Mesej utama
-
Menggunakan misoprostol (ubat yang melembutkan dan melebarkan serviks - pangkal rahim) sebelum meletakkan alat dalam rahim (IUD - alat kontraseptif yang diletakkan di dalam rahim) memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap kesakitan apabila perkakas (tenakulum) digunakan untuk memegang serviks pada tempatnya semasa pemasangan IUD atau kesakitan selepas pemasangan IUD. Ia mungkin memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap kesakitan semasa pemasangan IUD, kemudahan pemasangan IUD untuk penyedia, atau keperluan untuk pelebaran serviks; dan barangkali memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap kejayaan pemasangan IUD, kecuali bagi wanita yang baru-baru mencuba tetapi gagal untuk memasang IUD.
-
Kesan-kesan tidak diingini yang berkait dengan misoprostol seperti kekejangan perut dan cirit-birit mungkin meningkat, tetapi ia mungkin memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap kejadian tidak diingini yang lain. Kami tidak tahu sama ada penggunaan misoprostol mempengaruhi kepuasan wanita dengan prosedur tersebut.
Apakah itu alat dalam rahim?
Alat dalam rahim (IUD) ialah alat kecil berbentuk t yang dimasukkan melalui serviks (pangkal rahim) ke dalam rahim untuk mengelakkan kehamilan. IUD perlu dipasang oleh doktor, jururawat, atau penyedia penjagaan kesihatan yang terlatih. Pemasangan IUD mungkin merupakan prosedur yang menyakitkan, dan ia mungkin lebih sukar bagi wanita yang belum pernah mempunyai bayi atau wanita yang pernah mencuba tetapi gagal untuk memasang IUD. Kejadian tidak diingini yang serius jarang berlaku dalam pemasangan IUD tetapi wanita mungkin mengalami kesan tidak diingini yang tidak serius seperti senggugut (kekejangan) atau pendarahan ringan.
Apakah itu misoprostol?
Misoprostol ialah ubat yang biasa digunakan untuk memulakan proses bersalin dan merawat pendarahan selepas kelahiran. Ia menyebabkan serviks melembut dan melebar, dan mungkin menjadikan pemasangan IUD kurang menyakitkan bagi wanita dan lebih mudah bagi penyedia. Misoprostol mungkin menyebabkan beberapa kesan-kesan yang tidak diingini seperti kekejangan, rasa mual atau cirit-birit. Kadangkala wanita mungkin berasa pening, berpeluh atau hendak pengsan. IUD ialah kaedah kontraseptif yang berkesan dan boleh berpatah balik, jadi mengenal pasti cara untuk mengurangkan kesakitan dan menambah baik kemudahan pemasangan bagi pihak penyedia mungkin mengurangkan halangan kepada akses dan penggunaan IUD.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada misoprostol mengurangkan kesakitan, menjadikan pemasangan IUD lebih mudah untuk penyedia, mengurangkan keperluan untuk kaedah lain bagi melebarkan serviks, meningkatkan kejayaan pemasangan dan kepuasan wanita terhadap prosedur tersebut, dan sama ada ia menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang mengkaji misoprostol untuk pemasangan IUD secara rutin berbanding dengan plasebo (ubat palsu) atau tiada rawatan. Kami menggabung dan menganalisis keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 14 RCT yang melibatkan sebanyak 1972 wanita. Kajian-kajian ini dilakukan di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, dan Afrika. Semua kajian membandingkan misoprostol dengan plasebo atau tiada rawatan.
Keputusan utama
Kesakitan. Misoprostol:
-
mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kesakitan semasa penggunaan tenakulum (tenakulum ialah perkakas yang memegang serviks pada tempatnya semasa pemasangan IUD) (3 kajian, 261 wanita);
-
mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kesakitan semasa pemasangan IUD (7 kajian, 766 wanita);
-
mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kesakitan selepas pemasangan IUD sebelum meninggalkan klinik (5 kajian, 448 wanita).
Kemudahan pemasangan IUD untuk penyedia
-
Misoprostol mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kemudahan pemasangan IUD bagi pihak penyedia (8 kajian, 848 wanita).
Keperluan untuk pelebaran serviks. Misoprostol:
-
mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam keperluan untuk pelebaran serviks bagi wanita yang tidak baru-baru gagal dalam percubaan pemasangan IUD (6 kajian, 562 wanita);
-
mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam keperluan untuk pelebaran serviks bagi wanita yang baru-baru gagal dalam percubaan pemasangan IUD (1 kajian, 90 wanita).
Kejayaan pemasangan. Misoprostol:
-
mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kejayaan pemasangan untuk wanita yang tidak baru-baru gagal dalam percubaan pemasangan IUD (12 kajian, 1579 wanita);
-
mungkin mengakibatkan sedikit peningkatan dalam kejayaan pemasangan untuk wanita yang baru-baru gagal dalam percubaan pemasangan IUD (1 kajian, 90 wanita).
Kepuasan pesakit
-
Kami tidak pasti sama ada misoprostol meningkatkan kepuasan pesakit dengan prosedur pemasangan IUD (2 kajian, 226 wanita).
Kesan-kesan yang tidak diingini. Misoprostol:
-
mungkin mengakibatkan peningkatan dalam kejadian kekejangan perut (7 kajian, 781 wanita);
-
mungkin mengakibatkan sedikit peningkatan dalam kejadian cirit-birit (9 kajian, 940 wanita);
-
mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kejadian pening atau hendak pengsan (6 kajian, 780 wanita).
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Sesetengah kajian tidak melaporkan maklumat penting tentang perkara yang ingin kami ketahui, dan beberapa kajian adalah berbeza antara satu dengan yang lain, jadi kami tidak boleh memasukkannya dalam analisis kami. Kami merancang untuk mengkaji sama ada faktor tertentu mempengaruhi keputusan, seperti sama ada wanita pernah sebelum ini melahirkan melalui faraj, dos misoprostol yang digunakan, atau jenis IUD yang dipasang, tetapi tidak terdapat kajian yang cukup untuk melakukan ini dengan cara yang bermakna.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 23 September 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).