Langkau ke kandungan utama

Adakah yoga dapat melegakan keletihan melampau berkaitan kanser dalam kalangan mereka yang terlibat?

Mesej utama

- Berbanding tanpa yoga, yoga selepas terapi antikanser mungkin dapat mengurangkan sedikit keletihan melampau berkaitan kanser dalam jangka masa pendek (sehingga 12 minggu selepas melakukan yoga).

- Kami tidak pasti sama ada yoga semasa terapi antikanser dapat melegakan keletihan melampau berkaitan kanser untuk jangka pendek, sederhana atau panjang jika dibandingkan tanpa yoga.

- Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami (1) jika kesan melakukan yoga selepas terapi antikanser berterusan melebihi 12 minggu, dan (2) apakah kesan melakukan yoga sebelum memulakan rawatan kanser dan juga semasa rawatan kanser .

Apakah keletihan melampau disebabkan kanser?

Keletihan melampau disebabkan kanser adalah rasa letih yang melampau dan berpanjangan. Ia boleh disebabkan oleh kanser, terapi kanser, atau kedua-duanya sekali. Keletihan melampau berkaitan kanser menjejaskan tubuh dan juga mood, keletihan ini menyukarkan pelaksanaan aktiviti harian. Ianya lebih kuat daripada keletihan biasa, dan ianya tidak hilang dengan berehat.

Bagaimanakah keletihan melampau yang berkaitan dengan kanser dirawat?

Garis panduan klinikal (dokumen yang memberi nasihat kepada profesional kesihatan tentang cara terbaik penjagaan kesihatan, berdasarkan penyelidikan terkini dan pendapat pakar) mengesyorkan senaman fizikal untuk mengurangkan keletihan melampau berkaitan kanser. Senaman fizikal memberi kesan kepada keletihan melampau berkaitan kanser dengan mempengaruhi proses biologi dan psikologi. Tetapi masih tidak jelas apakah jenis senaman yang paling bermanfaat. Yoga dipercayai boleh mengurangkan keletihan melampau yang berkaitan dengan kanser dan meningkatkan kualiti hidup kerana yoga menggabungkan senaman /pergerakan fizikal dengan kawalan pernafasan, tumpuan mental dan kesedaran tubuh badan. Ulasan ini adalah salah satu daripada lima ulasan yang meneroka pelbagai jenis senaman bagi keletihan melampau berkaitan dengan kanser.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada yoga mampu mengurangkan keletihan melampau berkaitan dengan kanser dan juga kualiti hidup dikalangan orang dewasa (18 tahun ke atas). Kami juga ingin mengetahui jika terdapat sebarang kesan sampingan dalam kajian-kajian; iaitu peristiwa yang tidak diingini yang mendatangkan bahaya kepada peserta.

Kami menyiasat kesan yoga dalam jangka masa yang pendek (sehingga 12 minggu selepas melakukan sesi yoga), jangka masa sederhana (antara 12 minggu dan 6 bulan selepas itu), dan jangka masa panjang (lebih daripada 6 bulan selepas melakukan sesi yoga).

Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan yoga dengan kajian tanpa yoga di kalangan individu dewasa yang mengidap kanser. Kami memasukkan amalan yoga yang dilakukan sebelum, semasa, atau selepas terapi antikanser bermula. Kami sertakan pelbagai jenis yoga, termasuk Hatha (yoga lembut dan perlahan yang memfokuskan pada pose dan pernafasan asas) dan Dru yoga (gaya yang merangkumi pergerakan, pernafasan dan ketenangan).

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami juga meneroka sama ada jenis yoga, jenis kanser, format senaman (individu berbanding yoga berasaskan kumpulan; diselia atau tidak diselia), dan umur peserta akan memberikan apa-apa perbezaan kepada keputusan kajian.

Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 21 kajian melibatkan 2041 peserta dan pelbagai jenis kanser. Kebanyakannya adalah wanita yang menghidap kanser payudara . 13 kajian dimana yoga dimulakan semasa terapi antikanser dan lapan kajian selepas terapi antikanser bermula Kami tidak menemui sebarang kajian di mana peserta mengamalkan yoga sebelum rawatan antikanser bermula.

Yoga semasa terapi antikanser

Tidak jelas sama ada yoga yang dilakukan semasa terapi antikanser mempunyai kesan terhadap keletihan melampau berkaitan dengan kanser untuk jangka pendek, sederhana atau panjang berbanding tanpa melakukan yoga.

Yoga yang dilakukan semasa terapi antikanser boleh meningkatkan kualiti hidup jangka pendek dan sederhana berbanding tanpa yoga, tetapi kami tidak pasti terhadap keputusan ini. Tiada kajian yang mengukur kualiti hidup jangka panjang.

Kami tidak pasti sama ada melakukan yoga atau tidak semasa terapi antikanser membawa kepada kesan sampingan. Hanya satu kajian melaporkan keputusan ini, bermakna bahawa bukti adalah lemah/ terhad.

Kami tidak menemui perbezaan daripada segi keberkesanan terhadap jenis yoga yang berbeza, latihan berkumpulan atau individu, atau latihan yang diselia dan tidak diselia.

Yoga selepas terapi antikanser

Yoga selepas rawatan antikanser mungkin dapat mengurangkan keletihan melampau berkaitan dengan kanser untuk jangka pendek berbanding tanpa yoga. Kami tidak tahu sama ada yoga selepas terapi antikanser dapat mengurangkan keletihan melampau berkaitan dengan kanser dalam jangka sederhana. Tiada kajian yang mengukur keletihan melampau berkaitan dengan kanser dalam jangka masa panjang.

Yoga selepas terapi antikanser mungkin mampu meningkatkan kualiti hidup untuk jangka pendek dan sederhana, tetapi kami sangat tidak yakin dengan keputusan yang didapati. Tiada kajian yang mengukur kualiti hidup jangka panjang.

Kami tidak dapat mempastikan sama ada melakukan yoga selepas terapi antikanser boleh membawa kepada kesan sampingan .

Kami tidak menemui perbezaan daripada segi kesan pelbagai jenis yoga, jenis kanser atau antara kumpulan umur yang berbeza.

Apakah batasan bukti?

Peserta dalam kajian tersebut sudah mengetahui tentang rawatan yang mereka terima; sama ada yoga atau tidak. Walaupun perkara ini tidak dapat dielakkan untuk jenis penyelidikan sebegini, namun ianya boleh mempengaruhi keputusan akhir kajian. Untuk beberapa kesan (contoh: untuk kesan jangka sederhana dan jangka panjang), kami tidak menemui kajian yang cukup meluas untuk kami meyakini keputusan kami. Oleh itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami betapa mampan kesan yoga untuk keletihan melampau yang berkaitan dengan kanser, kualiti hidup dan juga kesan yang tidak diingini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mohd Azizuddin Amir Shariffuddin (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Messer S, Oeser A, Wagner C, Wender A, Cryns N, Scherer RW, Mishra SI, Monsef I, Holtkamp U, Andreas M, Bröckelmann PJ, Ernst M, Skoetz N. Yoga for fatigue in people with cancer. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD015520. DOI: 10.1002/14651858.CD015520.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan