Terapi lamotrigine tambahan untuk epilepsi fokal tahan ubat

Latar belakang

Epilepsi adalah gangguan di mana discaj elektrik yang tidak dijangka daripada otak menyebabkan sawan. Kira-kira satu pertiga daripada pesakit dengan epilepsi terus mengalami sawan, walaupun mendapat rawatan dengan ubat-ubat antiepileptik (AEDs) yang diguna masa kini. Tambahan pula, AED yang lebih lama mempunyai banyak kesan buruk. Oleh itu, pembangunan terapi baru yang berkesan untuk rawatan sawan tahan ubat adalah penting. Akibatnya, pelbagai AED baru telah dibangunkan sebagai rawatan tambahan. Lamotrigine adalah salah satu ubat tersebut.

Matlamat ulasan

Matlamat ulasan ini adalah untuk menentukan kesan lamotrigine terhadap sawan, kesan buruk, kognisi (kemampuan untuk belajar dan memahami) dan kualiti hidup berbanding kawalan plasebo, apabila diguna sebagai rawatan tambahan untuk orang dengan epilepsi fokus yang tidak respon kepada AED sedia ada. Untuk kemas kini ini, kami tidak mengenal pasti sebarang kajian baharu untuk ditambah, dengan itu kesimpulan kekal tidak berubah. Ulasan ini hanya memasukkan 14 kajian rawak terkawal (RCT) dan sejumlah 1806 peserta.

Keputusan

Lamotrigine, yang diguna dalam kombinasi dengan AED lain dalam kalangan pesakit dengan epilepsi fokus tahan ubat dapat mengurangkan kekerapan sawan. Walau bagaimanapun, menambahkan lamotrigine kepada rawatan biasa lebih sering dikaitkan dengan peningkatan kesan buruk seperti ketidakstabilan (ataksia), pening, penglihatan berganda (diplopia), dan loya.

Kepastian bukti

Kami menilai kajian-kajian tersebut dengan risiko bias dan secara keseluruhan kami menilainya sebagai rendah hingga tidak jelas. Kami menilai kepastian bukti sebagai tinggi hingga sederhana.

Kesimpulan

Penyelidikan lanjut berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai sepenuhnya efikasi dan ketoleranan lamotrigine dan membandingkannya dengan AED lain yang lebih baharu.

Bukti ini adalah terkini sehingga 9 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information