang berbeza dibandingkan dalam satu analisis. Analisis ini menyusun peringkat intervensi mengikut urutan keberkesanannya.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti daripada kajian-kajian dengan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Kepastian bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti dengan keputusan tersebut. Bukti kepastian tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusan tersebut. Kebanyakan kajian adalah berkualiti rendah dan kajian individu agak berbeza antara satu sama lain. Ini menyukarkan untuk membuat kesimpulan yang pasti.

Keputusan utama

Daripada carian kami pada Jun 2019, kami menjumpai 80 kajian (18 baharu) yang melibatkan 5507 peserta (2079 baharu).

Dalam rangkaian meta-analisis, kami mendapati bahawa pemberian talkum melalui tiub dada selepas mengalirkan cecair (buburan talkum) mengakibatkan kurang kegagalan pleurodesis berbanding kaedah lain yang biasa digunakan, seperti ubat doxycycline atau bleomycin melalui tiub dada (kepastian rendah). Penggunaan prosedur torakoskopi untuk mengeluarkan cecair dan meniup talkum ke dalam dada (poudrage talkum) berkemungkinan berkesan seperti buburan talkum (kepastian sederhana).

Kami mempunyai tahap kepastian yang rendah bahawa risiko demam adalah serupa antara rawatan. Mungkin terdapat sedikit perbezaan antara rawatan dalam kemungkinan mengalami kesakitan (kepastian rendah untuk bleomycin, IPC dan doxycycline; kepastian sangat rendah untuk poudrage talkum).

Penggunaan IPC yang membenarkan pengaliran cecair yang berselang-seli di rumah, boleh melegakan sesak nafas seperti prosedur buburan talkum (kepastian rendah).

Mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam risiko kematian antara rawatan berbanding buburan talkum (kepastian rendah untuk bleomycin dan IPC tanpa pengaliran harian; kepastian sangat rendah untuk poudrage talkum dan doxycycline).

Peluang memerlukan prosedur invasif lain untuk mengeluarkan cecair adalah lebih rendah selepas menjalani IPC berbanding selepas pleurodesis buburan talkum (kepastian sederhana).

Kesimpulan

Bukti yang sedia ada menunjukkan bahawa poudrage talkum dan buburan talkum adalah cara yang berkesan untuk menguruskan MPE, dengan kadar kegagalan pleurodesis yang lebih rendah daripada beberapa kaedah lain yang biasa digunakan. Walau bagaimanapun, ia juga penting untuk mempertimbangkan pengalaman global tentang ejen ini dan pengetahuan tentang keselamatan dan kesan sampingannya apabila memilih kaedah pleurodesis yang paling sesuai.

IPC kurang berkemungkinan menghalang cecair pleura daripada terkumpul semula berbanding buburan talkum, tetapi mungkin sama baiknya dalam membantu sesak nafas. Orang dengan IPC kurang berkemungkinan memerlukan prosedur invasif lain pada masa hadapan untuk menguruskan efusi pleura.

Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk melihat kumpulan pesakit tertentu dan meneroka hasil seperti sesak nafas dan kualiti hidup dengan lebih terperinci. Sebaik-baiknya pemahaman yang lebih lengkap tentang potensi bahaya rawatan dari perspektif pesakit juga akan bermanfaat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information