Mesej utama
-
Berbanding dengan nasihat diet tradisional (seperti mengehadkan kalori atau memakan makanan yang berbeza jenis), puasa berkala mungkin memberikan sedikit hingga tiada perbezaan terhadap penurunan berat badan dan kualiti hidup pada orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti. Kami kurang pasti tentang keputusan bagi kejadian yang tidak diingini.
-
Berbanding dengan tanpa nasihat atau berada dalam senarai menunggu, puasa berkala mungkin memberikan sedikit hingga tiada perbezaan terhadap penurunan berat badan. Kami kurang pasti tentang bukti untuk kualiti hidup dan kejadian yang tidak diingini (seperti keletihan, sakit kepala dan rasa mual).
-
Tiada ada satu pun kajian yang disertakan yang melaporkan kepuasan peserta dengan puasa berkala, status diabetes mereka atau keadaan keseluruhan masalah kesihatan yang lain. Kami memerlukan penyelidikan lebih lanjut untuk mengkaji perkara-perkara ini.
Apakah itu obesiti dan bagaimana puasa berkala boleh membantu?
Obesiti merupakan keadaan perubatan serius yang mempunyai ciri-ciri seperti lemak badan yang tinggi, yang boleh mengakibatkan komplikasi berkaitan berat badan dan mungkin membawa kepada penyakit serius (seperti diabetes jenis 2) dan kematian. Tahap obesiti di seluruh dunia semakin meningkat, sekali gus meningkatkan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan. Penurunan berat badan merupakan cara terbaik untuk mengurangkan risiko dan kesan kesihatan pada masyarakat yang berkaitan dengan berat badan berlebihan dan obesiti. Nasihat diet tradisional termasuk mengurangkan kalori, dan mengubah tabiat pemakanan kepada pengambilan makanan yang lebih sihat atau jumlah protein, karbohidrat dan lemak yang berbeza. Puasa berkala adalah pendekatan yang agak baharu dalam penurunan berat badan. Ia melibatkan tempoh di mana orang makan sedikit atau tiada makanan (berpuasa), diikuti dengan tempoh mereka makan seperti biasa. Terdapat pelbagai jenis puasa berkala, seperti makan hanya semasa waktu yang ditetapkan setiap hari (makan dalam masa yang terhad), berpuasa pada hari-hari tertentu dalam seminggu (puasa secara berkala), atau berselang-seli antara hari makan seperti biasa dan hari makan sangat sedikit (puasa berselang-seli). Puasa berkala boleh meningkatkan kesihatan secara keseluruhan melalui perubahan yang bermanfaat pada beberapa fungsi badan, walau bagaimanapun, ia mungkin membawa kepada kejadian yang tidak diingini seperti keletihan, sakit kepala atau rasa mual.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sekiranya puasa berkala adalah lebih berkesan untuk penurunan berat badan bagi orang dewasa yang hidup dengan berat badan berlebihan dan obesiti berbanding dengan nasihat diet tradisional. Kami juga ingin mengetahui kesannya terhadap kualiti hidup, status diabetes, dan ukuran lemak dalam darah, dan sama ada peserta mengalami kesan-kesan yang tidak diingini.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang melibatkan mereka yang berumur lebih 18 tahun, yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti, yang dipilih secara rawak untuk melakukan puasa berkala, atau untuk menerima nasihat diet tradisional, tiada rawatan atau berada dalam senarai menunggu. (Mereka yang berada dalam senarai menunggu dijadualkan untuk menerima rawatan tetapi tidak terus memulakannya; para penyelidik membandingkan mereka dengan orang yang memulakan rawatan dengan segera). Kami menyertakan kajian pada mereka yang menghidap atau tidak menghidap penyakit yang berkait dengan obesiti, seperti diabetes atau penyakit buah pinggang.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 22 kajian yang melibatkan 1995 orang yang dirawat di rumah atau di dalam komuniti. Kajian-kajian telah dijalankan di Eropah, Amerika Utara, China, Australia dan Amerika Selatan.
Berbanding dengan nasihat diet tradisional , puasa berkala mungkin memberikan sedikit hingga tiada perbezaan dalam penurunan berat badan, diukur sebagai perubahan daripada berat permulaan (21 kajian, 1430 orang) dan kualiti hidup (tiga kajian, 106 orang). Kami tidak pasti tentang kesan terhadap pencapaian pengurangan berat badan sebanyak 5% (4 kajian, 472 orang) atau kejadian yang tidak diingini (7 kajian, 619 orang).
Berbanding dengan tiada intervensi atau berada dalam senarai menunggu , puasa berkala mungkin memberikan sedikit hingga tiada perbezaan terhadap penurunan berat badan (6 kajian, 427 orang). Kami tidak pasti tentang kesannya terhadap kualiti hidup (1 kajian, 60 orang) atau kejadian yang tidak diingini (2 kajian, 189 orang).
Tidak ada satu pun kajian disertakan yang melaporkan kepuasan peserta dengan puasa berkala, status diabetes mereka atau keadaan keseluruhan masalah kesihatan yang lain.
Apakah batasan bukti?
Kami sederhana yakin dengan keputusan untuk penurunan berat badan apabila membandingkan puasa berkala dengan tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, keyakinan kami adalah rendah hingga sangat rendah untuk perkara-perkara lain yang kami mahukan kerana kebanyakan kajian yang disertakan tidak menggunakan kaedah yang paling kukuh, hanya melibatkan sekumpulan kecil peserta, dan melaporkan keputusan yang tidak muktamad.
Adakah ulasan ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 5 November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.