Mesej utama
-
Bukti yang ada tentang kesan pembedahan caesarean myomectomy (pembedahan untuk membuang fibroid rahim, yang merupakan ketumbuhan bukan kanser) adalah sangat tidak pasti berhubung keperluan pemindahan darah, risiko pendarahan, tempoh kemasukan ke hospital, tempoh pembedahan, risiko pembedahan besar dan risiko demam selepas bersalin (suhu tinggi pada hari-hari selepas bersalin). Oleh itu, adalah tidak mungkin untuk membuat sebarang kesimpulan yang bermakna.
-
Para penulis tidak mengetahui kesan pembedahan caesarean myomectomy terhadap perubahan hemoglobin (protein dalam sel darah merah yang membantu membawa oksigen ke seluruh badan) atau tahap kesuburan pada masa hadapan.
Apakah itu pendarahan selepas bersalin?
Pendarahan selepas bersalin ditakrifkan sebagai pendarahan dalam kuantiti yang banyak dan kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran. Ia merupakan akibat utama kematian dan penyakit dalam kalangan ibu-ibu di seluruh dunia. Pendarahan selepas bersalin menyebabkan satu kematian ibu dalam setiap tujuh minit.
Apakah yang ingin diketahui?
Fibroid rahim (ketumbuhan bukan kanser yang berkembang di dalam atau di sekitar rahim) menjejaskan segolongan wanita dan bilangannya semakin meningkat. Pada masa lalu, doktor telah mengelakkan pembuangan fibroid (juga dikenali sebagai myomectomy) semasa kelahiran secara pembedahan (prosedur pembedahan di mana bayi dilahirkan melalui belahan di perut ibu) disebabkan oleh risiko pendarahan yang berlebihan atau banyak. Penyingkiran fibroid semasa kelahiran dipercayai dikaitkan dengan jangkamasa pembedahan yang lebih lama dan tempoh tinggal di hospital yang lebih lama. Walau bagaimanapun, penyingkiran fibroid mempunyai potensi manfaat untuk wanita dalam memelihara kesuburan pada masa hadapan. Bagi wanita yang sudah menjalani pembedahan caesarean, ini boleh memberikan peluang unik untuk melakukan prosedur ini. Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan menjalankan myomectomy berbanding tidak menjalankan myomectomy bagi ibu yang mengandung dengan fibroid yang menjalani pembedahan caesarean.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang mengkaji penggunaan pembedahan caesarean myomectomy dan pembedahan caesarean sahaja dalam kalangan ibu-ibu yang mengandung dengan fibroid yang menjalani pembedahan caesarean. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 23 kajian yang melibatkan 7504 wanita. Kajian yang paling besar melibatkan 2565 wanita dan yang paling kecil melibatkan 50 wanita. Kajian-kajian tersebut dijalankan di negara-negara berpendapatan sederhana tinggi di seluruh dunia (bermaksud mereka mempunyai kemudahan perubatan yang baik atau cemerlang); dan kebanyakannya dilakukan di Turki. Lima kajian hanya melibatkan wanita yang hamil seorang bayi, dan satu kajian hanya melibatkan wanita yang hamil anak kembar. Kebanyakan kajian tidak menyatakan sama ada pembedahan caesarean dipilih oleh wanita atau dilakukan sebagai prosedur kecemasan. Hanya empat kajian melaporkan bagaimana ia dibiayai.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami sangat tidak pasti tentang kesan pembedahan caesarean myomectomy terhadap keperluan pemindahan darah, risiko pendarahan, tempoh kemasukan ke hospital, tempoh pembedahan, risiko pembedahan besar semasa prosedur, dan risiko demam pada hari-hari selepas kelahiran. Beberapa faktor telah mempengaruhi keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara kriteria wanita dan bukannya disebabkan perbezaan antara rawatan. Kedua, kebanyakkan kajian melibatkan sebilangan kecil wanita. Ketiga, beberapa keputusan berbeza antara kajian. Tiada keputusan tentang kesan terhadap hemoglobin (protein dalam sel darah merah yang membantu membawa oksigen ke seluruh badan) atau tahap kesuburan pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, ini bermakna tidak mungkin untuk sebarang kesimpulan yang bermakna boleh dibuat tentang manfaat dan kemudaratan pembedahan caesarean myomectomy secara pasti kerana kajian tersebut sama ada tidak melaporkan maklumat yang boleh kami gunakan, atau menghasilkan penemuan yang kami kurang yakin. Penyelidikan lanjutan diperlukan dengan kajian yang direka bentuk dengan baik mengenai penggunaan pembedahan caesarean myomectomy, terutamanya di negara-negara miskin.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 2 Februari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA),
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.