Mesej utama
- Analog hormon pelepasan gonadotropin (GnRHa) ialah ubat-ubatan yang boleh kurangkan saiz rahim dan fibroid serta meningkatkan hemoglobin (protein yang membantu mengangkut oksigen dalam sel darah merah) sebelum pembedahan untuk merawat fibroid uterus (pertumbuhan bukan kanser dalam rahim). Prarawatan dengan GnRHa juga boleh kurangkan masa pembedahan, keperluan pemindahan darah dan beberapa komplikasi yang boleh berlaku semasa atau selepas pembedahan.
- Wanita yang mengambil GnRHa sebelum pembedahan lebih cenderung mengalami kesan sampingan tidak diingini seperti rasa panas badan.
- Penyelidikan lanjut adalah diperlukan.
Apakah fibroid?
Fibroid ialah tumor otot licin (ketumbuhan bukan kanser) yang ditemui dalam rahim wanita yang boleh menyukarkan kehamilan. Ia menyebabkan sakit di bahagian perut dan perdarahan yang banyak apabila wanita mengalami haid. Fibroid boleh menyebabkan wanita lebih cenderung kehilangan bayi akibat keguguran.
Bagaimana fibroid dirawat?
Fibroid kerapkali dirawat melalui pembedahan. Sesetengah ubat, terutamanya analog hormon pembebasan gonadotropin (GnRHa), mungkin kurangkan saiz rahim dan fibroid, membuat pembedahan lebih mudah, dan ia juga mungkin mengawal perdarahan yang banyak. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh digunakan lebih daripada enam bulan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan tulang. Ubat-ubatan lain yang mungkin mempunyai kesan jangka pendek yang serupa termasuklah progestin, agonis dopamin, modulator reseptor progesteron selektif (SPRMS), antagonis reseptor estrogen dan modulator reseptor estrogen selektif (SERMS). Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini lebih mahal.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu sama ada rawatan awal dengan ubat-ubatan yang dinyatakan di atas membantu untuk:
- mengurangkan kehilangan darah yang banyak;
- memudahkan pembedahan dengan mengecilkan saiz rahim dan pertumbuhan fibroid;
- mengurangkan masa yang diambil untuk pembedahan, bilangan pemindahan darah, amaun perdarahan semasa pembedahan dan komplikasi selepas pembedahan.
Kami juga ingin tahu jika sebarang ubat tersebut menyebabkan kesan tidak diingini .
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang melihat kepada ubat-ubatan yang diguna sebelum pembedahan fibroid, sama ada dibanding antara satu dengan yang lain atau berbanding plasebo ( rawatan palsu) atau tiada rawatan. Kami rumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemui?
Kami temui 41 kajian, yang menyertakan 3982 wanita pramenopaus yang sedang menunggu pembedahan untuk membuang fibroid yang menyebabkan gejala. Ramai wanita mengalami anemia (paras sel darah merah atau hemoglobin yang rendah, yang mempengaruhi kapasiti darah yang membawa oksigen). Pembedahan tersebut adalah histerektomi (pembuangan rahim), miomektomi (pembuangan fibroid dari dinding rahim) atau reseksi histeroskopik (pembuangan fibroid dari rongga uterus).
Kajian-kajian tersebut menguji tiga perbandingan: GnRHa dengan tiada rawatan atau plasebo; GnRHa dengan terapi perubatan yang lain; dan modulator reseptor progesteron selektif (SPRM) dengan plasebo.
Beberapa kajian disokong oleh syarikat-syarikat yang membuat ubat-ubatan yang diuji.
Keputusan utama
GnRHa berbanding plasebo atau tiada rawatan awal
Analog hormon pelepasan gonadotropin (GnRHa) boleh kurangkan saiz rahim dan saiz fibroid sebelum pembedahan. Tiada maklumat berguna tentang kesan terhadap perdarahan sebelum pembedahan. GnRHa mungkin meningkatkan paras hemoglobin. Walau bagaimanapun, wanita yang mengambil GnRHa lebih cenderung mengalami rasa panas badan.
Histerektomi
Masa yang diambil untuk melakukan histerektomi mungkin kurang bagi wanita yang menjalani prarawatan dengan ubat GnRHa. Kesan terhadap hasil lain yang diukur dalam kajian histerektomi adalah sangat tidak pasti: kehilangan darah semasa pembedahan, pemindahan darah dan komplikasi selepas pembedahan.
Miomektomi
Keputusan hasil yang diukur dalam kajian miomektomi ini sangat tidak pasti: tempoh pembedahan, kehilangan darah semasa pembedahan, pemindahan darah dan komplikasi selepas pembedahan.
Reseksi histeroskopik
Rawatan GnRHa sebelum reseksi histeroskopik untuk fibroid uterus boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap tempoh pembedahan. Satu kajian mengukur komplikasi selepas pembedahan; tiada satu pun yang dilaporkan. Kehilangan darah dan pemindahan darah tidak diukur untuk reseksi histeroskopik.
GnRHa berbanding terapi perubatan yang lain
Sebelum pembedahan
Prarawatan GnRHa boleh kurangkan saiz rahim sebelum pembedahan berbanding terapi perubatan yang lain . Prarawatan GnRHa boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada perdarahan atau saiz fibroid. Ia mungkin tidak mempengaruhi paras hemoglobin. Walau bagaimanapun, GnRHa mungkin menyebabkan lebih banyak kesan tidak diingini seperti rasa panas badan.
SPRM berbanding plasebo
Sebelum pembedahan
Berbanding ubat plasebo , SPRM (seperti mifepristone, CDB-2914, ulipristal asetat dan asoprisnil) sebelum pembedahan mungkin mengurangkan saiz rahim dan meningkatkan paras hemoglobin. Ia boleh kurangkan saiz fibroid dan perdarahan. Keputusan adalah tidak tepat untuk kesan tidak diingini.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kepastian kami terhadap bukti untuk kebanyakan hasil adalah rendah atau sangat rendah, disebabkan oleh laporan yang lemah dalam kajian dan kekurangan ‘pembutaan’ penilai hasil (iaitu orang yang mengukur hasil tahu siapa yang berada dalam setiap kumpulan, yang mungkin mempengaruhi penemuan mereka). Tambahan pula, keputusan adalah berbeza-beza mengikut kajian, dan beberapa keputusan hanya berdasarkan satu kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini satu ulasan diterbitkan pada tahun 2017 dan terkini sehingga Ogos 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




