Mesej utama
Orang ramai mempertimbangkan beberapa faktor peribadi, sosial dan sejarah sebelum membuat keputusan untuk mengambil ubat. Dalam satu masyarakat, individu yang berbeza akan mengalami manfaat dan kemudaratan yang berkaitan dengan rawatan, yang membentuk keputusan mereka untuk mengambil bahagian. Keputusan untuk mematuhi bergantung pada faedah yang dirasakan dibandingkan kemudaratan, kepercayaan yang dibina antara masyarakat dan program, kecekapan orang yang menghantar ubat-ubatan untuk memberi jaminan kepada ahli masyarakat, dan organisasi program penyampaian yang dirasakan.
Penemuan kami sebahagian besarnya konsisten dengan ulasan Cochrane 2022 yang meneroka pandangan dan pengalaman orang ramai terhadap program pemberian ubat besar-besaran (MDA) untuk filariasis limfa. Pertindihan bukti ini mencadangkan terdapat cabaran utama dalam reka bentuk program MDA secara umum yang perlu ditangani untuk meningkatkan kepatuhan.
Apakah yang dikaji dalam sintesis ini?
Pemberian ubat besar-besaran (MDA) melibatkan penghantaran ubat secara berkala untuk merawat seluruh masyarakat atau kumpulan, tidak mengira sama ada seseorang individu mempunyai penyakit tertentu. Kaedah ini bertujuan untuk mencegah penularan jangkitan seterusnya dalam populasi. MDA kini disyorkan untuk beberapa program kawalan penyakit di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk untuk jangkitan helminth yang dihantar melalui tanah (STH). STH ialah sekumpulan cacing parasit, termasuk cacing gelang, cacing tambang, cacing cambuk, dan cacing benang. Program MDA ini biasanya disampaikan dalam masyarakat atau sebagai program berasaskan sekolah. Kejayaan menghentikan jangkitan STH melalui MDA bergantung kepada kesediaan dan kebolehan ahli masyarakat untuk mengambil bahagian.
Dalam ulasan ini, kami telah mencari kajian yang meneroka bagaimana orang melihat dan mengalami program pemberian ubat besar-besaran untuk STH. Kami telah mengenal pasti 17 kajian yang berkaitan dengan sintesis ini.
Apakah tujuan sintesis ini?
Dalam sintesis penyelidikan kualitatif ini, kami telah mencari kajian yang meneroka pandangan orang ramai tentang program MDA untuk merawat STH di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Kami ingin memahami bagaimana orang melihat dan mengalami program pemberian ubat besar-besaran untuk helminth yang dihantar melalui tanah. Kami juga berminat sama ada penemuan kami akan menyokong, melanjutkan atau bercanggah dengan penemuan daripada ulasan Cochrane 2022 yang melihat dalam program MDA untuk filariasis limfa, satu lagi penyakit berjangkit yang disebabkan oleh cacing.
Apakah penemuan utama?
Kami telah menyertakan 17 kajian dalam analisis kami. Kajian tersebut meliputi beberapa negara di Afrika dan Asia Tenggara, dan satu negara di rantau Mediterranean Timur. Kajian yang disertakan meneroka pandangan dan pengalaman ahli masyarakat dan mereka yang mengedarkan ubat-ubatan di negara-negara berpendapatan rendah di mana jangkitan STH merupakan masalah yang agak besar. Daripada data, empat tema muncul. Ulasan Cochrane 2022 tentang MDA untuk filariasis limfa telah mengenalpasti tiga daripada tema ini, meyerlahkan persamaan antara program ini. Satu tema baharu muncul.
1. Orang ramai mempertimbangkan faedah dan kemudaratan dalam keputusan mereka untuk menyertai MDA, walaupun sesetengah orang mungkin tidak mempunyai pilihan. Terdapat banyak hasil untuk menyertai program MDA, kedua-duanya positif dan negatif. Bagi ahli masyarakat, beberapa daripada hasil ini boleh wujud sekaligus, dan keputusan untuk mengambil bahagian adalah keseimbangan yang teliti antara risiko, manfaat dan kebolehlaksanaan (kami mempunyai keyakinan tinggi terhadap bukti). Pengalaman yang tidak menyenangkan boleh merebak dengan cepat melalui masyarakat (keyakinan sederhana). Halangan fizikal dan sosial (contohnya jarak perjalanan atau tidak hadir ke sekolah, masing-masing) menghalang sesetengah orang daripada mengakses rawatan melalui program MDA (keyakinan sederhana).
2. Ramai orang curiga dengan program MDA, walaupun kepercayaan boleh dibina dari semasa ke semasa. Faktor seperti pengalaman sejarah, khabar angin dan ketidakpercayaan orang yang terlibat dalam program menjejaskan kepercayaan keseluruhan terhadap program. Pengalaman lepas boleh memberi kesan yang kuat kepada orang; pengalaman negatif berkemungkinan mencegah orang daripada penyertaan masa hadapan (keyakinan tinggi). Pengurusan yang teliti terhadap perhubungan antara orang yang melaksanakan program dan orang yang menerima program adalah penting untuk membina kepercayaan dari semasa ke semasa (keyakinan sederhana).
3. Status pengedar ubat dalam masyarakat selalunya rendah, dan mereka tidak mempunyai kelengkapan untuk menjawab soalan-soalan masyarakat. Orang yang bekerja untuk mengedarkan ubat semasa kempen rawatan STH selalunya tidak mempunyai latar belakang penjagaan kesihatan dan latihan mendalam tentang ubat atau penyakit itu sendiri (keyakinan sederhana). Walaupun sesetengah ahli masyarakat lebih suka pengedaran daripada orang yang mereka kenali atau percayai (keyakinan tinggi), yang lain meletakkan nilai pada pengetahuan atau status pengedar ubat, dan boleh tidak mengambil bahagian jika pengedar ubat masyarakat tidak dapat menjawab soalan mereka yang berkaitan dengan program (keyakinan sederhana).
4. (Tema baharu) Ramai ahli masyarakat mempunyai idea untuk menambah baik penyampaian dan mahukan lebih banyak penglibatan dalam program ini. Walaupun beberapa program menjalankan aktiviti pendidikan dan pemekaan sebelum pengedaran ubat, ramai anggota masyarakat masih kurang kesedaran tentang masa dan tujuan pengedaran (keyakinan tinggi). Orang ramai menghargai strategi pengedaran yang memudahkan semua orang untuk mengambil bahagian, dan menyatakan keinginan untuk dewasa-dewasa dalam masyarakat untuk disertakan ke dalam program (keyakinan sederhana). Ramai ahli masyarakat percaya kempen kesihatan yang lebih komprehensif yang merangkumi sanitasi yang lebih baik adalah perlu untuk menangani beban STH (keyakinan sederhana).
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Wai Sum (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).