Mesej utama
-
Pemberian antibiotik kepada wanita semasa proses bersalin (yang kehamilannya telah menjangkau sekurang-kurangnya 28 minggu) mungkin mengurangkan risiko sepsis – iaitu suatu keadaan yang mengancam nyawa yang terjadi apabila badan bertindak balas secara berlebihan terhadap jangkitan.
-
Pemberian antibiotik mampu memberi sedikit atau tiada perbezaan ketara dari segi bilangan bayi yang menghidap sepsis atau meninggal dunia, dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan ketara terhadap bilangan ibu yang meninggal dunia.
-
Bukti tentang kesan buruk (iaitu memudarat dan tidak diingini) antibiotik pencegahan adalah sangat tidak pasti, jadi kita tidak tahu sama ada rawatan ini menyumbang kepada masalah rintangan antimikrob – apabila antibiotik berhenti berkesan dalam melawan jangkitan bakteria.
Apakah itu profilaksis antibiotik, dan apakah manfaat serta risikonya?
'Profilaksis antibiotik' adalah pemberian antibiotik untuk mencegah jangkitan sebelum sebarang tanda jangkitan muncul. Pendekatan ini telah menunjukkan beberapa manfaat dari segi pengurangan jangkitan dalam kalangan ibu baru dan bayi baru lahir . Walau bagaimanapun, pemberian antibiotik pencegahan secara rutin dalam kalangna ibu bersalin menimbulkan kontroversi disebabkan kebimbangan berkenaan penggunaan antibiotik yang tidak perlu dan risiko kerintangan kuman.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin menilai kesan pemberian antibiotik pencegahan (iaitu 'profilaksis') terhadap ibu bersalin, yang kehamilannya menjangkau sekurang-kurangnya 28 minggu (iaitu usia kehamilan 28 minggu dan ke atas). Kami menaksir seberapa ramai ibu dan bayi yang mengalami jangkitan, terutamanya sepsis, dan seberapa ramai yang meninggal dunia.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan antibiotik profilaktik dengan pemberian plasebo dalam kalangan ibu mengandung yang sedang bersalin selepas 28 minggu kehamilan. Plasebo merupakan bahan tidak aktif yang menyerupai antibiotik tetapi tidak mempunyai sebarang kesan terapeutik. Ini membolehkan para penyelidik mengukur impak sebenar rawatan tersebut.
Kajian-kajian tersebut menyertakan ibu yang merancang kelahiran secara normal, selagi mereka tidak mempunyai sebab perubatan tertentu untuk menerima antibiotik (seperti pembedahan caesarean yang terrancang atau jangkitan yang sudah dikenalpasti).
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz kajian.
Apakah yang ditemuikan?
Kami mengenal pasti empat kajian yang melibatkan sejumlah 42,846 orang ibu mengandung. Kajian-kajian tersebut dijalankan di 10 buah negara, antaranya: Bangladesh, Burkina Faso, Cameroon, Republik Demokratik Congo, Gambia, Guatemala, India, Kenya, Zambia dan Pakistan, dan semuanya merupakan negara berpendapatan rendah atau sederhana.
Kira-kira separuh daripada wanita menerima antibiotik pencegah (dos tunggal melalui mulut), dan separuh lagi menerima plasebo.
Berbanding dengan plasebo, antibiotik pencegah didapati:
-
mungkin mengurangkan bilangan ibu yang menghidap sepsis;
-
mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan ketara terhadap bilangan ibu yang mati;
-
memberi sedikit atau tiada perbezaan ketara terhadap bilangan bayi baru lahir yang menghidap sepsis atau meninggal dunia;
-
memberi sedikit atau tiada perbezaan ketara terhadap bilangan wanita yang mengalami jangkitan luka perineal (jangkitan tisu yang terletak di antara faraj dengan rongga dubur);
-
memberi sedikit atau tiada perbezaan ketara terhadap bilangan bayi yang perlu dimasukkan ke unit jaga rapi neonatal (NICU).
Hanya satu kajian yang menyelidiki aspek kerintangan kuman, dan kami tidak yakin dengan bukti tersebut. Kajian itu melaporkan peningkatan jangka pendek dari segi kuman yang berkerintangan antibiotik yang dikenalpasti dalam beberapa sampel (contohnya susu payudara, swab hidung atau swab faraj) dalam kalangan ibu yang menerima antibiotik berbanding dengan ibu yang hanya menerima plasebo, namun begitu perbezaan ini menghilang menjelang 13 bulan. Dalam kalangan bayi baru lahir, kerintangan kuman jarang berlaku.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai tahap keyakinan sederhana atau tinggi terhadap bukti berkenaan bilangan ibu dan bayi yang menghidap jangkitan (termasuk sepsis) atau meninggal dunia. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami tidak yakin terhadap bukti berkenaan kerintangan kuman. Corak rintangan antimikrob dan amalan penggunaan antibiotik sangat berbeza, dan kajian tertumpu terutamanya pada azithromycin, antibiotik spektrum luas, tanpa menilai pilihan lain. Kesan jangka panjang terhadap kerintangan antibiotik masih sangat ragu dan memerlukan penyelidikan lanjut.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).