Membayar untuk prestasi bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan 'bayar untuk prestasi' terhadap penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Penulis ulasan telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui 59 kajian.

Mesej utama

Kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini melihat pendekatan membayar untuk prestasi yang pelbagai reka bentuk, keadaan dan pelaksanaannya. Ulasan menunjukkan bahawa membayar untuk prestasi mungkin mempunyai kesan positif dan negatif terhadap perkhidmatan kesihatan yang disasarkan. Pembayaran juga boleh memberi kesan positif pada perkhidmatan kesihatan lain yang tidak disasarkan secara langsung dan mungkin tidak mempunyai kesan negatif yang tidak diingini terhadap perkhidmatan ini. Namun, sebahagian besar bukti adalah berkepastian rendah dan kami memerlukan lebih banyak, kajian yang dijalankan dengan baik tentang topik ini.

Apa itu 'bayar untuk prestasi'?

Dalam pendekatan 'bayar untuk prestasi', orang akan diberikan wang atau ganjaran lain jika mereka menjalankan tugas tertentu atau memenuhi sasaran tertentu. Bayar untuk prestasi biasanya ditujukan kepada pekerja kesihatan atau kemudahan penjagaan kesihatan. Pekerja kesihatan atau kemudahan penjagaan kesihatan akan diganjari jika mereka menawarkan perkhidmatan tertentu atau memberikan penjagaan yang berkualiti tertentu, atau jika pesakit mereka menggunakan perkhidmatan tertentu dan mencapai kesihatan yang lebih baik sebagai hasilnya.

Bayar untuk prestasi dapat digunakan untuk mensasarkan masalah kesihatan dan perkhidmatan tertentu yang perlu dipertingkatkan. Tetapi bayar untuk prestasi juga boleh mempengaruhi perkhidmatan lain yang tidak disasarkan secara khusus. Sebagai contoh, ia dapat mendorong pekerja kesihatan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan lain yang mereka berikan. Tetapi ia juga boleh mendorong mereka menghindari perkhidmatan yang tidak menghasilkan pembayaran tambahan. Bagi mengetahui lebih lanjut, penulis ulasan menilai kesan membayar prestasi pada perkhidmatan yang disasarkan dan tidak disasarkan. Ini termasuk mencari kesan yang tidak diingini.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan memasukkan 59 kajian yang berkaitan. Sebilangan besar berasal dari Afrika sub-Sahara dan Asia. Sebilangan besar skim bayaran untuk prestasi dalam kajian-kajian ini dibiayai oleh Kementerian Kesihatan nasional, juga dengan sokongan Bank Dunia.

Empat puluh sembilan kajian membandingkan kemudahan kesihatan yang menggunakan bayaran untuk prestasi dengan kemudahan kesihatan yang menjalankan perniagaan seperti biasa. Tujuh belas kajian membandingkan kemudahan kesihatan yang menggunakan bayaran untuk prestasi dengan kemudahan yang menggunakan pendekatan lain. Dalam kebanyakan kajian ini, pendekatan ini melibatkan pemberian dana yang serupa tetapi tanpa menekankan elemen pembayaran untuk prestasi.

Kesan membayar prestasi berbanding perniagaan seperti biasa

Untuk perkhidmatan kesihatan yang disasarkan secara khusus, bayar untuk prestasi:

- dapat meningkatkan beberapa hasil kesihatan, dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mungkin meningkatkan ketersediaan pekerja kesihatan, ubat-ubatan dan infrastruktur dan peralatan yang berfungsi dengan baik; tetapi

- mungkin memberi kesan positif dan negatif terhadap penyampaian dan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Untuk perkhidmatan kesihatan yang tidak disasarkan, bayar untuk prestasi:

- mungkin meningkatkan beberapa hasil kesihatan;

- dapat meningkatkan penyampaian, penggunaan dan kualiti beberapa perkhidmatan kesihatan tetapi mungkin sedikit atau tidak memberi perbezaan berbanding lain; dan

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan yang tidak diingini.

Kami tidak tahu apakah kesan bayar untuk prestasi terhadap ketersediaan ubat-ubatan dan sumber-sumber lain kerana bukti adalah berkepastian sangat rendah

Kesan membayar untuk prestasi berbanding dengan pendekatan lain

Untuk hasil dan perkhidmatan kesihatan yang disasarkan secara khusus, bayar untuk prestasi:

- mungkin meningkatkan kualiti perkhidmatan;

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap hasil kesihatan; dan

- mungkin ada positif dan negatif terhadap penyampaian dan penggunaan perkhidmatan kesihatan dan ketersediaan peralatan dan ubat-ubatan.

Untuk hasil dan perkhidmatan kesihatan yang tidak disasarkan, bayar untuk prestasi:

- mungkin membuat sedikit atau tidak ada perbezaan terhadap hasil kesihatan dan penyampaian dan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Kami tidak tahu apakah kesan bayar untuk prestasi terhadap kualiti perkhidmatan, ketersediaan sumber, dan kesan yang tidak diingini kerana bukti hilang atau berkepastian sangat rendah

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Penulis ulasan memasukkan kajian yang telah diterbitkan sehingga April 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information