Sejauh manakah keberkesanan intervensi berasaskan mikrobiom usus untuk pengurusan berat badan berlebihan atau obesiti pada kanak-kanak dan remaja dalam semua kepelbagaian mereka, berumur 0 hingga 19 tahun?
Mesej utama
• Tidak jelas sama ada intervensi berasaskan mikrobiom usus (intervensi pemakanan yang menyasarkan mikrob usus) mempunyai kesan ke atas indeks jisim badan (BMI), berat badan, saiz pinggang, peratusan lemak badan, ukuran tekanan darah dan kesan sampingan buruk pada kanak-kanak dan remaja dengan berat badan berlebihan dan obesiti.
• Penyelidikan lanjutan, termasuk kajian yang lebih besar, diperlukan untuk memahami kesan intervensi berasaskan mikrobiom usus untuk pengurusan berat badan berlebihan dan obesiti pada kanak-kanak dan remaja.
Apakah itu berat badan berlebihan atau obesiti?
Berat badan berlebihan ialah keadaan deposit lemak yang berlebihan, dan obesiti ialah penyakit kronik yang dicirikan oleh deposit lemak berlebihan yang boleh menjejaskan kebanyakan sistem badan, menjejaskan kualiti hidup, dan mengurangkan jangka hayat. BMI, yang dikira dengan membahagikan berat badan seseorang dalam kilogram dengan ketinggian mereka dalam meter, kuasa dua, selalunya digunakan untuk menentukan berat badan berlebihan dan obesiti.
Bagaimanakah berat badan berlebihan atau obesiti diuruskan?
Berat badan berlebihan atau obesiti boleh diuruskan melalui perubahan dalam pemakanan, kaunseling tingkah laku untuk pengubahsuaian gaya hidup, ubat-ubatan atau pembedahan. Di sebalik pendekatan ini, wabak global ini menjejaskan lebih daripada 390 juta kanak-kanak dan remaja berumur 5 hingga 19 tahun, dan 37 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun setakat 2022. Berat badan berlebihan atau obesiti dikaitkan dengan metabolisme yang tidak normal dan ketidakseimbangan dalam mikrobiom usus. Hasil kajian yang diterbitkan telah menunjukkan bahawa intervensi pemakanan yang menyasarkan "mikrobiom usus" mungkin boleh mempunyai kesan yang baik terhadap berat badan dan peratusan lemak badan. Mikrobiom usus ialah komuniti bakteria tidak berbahaya dan mikroorganisma lain dalam usus manusia yang diperlukan untuk kesihatan optimum.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui kesan pelbagai intervensi pemakanan yang menyasarkan komuniti mikrob usus pada BMI, berat badan, lilitan pinggang, jumlah peratusan lemak badan, tekanan darah dan peristiwa buruk yang berkaitan dengan intervensi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dalam semua kepelbagaian mereka, berumur 0 hingga 19 tahun.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang mengkaji kesan intervensi berasaskan mikrobiom usus, termasuk prebiotik (bahan makanan yang menggalakkan mikrob berfaedah dalam usus), probiotik (mikrob hidup yang baik untuk kesihatan), sinbiotik (gabungan kedua-dua prebiotik dan probiotik), asid lemak rantai pendek (iaitu molekul lemak kecil yang dihasilkan oleh fermentasi molekul serat dan karbohidrat yang tidak boleh dicerna dalam usus), pemindahan mikrobiota tinja (iaitu kapsul yang mengandungi mikrob najis daripada penderma yang sihat), yang dibandingkan dengan penjagaan standard (penjagaan biasa), plasebo, kawalan, atau tiada intervensi pada kanak-kanak dan remaja sehingga 19 tahun. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 17 kajian melibatkan 838 kanak-kanak dan remaja dengan berat badan berlebihan dan obesiti. Kajian telah dijalankan di negara yang berbeza, termasuklah Sepanyol, China, Taiwan, Kanada, Mexico, Itali, Poland, Turkiye, Iran, Thailand, Denmark, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Remaja berumur 10 hingga 19 tahun
Intervensi pemakanan yang menyasarkan mikrob usus mungkin boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan pada BMI, berat badan, saiz pinggang, peratusan lemak badan, tekanan darah dan peristiwa buruk, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Kanak-kanak dan remaja berumur 0 hingga 19 tahun
Tidak jelas sama ada prebiotik mempunyai kesan pada saiz pinggang, peratusan lemak badan, tekanan darah dan peristiwa buruk apabila dibandingkan dengan rawatan palsu. Satu kajian menemui bahawa prebiotik yang dibandingkan dengan rawatan palsu (iaitu intervensi yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan atau rasa yang sama dengan intervensi yang diuji) mungkin boleh menyebabkan pengurangan kecil dalam BMI dan berat badan, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Probiotiks yang dibandingkan dengan rawatan palsu mungkin boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan pada BMI, berat badan, saiz pinggang, peratusan lemak badan, tekanan darah dan peristiwa buruk, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Tidak jelas sama ada sinbiotik mempunyai kesan ke atas BMI, berat badan, saiz pinggang, peratusan lemak badan, tekanan darah diastolik dan peristiwa buruk apabila dibandingkan dengan rawatan palsu. Satu kajian menemui bahawa sinbiotik mungkin boleh menyebabkan pengurangan tekanan darah sistolik, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Tidak jelas sama ada asid lemak rantaian pendek mempunyai kesan ke atas berat badan, peratusan lemak badan, tekanan darah dan peristiwa buruk apabila dibandingkan dengan rawatan palsu. Satu kajian menemui bahawa asid lemak rantaian pendek mungkin boleh menyebabkan pengurangan BMI dan lilitan pinggang, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Kesan sampingan intervensi secara amnya tidak dilaporkan dalam kajian yang disertakan, tetapi satu kajian menyatakan kesan sampingan yang berpotensi seperti kekejangan perut, ketidakselesaan perut, sakit perut, cirit-birit, muntah, dan migrain dalam kumpulan prebiotik; walau bagaimanapun, kadar kejadian adalah sangat rendah. Loya dan sakit kepala dilaporkan dalam kajian lain dalam kumpulan asid lemak rantai pendek, tetapi adalah minimum.
Apakah batasan bukti?
Penemuan ulasan adalah terhad oleh bilangan peserta yang kecil, bilangan kajian tersedia yang rendah untuk setiap perbandingan, kekurangan data jangka panjang dan pelaporan kesan buruk yang tidak mencukupi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Januari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).