Langkau ke kandungan utama

Adakah vaksin konjugat tifoid mencegah demam tifoid akut dan adakah mereka selamat?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Berbanding dengan kawalan (tiada vaksin, plasebo (‘sulih’) atau vaksin untuk penyakit lain), vaksin konjugat tifoid (TCV) mungkin mengakibatkan pengurangan besar dalam kes demam tifoid akut.

  • Kami kurang pasti sama ada TCV, berbanding dengan vaksin tifoid lain, mengurangkan kes tifoid akut.

  • Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian daripada sebarang sebab, dan kesan-kesan yang tidak diingini, apabila TCV dibandingkan kepada kawalan, satu vaksin tifoid bukan konjugat atau TCV berbeza. Terdapat sedikit penurunan dalam kesan yang tidak diingini serius apabila TCV dibandingkan dengan kawalan, tetapi mungkin sedikit kepada tiada perbezaan semasa dibandingkan dengan TCV yang lain.

  • Lebih banyak penyelidikan yang mantap di negara-negara endemik tifoid (negara yang tifoid berlaku secara kerap) dalam bidang ini adalah diperlukan.

Apakah TCV?

Vaksin konjugat tifoid (TCV) adalah dibentuk untuk melindungi daripada demam tifoid, kadangkala dikenali sebagai demam enterik, yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi ( S typhi ). Bakteria tersebut mempunyai lapisan luar molekul gula (dikenali sebagai polisakarida Vi). Bagi membantu badan membuat tindak balas imun yang kuat, polisakarida Vi dilekatkan pada protein. Hal ini membantu sistem imun mengenali dan melawan S typhi dengan lebih berkesan. TCV dinilai termasuk toksoid tetanus Vi (Vi-TT), toksoid difteria Vi (Vi-DT), Ci-CRM 197 dan Vi-rEPA.

Mengapakah TCV penting?

Demam tifoid mengakibatkan penyakit dan kematian dalam kalangan penduduk di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICs) - kebanyakannya Afrika sub-sahara, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Ia disebarkan daripada individu ke individu melalui penularan tinja-oral (kuman merebak melalui sentuhan dengan najis manusia). Orang yang menghidap tifoid mungkin mengalami demam panas, sakit badan, sakit kepala, loya dan muntah, kurang selera makan dan, kemudiannya, sakit perut. Tifoid perlu didiagnosis dengan ujian makmal tetapi selalunya didiagnosis berdasarkan gejala. Ia boleh dirawat dengan antibiotik, tetapi terdapat rintangan antibiotik yang semakin meningkat. Vaksinasi, bersama dengan intervensi seperti akses kepada air bersih, pencucian tangan dan kebersihan yang bertambah baik, membantu mencegah demam tifoid. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan vaksinasi tifoid dalam program imunisasi berkala untuk kanak-kanak di kawasan yang berisiko tinggi. Tidak seperti vaksin tifoid yang lain, TCV boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur dua tahun.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sejauh mana vaksin konjugat tifoid mencegah demam tifoid akut dan kematian daripada sebarang sebab, dan sejauh mana ia selamat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan TCV kepada kawalan (tiada vaksin, satu plasebo atau satu vaksin untuk penyakit yang lain), vaksin tifoid yang lain dan TCV yang lain. Kami merumuskan keputusan-keputusan ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti-bukti tersebut.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui 19 kajian dengan 395,650 peserta dan menyertakan 394,790 dalam analisis kami. Para peserta berumur antara enam minggu dan 60 tahun. Kajian yang paling kecil telah menyertakan 75 peserta dan yang terbesar 326,794. Kajian-kajian tersebut kebanyakannya telah dijalankan di LMICs dengan kebanyakannya di Asia.

Keputusan utama

Berbanding dengan tiada vaksin, plasebo atau vaksin untuk penyakit lain , vaksinasi TCV boleh mengakibatkan penurunan besar dalam demam tifoid dan mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian daripada sebarang sebab. Vaksinasi TCV mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan yang tidak diingini dan sedikit penurunan dalam kesan tidak diingini yang serius. Vaksinisasi TCV dibandingkan dengan kawalan berkemungkinan menghasilkan tempoh perlindungan yang lebih panjang, dengan satu kajian yang menunjukkan kadar demam tifoid akut yang lebih rendah sehingga empat tahun.

Berbanding dengan vaksin tifoid bukan konjugat , TCV boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam demam kepialu akut dan berkemungkinan mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan-kesan yang tidak diingini . Terdapat sedikit penurunan dalam kesan-kesan tidak diingini yang serius semasa TCV digunakan dan sebagai ganti vaksin tifoid bukan konjugat. Tiada kajian yang melaporkan kematian dalam perbandingan ini.

Berbanding dengan TCV yang lain , tiada kajian melaporkan tentang demam tifoid. Terdapat sedikit sehingga tiada perbezaan dalam kematian oleh sebarang sebab semasa membandingkan satu TCV (Vi-TT) dengan yang lain. Vaksinasi dengan Vi-TT berkemungkinan mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan-kesan yang tidak diingini dan mungkin mengakibatkan sedikit sehingga tiada perbezaan dalam kesan tidak diingini yang serius berbanding dengan TCV yang lain.

Keyakinan kami terhadap beberapa bukti menurun disebabkan ia tidak selalu tepat, tidak selalu menepati soalan kami dan terdapat potensi berat sebelah.

Apakah keterbatasan bukti?

Kematian tidak selalunya dilaporkan dan, apabila ia berlaku, jumlahnya adalah rendah. Hal ini boleh membawa kepada kematian yang dilaporkan kurang daripada yang berlaku. Tiada kajian yang telah membandingkan keberkesanan satu TCV dengan yang lain dalam mencegah demam tifoid. Kesan-kesan yang tidak diingini tidak ditakrifkan secara sama oleh pengarang yang membuat kajian tersebut.. Kami telah melaporkannya sebagai hasil gabungan dan bukannya sebagai kesan khusus seperti loya atau ruam, yang boleh membataskan penggunaan keputusan tersebut oleh pengamal penjagaan kesihatan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga 19 April 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (USM).

Petikan
Gloeck NR, Leong TD, Mthethwa M, Iwu-Jaja CJ, Katoto PDMC, Wiysonge CS, Kredo T. Typhoid conjugate vaccines for preventing typhoid fever (enteric fever). Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD015746. DOI: 10.1002/14651858.CD015746.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan