Penambahan kalsium semasa hamil untuk mencegah gangguan tekanan darah dan masalah yang berkaitan

Apakah isunya?

Pra-eklampsia jelas dilihat sebagai tekanan darah tinggi dan kehadiran protein dalam air kencing. Ia merupakan penyebab utama kematian dalam kalangan wanita hamil dan bayi baru lahir di seluruh dunia. Kelahiran pramasa (kelahiran sebelum 37 minggu) lazim disebabkan oleh tekanan darah tinggi dan merupakan penyebab utama kematian bayi baru lahir, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah.

Mengapakah ini penting?

Bukti daripada kajian rawak terkawal menunjukkan penambahan kalsium membantu mencegah pra-eklampsia dan kelahiran pramasa dan mengurangkan risiko kematian wanita atau masalah serius berkaitan dengan tekanan darah tinggi semasa hamil. Ini adalah terutamanya bagi wanita dengan diet rendah kalsium.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami mencari bukti pada 18 September 2017, dan mendapati 27 kajian. Kami menemui bukti dari 13 kajian (melibatkan 15,730 wanita) bahawa penambahan kalsium dos tinggi (sekurang-kurangnya 1 gram (g) setiap hari) semasa hamil boleh menjadi cara yang selamat untuk mengurangkan risiko pra-eklampsia, terutamanya dalam kalangan wanita dari masyarakat diet rendah kalsium dan mereka yang berisiko untuk pra-eklampsia. Wanita yang menerima penambahan kalsium mungkin juga kurang cenderung untuk mati atau mempunyai masalah serius berkaitan dengan pra-eklampsia (bukti berkualiti rendah) dan tekanan darah tinggi. Bayi mungkin kurang cenderung dilahirkan pramasa (bukti berkualiti rendah). Sindrom hemolisis, peningkatan enzim hati dan platelet rendah ditingkatkan dengan kalsium, tetapi bilangan mutlak adalah kecil (bukti berkualiti tinggi). Dos kalsium tinggi tidak menunjukkan kesan jelas ke atas bayi yang dimasukkan ke penjagaan neonatal intensif, atau bilangan lahir mati atau kematian sebelum keluar hospital.

Kajian lanjut diperlukan ke atas dos yang sesuai untuk penambahan. Bukti yang terhad dari 12 kajian (2334 wanita) mencadangkan bahawa dos kalsium yang agak rendah mungkin berkesan dalam mengurangkan pra-eklampsia, tekanan darah tinggi, dan bayi yang dimasukkan ke penjagaan intensif (walau bagaimanapun, kualiti bukti kalsium sahaja dikurangkan kerana lapan kajian yang disertakan memberikan ubat-ubatan lain bersama kalsium, seperti vitamin D, asid linoleik atau antioksidan). Dos kalsium rendah tidak mempunyai kesan yang jelas terhadap kelahiran pramasa, lahir mati atau kematian sebelum keluar dari hospital.

Satu kajian kecil membandingkan dos kalsium tinggi dengan dos kalsium rendah. Pra-eklampsia kelihatan dikurangkan dalam kumpulan dos yang tinggi, tetapi tiada perbezaan lain yang didapati bagi kelahiran pramasa, atau lahir mati.

Apakah maksudnya?

Di dalam persekitaran di mana kalsium diet adalah rendah, penambahan adalah strategi penting untuk mengurangkan kesan pra-eklampsia yang serius. Jika penambahan dos tinggi tidak mungkin, pilihan penambahan dos yang lebih rendah (500 miligram (mg) hingga 600 mg setiap hari) boleh dipertimbangkan berbanding tanpa penambahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save