Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan mudarat ubat penurun tekanan darah untuk tekanan darah tinggi dalam kalangan dewasa 60 tahun atau lebih tua?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Ubat penurun tekanan darah mengurangkan risiko kematian dan mungkin mengurangkan serangan jantung dan strok dalam kalangan orang dengan hipertensi (tekanan darah tinggi) berumur 60 tahun atau lebih tua.

• Mungkin terdapat lebih banyak lagi penarikan diri daripada kajian dalam kalangan mereka yang mengambil ubat penurun tekanan darah berbanding mereka yang menerima plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan.

Apakah hipertensi?

Hipertensi ialah tekanan darah tinggi. Ia adalah biasa dalam kalangan dewasa 60 tahun atau lebih tua. Menghidap hipertensi meningkatkan kemungkinan penyakit jantung dan saluran darah.

Bagaimana hipertensi dirawat?

Hipertensi biasanya dirawat dengan pelbagai ubat penurun tekanan darah.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan penggunaan ubat penurun tekanan darah dalam kalangan dewasa 60 tahun atau lebih tua dengan hipertensi. Ini adalah kemas kini yang ketiga ulasan ini, yang pertama diterbitkan pada tahun 1998 dan sebelum ini dikemas kini pada tahun 2009 dan 2019.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan rawatan dengan ubat penurun tekanan darah berbanding plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan dalam kalangan dewasa 60 tahun atau lebih tua dengan hipertensi. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 16 kajian melibatkan sejumlah 26,795 dewasa 60 tahun atau lebih tua dengan hipertensi yang membandingkan ubat penurun tekanan darah dengan plasebo atau tiada rawatan selama purata 3.8 tahun. Kami tidak menemui kajian baharu dalam kemas kini ini. Ubat penurun tekanan darah dalam kalangan dewasa 60 tahun atau lebih tua dengan hipertensi menurunkan risiko kematian dan mungkin mengurangkan strok dan serangan jantung. Manfaat ini adalah sama sekiranya kedua-dua bacaan atas dan bawah tekanan darah adalah tinggi dan sekiranya hanya bacaan atas yang tinggi. Rawatan pertama yang digunakan dalam kebanyakan kajian adalah thiazide. Mungkin terdapat lebih banyak penarikan diri daripada kajian disebabkan oleh kesan tidak diingini dalam kumpulan yang menerima ubat penurun tekanan darah.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami yakin bahawa ubat penurun tekanan darah mengurangkan risiko kematian dan agak yakin ubat penurun tekanan darah mengurangkan risiko serangan jantung atau strok. Dalam kes di mana keyakinan kami menurun, ini kerana beberapa kajian mungkin tidak melaporkan semua data yang mereka kumpulkan atau mungkin selektif dalam melaporkan keputusan mereka.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2024. Memandangkan tidak mungkin sebarang kajian baharu yang menangani persoalan penyelidikan ini akan dijalankan, kami tidak akan mengemas kini ulasan ini pada masa hadapan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wan Suriana Wan Ab Rahman (Universiti Sains Malaysia). Dikemskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Musini VM, Tejani AM, Bassett K, Puil L, Thompson W, Wright JM. Pharmacotherapy for hypertension in adults 60 years or older. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD000028. DOI: 10.1002/14651858.CD000028.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan