Mesej utama
-
Vaksin ‘prefusion’ virus sinsitium pernafasan (RSV) mengurangkan penyakit RSV dalam kalangan dewasa yang lebih berusia. Apabila ibu-ibu hamil menerima vaksin berasaskan protein RSV F, bayi mereka kurang mendapat penyakit RSV yang serius. Ini adalah benar untuk kedua-dua vaksin yang diluluskan dan tidak diluluskan.
-
Keberkesanan vaksin RSV dalam kalangan wanita usia subur dan impak vaksin RSV hidup bagi bayi dan kanak-kanak masih tidak pasti. Kajian-kajian ini menggunakan vaksin yang tidak diluluskan.
-
Penyelidikan lanjut diperlukan untuk melihat vaksin RSV dalam kalangan wanita usia subur dan kesan vaksin hidup terhadap bayi dan kanak-kanak.
Apakah itu virus sinsitium pernafasan (RSV)?
RSV ialah virus yang mudah merebak dan menyebabkan penyakit pernafasan. Kebanyakan orang mendapatnya ketika mereka sangat muda, dan hampir semua telah mengalaminya pada usia dua tahun.
Bagaimanakah RSV dicegah?
Ia boleh dicegah dengan mendapatkan vaksin, menggunakan antibodi khas, mencuci tangan, dan mengelak kontak dengan orang yang sakit.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sejauh mana vaksin RSV berfungsi dalam pencegahan RSV dan sejauh mana ia selamat.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan vaksin RSV dengan plasebo (rawatan ‘dummy’), tiada rawatan, vaksin bagi jangkitan pernafasan lain, vaksin RSV lain atau antibodi monoklonal (protein buatan makmal yang membantu sistem imun melawan penyakit) dalam kalangan semua orang. Kami bandingkan dan umuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui lima kajian dalam kalangan dewasa yang lebih berusia, tiga kajian tentang kesan vaksinasi Ibu-ibu hamil terhadap bayi mereka, satu kajian ke atas wanita pada umur subur dan lima kajian dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Keputusan utama
Vaksin ‘prefusion’ RSV berbanding plasebo dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia; 4 kajian (99,931 orang)
Vaksin ‘prefusion’ RSV mengurangkan penyakit pernafasan berkaitan RSV sebanyak 77% dan penyakit akut berkaitan RSV sebanyak 67% dalam kalangan dewasa yang lebih berusia. Kami yakin dengan keputusan ini.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara vaksin ‘prefusion’ RSV dan plasebo dalam bilangan kesan tidak diingini yang serius, orang yang mati akibat RSV itu sendiri atau orang yang mati akibat sebarang punca. Kami berkeyakinan rendah dalam keputusan-keputusan ini.
Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan kemasukan ke hospital berkaitan RSV atau kemasukan unit penjagaan intensif (ICU).
Vaksin berasaskan protein RSV ‘postfusion’ F berbanding plasebo dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia; 1 kajian (1894 orang)
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara vaksin berasaskan protein RSV ‘postfusion’ F dan plasebo dalam penyakit pernafasan berkaitan RSV atau penyakit akut berkaitan RSV dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara vaksin berasaskan protein RSV ‘postfusion’ F dan plasebo dalam bilangan kesan tidak diingini yang serius, orang yang mati akibat RSV itu sendiri atau orang yang mati akibat semua punca. Kami berkeyakinan rendah dalam keputusan-keputusan ini.
Kajian-kajian tidak melaporkan kemasukan ke hospital atau kemasukan ICU berkaitan RSV.
Vaksin berasaskan protein RSV F ibu berbanding plasebo terhadap bayi; 3 kajian (12,010 orang)
Vaksin berasaskan protein RSV F ibu mengurangkan penyakit pernafasan berkaitan RSV sebanyak 54%, penyakit pernafasan berkaitan RSV teruk sebanyak 74%, dan kemasukan ke hospital disebabkan oleh RSV sebanyak 54% dalam kalangan bayi. Kami yakin dengan keputusan ini.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara vaksin berasaskan protein RSV F ibu dan plasebo dalam bilangan kesan tidak diingini yang serius, bayi yang mati akibat RSV itu sendiri atau bayi yang mati akibat semua punca. Kami berkeyakinan rendah dalam keputusan-keputusan ini.
Kajian-kajian tidak melaporkan kemasukan ke ICU.
Vaksin RSV yang dilemahkan secara langsung berbanding plasebo dalam kalangan bayi dan kanak-kanak; 5 kajian (192 bayi dan kanak-kanak)
Kami tidak pasti sama ada vaksin RSV hidup mengurangkan penyakit pernafasan dan penyakit berkaitan RSV dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara vaksin RSV hidup dan plasebo dalam bilangan kesan tidak diingini yang serius.
Kajian-kajian tidak melaporkan kemasukan ke hospital berkaitan RSV, bilangan bayi dan kanak-kanak yang mati akibat RSV itu sendiri, bilangan yang mati akibat sebarang punca, atau kemasukan ke ICU.
Vaksin rekombinan F nanopartikel RSV berbanding plasebo dalam kalangan wanita usia subur; 1 kajian (300 wanita)
Kami tidak pasti sama ada vaksin rekombinan F nanopartikel RSV mencegah jangkitan RSV baharu dalam kalangan wanita usia subur.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara vaksin rekombinan F nanopartikel RSV dan plasebo dalam bilangan kesan tidak diingini yang serius, orang yang mati akibat RSV itu sendiri atau orang yang mati akibat sebarang sebab. Kami berkeyakinan rendah dalam keputusan-keputusan ini.
Kajian-kajian tidak melaporkan kemasukan ke hospital atau kemasukan ICU berkaitan RSV.
Apakah batasan bukti?
Kami hanya sertakan artikel yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, oleh itu mungkin terlepas kajian-kajian dalam bahasa lain. Kadangkala terdapat isu cara beberapa kajian dilakukan, tetapi secara keseluruhan kajian dijalankan dengan baik .
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).