Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah faedah dan kemudaratan rawatan awal untuk orang dengan mieloma multipel membara berisiko tinggi (satu keadaan lanjut, bebas gelaja yang berkemungkinan berkembang menjadi kanser darah aktif) berbanding dengan menunggu sehingga penyakit menjadi ak...

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Apakah tujuan ulasan ini?

Untuk mengetahui sama ada rawatan awal membantu orang dengan mieloma multipel membara berisiko tinggi berbanding dengan hanya ‘memerhati dan menunggu’ (pemerhatian) sehingga penyakit menjadi aktif.

Mesej utama

  • Rawatan awal dengan ubat sasaran baru, daratumumab, mungkin membantu orang dengan mieloma membara berisiko tinggi hidup lebih lama dan mungkin melambatkan penyakit daripada menjadi aktif. Ubat ini mungkin mempunyai kesan-kesan yang tidak diingini, termasuk kesan yang tidak diingini yang serius, tetapi bukti untuk hasil keselamatan adalah sangat tidak pasti.

  • Sejenia ubat yang lain, lenalidomide, mungkin mempunyai sedikit sehingga tiada kesan dalam melambatkan perkembangan penyakit, membantu orang hidup dengan lebih lama, atau meningkatkan kualiti hidup mereka. Lenalidomide juga mungkin mempunyai kesan-kesan yang tidak diingini, termasuk kesan-kesan tidak diingini yang serius. Walau bagaimanapun, bukti untuk semua hasil adalah sangat tidak pasti.

  • Untuk ubat kanser yang lebih lama atau terapi sasaran yang lain, tiada bukti yang mencukupi untuk mengetahui sama ada mereka membantu atau mengakibatkan kemudaratan.

Apakah itu mieloma multipel membara yang berisiko tinggi?

Mieloma multipel membara ialah keadaan awal sel plasma merah bukan kanser yang tidak mengakibatkan gejala, tetapi boleh berkembang menjadi mieloma multipel yang aktif. Orang yang mempunyai mieloma multipel membara berisiko tinggi mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk berlaku. Beberapa jenis rawatan awal yang sedia ada untuk keadaan ini termasuk:

  • ubat-ubatan sasaran yang lebih baru dipanggil antibodi monoklonal, yang membantu sistem imum mencari dan menyerang sel-sel kanser;

  • ubat-ubatan yang bekerja dengan sistem imun dengan cara lain, dipanggil agen imunomodulator;

  • ubat-ubatan kanser tradisional dipanggil agen pengalkilatan; dan

  • ubat-ubatan sasaran yang lain yang dipanggil sebagai perencat sitokin, yang menyekat protein tertentu.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan awal:

  • melambatkan perkembangan mieloma multipel membara menjadi penyakit aktif;

  • membantu orang hidup lebih lama;

  • mempunyai sebarang kesan tidak diingini, termasuk kesan-kesan tidak diingini yang serius; dan

  • menjejaskan kualiti hidup orang.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan rawatan awal kepada hanya ‘memerhati dan menunggu” (pemerhatian) atau rawatan palsu (plasebo) pada orang dewasa dengan mieloma multipel membara berisiko tinggi. Kami telah merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti saiz dan kaedah kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui tujuh kajian yang melibatkan 1096 orang dewasa dengan mieloma multipel membara berisiko tinggi. Kajian terbesar melibatkan 390 orang dewasa dan kajian terkecil melibatkan 50 orang dewasa. Kajian dijalankan di negara-negara di seluruh dunia, tetapi kebanyakannya adalah di Eropah dan Amerika Utara. Masa susulan kajian sangat berbeza, dari sekitar 29 bulan hingga lebih 12 tahun. Syarikat-syarikat farmaseutikal telah membiayai atau terlibat dalam lima kajian.

Keputusan utama

Rawatan awal dengan daratumumab (satu antibodi monoklonal) mungkin mengurangkan risiko penyakit itu berkembang dan boleh mengurangkan risiko kematian. Ia mungkin mempunyai kesan tidak diingini, termasuk kesan tidak diingini yang serius, tetapi bukti untuk hasil keselamatan adalah sangat tidak pasti.

Lenalidomide, (satu agen imunomodulator) mungkin mempunyai sedikit sehingga tiada kesan dalam melambatkan perkembangan penyakit, membantu orang hidup lebih lama, atau meningkatkan kualiti hidup mereka. Lenalidomide juga mungkin mempunyai kesan-kesan yang tidak diingini, termasuk kesan-kesan tidak diingini yang serius. Walau bagaimanapun, bukti untuk semua hasil adalah sangat tidak pasti.

Kami tidak pasti sama ada agen pengalkilatan atau perencat sitokin mempunyai kesan terhadap penyakit.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan penemuan untuk kebanyakan rawatan. Hal ini disebabkan kebanyakan kajian adalah kecil dan telah menggunakan kaedah yang boleh menyebabkan ralat dalam keputusan mereka. Cara doktor mengenal pasti penyakit berisiko tinggi juga telah berubah dari semasa ke semasa, menjadikannya sukar untuk membandingkan kajian. Tambahan pula, ada berkemungkinan bahawa beberapa kajian dengan keputusan negatif masih belum didedahkan keputusan kepada orang awam, yang boleh menjejaskan kesimpulan kami.

Adakah ini ulasan yang terkini?

Kami telah mencari kajian sehingga Oktober 2025. Beberapa kajian yang menguji rawatan baru yang lain masih dijalankan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Chen PH, Jhou HJ, Ho CL, Huang HL, Lee CH. Early intervention for high-risk smoldering multiple myeloma (SMM). Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 3. Art. No.: CD015494. DOI: 10.1002/14651858.CD015494.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan