Langkau ke kandungan utama

Adakah pendekatan pelbagai komponen membantu kanak-kanak dengan obesiti untuk meningkatkan kesejahteraan dan tingkah laku kesihatan mereka?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Pendekatan rawatan pelbagai komponen (yang merangkumi diet, aktiviti fizikal, dan/atau tingkah laku lain) mungkin meningkatkan aktiviti fizikal kanak-kanak (diukur secara objektif) apabila dilaksanakan di fasiliti penjagaan kesihatan, dan mereka mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup apabila dilaksanakan dalam tetapan komuniti. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, kami mendapati pendekatan tersebut mempunyai kesan yang terhad terhadap hasil kritikal lain, termasuk kesejahteraan fizikal, kesejahteraan mental, dan skor z indeks jisim badan (BMI) (iaitu skor yang menunjukkan sama ada berat badan seseorang lebih tinggi atau lebih rendah berbanding kebiasaan bagi individu yang sama umur dan jantina).

  • Manfaat dan risiko pendekatan bagi mengubah tingkah laku ini untuk kanak-kanak dan ibu bapa mereka kekal tidak menentu, dan kebanyakan bukti dalam ulasan ini berasal daripada negara-negara berpendapatan tinggi.

  • Lebih banyak kajian perlu dilakukan dalam kalangan populasi dan lokasi yang berbeza untuk memahami apa yang berkesan dan apa yang tidak bagi kanak-kanak yang berbeza.

Apakah masalahnya?

Obesiti kanak-kanak adalah cabaran kesihatan global yang terdiri dari pelbagai punca, termasuk diet, aktiviti fizikal, dan tingkah laku. Obesiti biasanya ditakrifkan sebagai mempunyai indeks jisim badan (BMI - satu nombor yang dikira daripada ketinggian dan berat badan seseorang untuk memeriksa sama ada berat badan mereka berada dalam julat yang sihat) yang jauh lebih tinggi daripada apa yang biasanya untuk orang muda yang sama umur dan jantina. Pendekatan rawatan yang menggalakkan tabiat gaya hidup sihat sering digunakan untuk menguruskan obesiti dalam kalangan kanak-kanak, tetapi impak jangka panjangnya masih tidak jelas.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin menentukan sama ada rawatan perubahan tingkah laku kesihatan pelbagai komponen menggalakkan diet yang lebih baik, aktiviti fizikal, dan tingkah laku kanak-kanak yang hidup dengan obesiti (bawah 10 tahun) dan membantu ibu bapa mereka. Kami memberi tumpuan kepada bagaimana intervensi ini menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental, aktiviti fizikal, kualiti hidup, dan ukuran berkaitan berat dalam jangka masa panjang (pada 12 hingga 24 bulan). Kami juga telah mempertimbangkan kesan-kesan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menguji rawatan perubahan tingkah laku kesihatan dengan menggabungkan dua atau lebih banyak kawasan: diet, aktiviti fizikal, atau perubahan tingkah laku. Kami telah menyertakan kajian yang membandingkan intervensi tersebut kepada tiada rawatan, penjagaan biasa, atau kumpulan senarai menunggu, dan dengan susulan sekurang-kurangnya setahun daripada permulaan program. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui 34 kajian yang melibatkan 6849 kanak-kanak di negara berpendapatan tinggi (Amerika Utara, Eropah, New Zealand, Australia, Israel). Kami telah membahagikan kajian kepada dua kumpulan: (1) kajian berasaskan penjagaan kesihatan, yang memberikan rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan seperti hospital atau pusat rawatan penjagaan primer; (2) kajian berasaskan komuniti, yang memberikan rawatan di sekolah, pusat komuniti, pusat sukan, atau ruang awam yang lain.

Keputusan utama

Berbanding dengan penjagaan biasa, pendekatan perubahan tingkah laku pelbagai komponen berasaskan penjagaan kesihatan :

  • mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kesejahteraan fizikal kanak-kanak apabila diukur sebagai nilai akhir;

  • jika diukur sebagai nilai perubahan daripada asas (satu skor yang menunjukkan sejauh mana aktiviti fizikal seseorang meningkat atau menurun selepas program rawatan berbanding dengan keaktifan mereka semasa pada permulaan), intervensi tersebut mungkin meningkatkan kesejahteraan fizikal pada 12 bulan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan tersebut;

  • mungkin memberi sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap kesejahteraan mental kanak-kanak atau kualiti hidup berkaitan kesihatan;

  • boleh meningkatkan aktiviti fizikal yang diukur secara objektif , tetapi menyebabkan sedikit sehingga tiada perbezaan dalam aktiviti fizikal yang diukur secara subjektif ;

  • mungkin membuat sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap skor-z BMI.

Kami sangat tidak pasti sama ada pendekatan rawatan ini telah menyebabkan sebarang peristiwa memudaratkan atau tidak diingini. Tiada kajian yang telah melaporkan ketidakupayaan berkaitan obesiti.

Berbanding dengan penjagaan biasa, pendekatan perubahan tingkah laku pelbagai komponen berasaskan komuniti :

  • mungkin membuat sedikit sehingga tiada perbezaan kepada kesejahteraan fizikal kanak-kanak, kesihatan mental, aktiviti fizikal yang diukur secara objektif, dan kualiti hidup pada 12 bulan;

  • mungkin memberi sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap kesejahteraan mental dan aktiviti fizikal yang diukur secara objektif pada 24 bulan;

  • mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup;

  • mungkin membuat sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap skor-z BMI.

Tiada kajian yang telah melaporkan ketidakupayaan berkaitan obesiti atau berlakunya sebarang peristiwa-peristiwa yang memudaratkan atau tidak diingini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti disebabkan kajian mempunyai susulan jangka panjang yang terhad dan keterbatasan dalam kaedahnya. Kebanyakannya dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi, jadi kami tidak dapat memastikan sejauh mana intervensi tersebut mungkin berkesan di tempat lain dan dalam populasi yang berbeza. Walaupun kesannya kecil, mereka mungkin bermakna untuk subkumpulan kanak-kanak berisiko tinggi.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga Februari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Franco JVA, Guo Y, Bongaerts B, Metzendorf MI, Hindemit J, Aqra Z, Alhalahla M, Tapinova K, Villegas Arbelaez E, Alade OT, Medina Rodriguez M, Rees K, Al-Khudairy L, Torbahn G, Ells LJ. Multimodal health behaviour-changing interventions for children living with obesity and their parents. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 12. Art. No.: CD016063. DOI: 10.1002/14651858.CD016063.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan