Mesej utama
-
Pendekatan rawatan pelbagai komponen (yang merangkumi diet, aktiviti fizikal, dan/atau tingkah laku lain) mungkin meningkatkan sedikit kesejahteraan fizikal dan skor-z jisim berat badan (BMI) (iaitu skor yang menunjukkan sama ada berat badan seseorang lebih tinggi atau lebih rendah berbanding kebiasaan bagi individu yang sama umur dan jantina) oleh remaja (berumur 10 hingga 19 tahun) pada dua tahun. Rawatan tersebut mempunyai kesan kesejahteraan yang terhadap kesejahteraan mental remaja, aktiviti fizikal, kualiti hidup, dan skor-z BMI (pada 12 bulan).
-
Keseluruhan manfaat dan risiko pendekatan pelbagai komponen untuk remaja kekal tidak menentu, dan kebanyakan bukti dalam ulasan ini berasal daripada negara-negara berpendapatan tinggi.
-
Lebih banyak kajian perlu dilakukan dalam kalangan populasi dan lokasi yang berbeza, untuk memahami apa yang berkesan dan apa yang tidak bagi remaja yang berbeza.
Apakah masalahnya?
Obesiti remaja adalah cabaran kesihatan global yang terdiri dari pelbagai punca, termasuk diet, aktiviti fizikal, dan tingkah laku. Obesiti dalam remaja biasanya ditakrifkan sebagai mempunyai indeks jisim badan (BMI - satu nombor yang dikira daripada ketinggian dan berat badan seseorang untuk memeriksa sama ada berat badan mereka berada dalam julat yang sihat) yang jauh lebih tinggi daripada apa yang biasanya untuk orang muda yang sama umur dan jantina. Pendekatan rawatan yang menggalakkan tabiat gaya hidup sihat sering digunakan untuk menguruskan obesiti dalam remaja, tetapi impak jangka panjangnya masih tidak jelas.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin menentukan sama ada rawatan pelbagai komponen menggalakkan diet, aktiviti fizikal, dan tingkah laku yang lebih baik untuk membantu remaja (umur 10 hingga 19) yang hidup dengan obesiti. Kami memberi tumpuan kepada bagaimana rawatani ini menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental, aktiviti fizikal, kualiti hidup, dan ukuran berkaitan berat dalam jangka masa panjang (pada 12 hingga 24 bulan).
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang menguji rawatan menggabungkan dua atau lebih banyak kawasan: diet, aktiviti fizikal, atau perubahan tingkah laku. Kami hanya telah menyertakan kajian yang membandingkan intervensi tersebut kepada tiada rawatan, penjagaan biasa, atau kumpulan senarai menunggu. Semua kajian perlu mempunyai susulan remaja untuk sekurang-kurangnya satu tahun daripada tarikh permulaan intervensi. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menemui 33 kajian yang melibatkan 5949 remaja di negara-negara berpendapatan tinggi, dijalankan di tempat seperti di sekolah, gereja, fasiliti penjagaan, dan pusat komuniti. Kami telah membahagikan kajian kepada dua kumpulan: (1) kajian berasaskan penjagaan kesihatan yang memberikan rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan seperti pusat rawatan penjagaan primer atau hospital; (2) kajian berasaskan komuniti yang memberikan rawatan di sekolah, pusat komuniti, pusat sukan, atau ruang awam yang lain.
Keputusan utama
Berbanding dengan penjagaan biasa, pendekatan perubahan tingkah laku pelbagai komponen berasaskan penjagaan kesihatan mungkin membuat sedikit sehingga tiada perbezaan kepada remaja':
-
kesejahteraan fizikal atau mental;
-
aktiviti fizikal jika diukur sebagai nilai perubahan daripada asas (satu skor yang menunjukkan sejauh mana aktiviti fizikal seseorang meningkat atau menurun selepas program rawatan berbanding dengan keaktifan mereka semasa pada permulaan);
-
skor-z BMI.
Kami tidak tahu sama ada rawatan tersebut mempunyai kesan terhadap aktiviti fizikal remaja apabila mereka diukur sebagai skor akhir. Pendekatan rawatan tersebut mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup remaja. Kami sangat tidak pasti sama ada mereka menyebabkan sebarang peristiwa memudaratkan atau tidak diingini. Tiada kajian yang telah menilai pendekatan berasaskan kesihatan yang melaporkan ketidakupayaan berkaitan obesiti.
Berbanding dengan penjagaan biasa, pendekatan rawatan pelbagai komponen berasaskan komuniti mungkin:
-
meningkatkan sedikit kesejahteraan fizikal remaja;
-
membuat sedikit sehingga tiada perbezaan kepada kesejahteraan mental dan tahap aktiviti fizikal mereka;
-
membuat sedikit sehingga tiada perbezaan kepada skor-z BMI dalam jangka pendek (12 bulan) dan mungkin mengurangkan sedikit skor-z BMI dalam jangka panjang (24 bulan).
Rawatan tersebut mungkin membuat sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap kualiti hidup remaja pada 12 bulan. Tiada satu pun kajian berasaskan komuniti yang melaporkan tentang ketidakupayaan berkaitan obesiti atau sama ada pendekatan rawatan tersebut membawa kepada peristiwa-peristiwa yang tidak diingini atau memudaratkan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti disebabkan kajian mempunyai susulan jangka panjang yang terhad dan keterbatasan dalam kaedahnya. Kebanyakannya dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi, jadi kami tidak dapat memastikan sejauh mana intervensi tersebut mungkin berkesan di tempat lain dan dalam populasi yang berbeza.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga Februari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia),
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.