Latar belakang
Ini adalah kemas kini ulasan asal yang diterbitkan pada 2017. Hipertensi (tekanan darah tinggi) adalah satu keadaan jangka panjang yang meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti serangan jantung, strok atau penyakit buah pinggang. Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat hipertensi. Kebiasaanya setelah beberapa lama seseorang dengan hipertensi akan memerlukan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal tekanan darah mereka. Apabila doktor mempreskripsi ubat-ubatan bagi mengurangkan tekanan darah untuk kali pertama, dia mempunyai dua pilihan, menggunakan hanya satu ubat (dikenali sebagai monoterapi) atau menggunakan dua ubat (dikenali sebagai terapi kombinasi). Terapi kombinasi boleh dalam dalam bentuk satu tablet atau tablet yang berbeza. Kelebihan potensial menggunakan terapi kombinasi adalah tekanan darah boleh dikurangkan lebih cepat, tetapi adalah tidak jelas jika ia lebih baik atau lebih teruk untuk mengelakkan masalah-masalah kesihatan.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian-kajian klinikal yang membandingkan permulaan rawatan hipertensi dalam kalangan dewasa dengan monoterapi berbanding terapi kombinasi. Kajian-kajian perlu melaporkan keputusan dalam aspek kematian, kejadian akibat penyakit jantung atau salur darah (serangan jantung, strok atau kegagalan jantung); kematian akibat penyakit jantung atau saluran darah, atau sebarang kesan sampingan serius berkaitan kesihatan. Kami hanya memilih kajian dengan 50 atau lebih orang setiap kumpulan dan kajian mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan. Bukti ini adalah terkini sehingga April 2019.
Keputusan utama dan kepastian bukti
Dalam kemas kini ini kami memasukkan satu kajian baharu, untuk sejumlah empat kajian dalam ulasan ini melibatkan 349 orang yang dirawat dengan terapi kombinasi dan 419 yang dirawat dengan monoterapi. Walaubagaimanapun, tiada cukup data untuk menjawab soalan ulasan kami. Kajian yang lebih besar diperlukan yang membandingkan monoterapi dengan terapi kombinasi sebagai rawatan utama hipertensi.
Diterjemah oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my