Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah faedah dan risiko sokongan pemakanan yang berbeza untuk warga emas yang dimasukkan ke hospital yang mengalami malnutrisi atau berisiko mengalami malnutrisi?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Berbanding dengan penjagaan standard hospital, makanan dan minuman khusus boleh mengurangkan kemungkinan kematian dan terjadinya kejadian kesihatan negatif yang serius selepas sebulan dimasukkan ke hospital.

  • Dari segi keupayaan untuk melakukan aktiviti asas harian, kualiti hidup, tempoh tinggal di hospital, dan berat badan mereka, kami sama ada tidak pasti tentang manfaat dan risiko jenis sokongan pemakanan yang berbeza, atau bukti menunjukkan bahawa ia memberikan sedikit atau tiada perbezaan berbanding dengan penjagaan standard hospital.

  • Kajian lebih besar dan direka baik yang membandingkan pelbagai jenis sokongan pemakanan boleh meningkatkan keyakinan kami terhadap penemuan ini.

Apakah itu malnutrisi?

Seseorang mengalami malnutrisi apabila pengambilan tenaga dan protein mereka tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan badan mereka. Keadaan ini boleh mengurangkan simpanan lemak dan otot seseorang. Malnutrisi mengancam kesihatan dan menjejaskan keupayaan sistem imun untuk melawan jangkitan. Warga emas yang mengalami malnutrisi mempunyai risiko lebih tinggi untuk komplikasi penyakit, kehilangan kebebasan mereka, dan kematian berbanding dengan warga emas yang tidak mengalami malnutrisi. Mereka juga mengalami kualiti hidup yang lebih rendah.

Warga emas boleh mengalami malnutrisi atau berisiko mengalami malnutrisi atas beberapa sebab seperti kurang selera makan, masalah mengunyah, batasan fizikal (contohnya tidak dapat berdiri lama untuk menyediakan makanan), dan kesunyian.

Warga emas di hospital terutamanya terdedah kepada malnutrisi. Mereka mungkin tidak makan secukupnya semasa penyakit meningkatkan keperluan tenaga dan protein mereka. Malnutrisi menjejaskan kira-kira satu pertiga hingga dua pertiga daripada warga emas yang dimasukkan ke hospital.

Bagaimanakah malnutrisi dirawat?

Terdapat pelbagai rawatan untuk malnutrisi, termasuk: makanan dan minuman khusus yang membekalkan tenaga, protein dan lain-lain nutrien tambahan; bantuan praktikal untuk makan dan minum; snek tambahan, makanan tinggi protein atau suplemen; kaunseling pemakanan; atau kombinasi pendekatan ini yang disesuaikan.

Apakah yang ingin diketahui?

Di kalangan warga emas yang dimasukkan ke hospital yang mengalami malnutrisi atau berisiko untuk mengalami malnutrisi, kami ingin mengetahui sekiranya jenis sokongan pemakanan yang berbeza adalah lebih baik berbanding penjagaan standard bagi:

  • mengurangkan risiko kematian dan kejadian kesihatan negatif yang serius (contohnya komplikasi seperti jangkitan atau penyembuhan luka);

  • meningkatkan keupayaan seseorang untuk melakukan aktiviti harian asas dan kualiti hidup mereka;

  • mengurangkan masa yang dihabiskan di hospital; dan

  • meningkatkan berat badan dan jisim otot seseorang.

Kami juga ingin tahu jenis sokongan pemakanan manakah yang paling berkesan.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas yang berada di hospital dan mengalami malnutrisi atau berisiko mengalami malnutrisi. Kami menyertakan kajian yang membandingkan satu jenis sokongan pemakanan dengan jenis yang lain, atau membandingkan sokongan pemakanan dengan penjagaan standard hospital (iaitu perkhidmatan biasa makanan hospital), kadangkala digabungkan dengan 'rawatan palsu' yang kelihatan sama dengan suplemen yang diuji. Kami merumus dan membandingkan semua rawatan, dan menilai keyakinan kami terhadap keputusan berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 21 kajian yang melibatkan 3309 orang warga emas yang dimasukkan ke hospital dengan pelbagai keadaan akut. Kami membahagikan rawatan yang mereka terima kepada lima kategori:

  • makanan dan minuman khusus;

  • makanan yang diperkaya protein atau suplemen;

  • suplemen tenaga;

  • sokongan pemberian makanan peribadi oleh pembantu (yang akan, sebagai contoh, menyesuaikan dengan makanan yang digemari, melaraskan posisi, dan membantu untuk makan);

  • penjagaan pemakanan peribadi berbilang komponen oleh ahli dietetik atau pakar pemakanan (yang akan, sebagai contoh, mengubahsuai makanan atau menawarkan kaunseling).

Keputusan utama

Berbanding dengan penjagaan standard hospital, selepas sebulan di hospital, makanan dan minuman khusus mungkin:

  • mengurangkan kemungkinan kematian: ia mungkin membawa kepada 57 kurang kematian bagi setiap 1000 orang;

  • mengurangkan kejadian kesihatan negatif yang serius: ia mungkin membawa kepada 84 kurang kejadian bagi setiap 1000 orang.

Berbanding dengan penjagaan standard hospital, kami sama ada sangat tidak pasti tentang kesan makanan dan minuman khusus, makanan yang diperkaya protein atau suplemen, suplemen tenaga, sokongan pemberian makanan peribadi, dan penjagaan pemakanan peribadi berbilang komponen, atau rawatan ini mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap:

  • keupayaan untuk melakukan aktiviti harian asas;

  • kualiti hidup;

  • tempoh tinggal di hospital;

  • berat badan dan jisim otot.

Apabila kami membandingkan antara pelbagai jenis sokongan pemakanan, kami tidak menjumpai mana-mana pendekatan yang lebih baik daripada semua yang lain dalam meningkatkan hasil yang kami ukur.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap penemuan adalah rendah atau sangat rendah atas beberapa sebab. Sesetengah kajian menggunakan kaedah yang mungkin membawa kepada ralat dalam keputusan. Kajian sering melibatkan terlalu sedikit orang, atau tidak melihat semua yang kami minati, seperti jisim otot sebagai hasil atau perbandingan jenis sokongan pemakanan yang berbeza. Tambahan pula, warga emas di hospital mempunyai penyakit dan keupayaan berfungsi yang berbeza, dan kami tidak dapat menilai bagaimana jenis sokongan pemakanan yang berbeza bertindak untuk pelbagai orang.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 2 Julai 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin (Pegawai Pergigian). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Kiesswetter E, Schwarzer G, Stadelmaier J, Lohner S, Grummich K, Dagnelie PC, Beck AM, Beelen J, Botella-Carretero JI, Faxén-Irving G, Hickson M, Iff S, Johansen A, Sharma Y, Sorensen JM, Kaegi-Braun N, Wunderle C, Bongaerts B, Meerpohl JJ, Norman K, Schuetz P, Torbahn G, Visser M, Volkert D, Schwingshackl L. Oral nutritional interventions in hospitalised older people at nutritional risk: a network meta-analysis of individual participant data. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 3. Art. No.: CD015468. DOI: 10.1002/14651858.CD015468.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan