Mesej utama
-
“Faktor prognostik” ialah ciri-ciri seseorang yang boleh digunakan untuk meramalkan sama ada penyakit seseorang akan menjadi lebih teruk dan seberapa cepatnya. Keadaan kesihatan yang semakin teruk atau merosot juga dikenali sebagai perkembangan penyakit.
-
Kami telah menemui faktor-faktor berikut yang penting untuk meramalkan perkembangan glaukoma: (1) kehadiran perdarahan kecil dan aliran darah yang lemah ke retina dan belakang mata, (2) struktur sel yang tidak normal, (3) menghidap glaukoma pada kedua-dua mata, dan (4) menerima rawatan untuk glaukoma.
-
Kami kurang pasti tentang kekuatan hubungan ramalan disebabkan kebanyakan kajian yang dikenal pasti adalah berkualiti rendah dan mencapai kesimpulan yang berbeza.
Apakah glaukoma?
Glaukoma ialah penyakit kronik saraf optik - saraf yang membawa maklumat daripada belakang mata ke otak. Glaukoma ialah sebab utama kebutaan di seluruh dunia, dan perlu diuruskan oleh doktor pakar. Orang yang menghidap glaukoma tidak mempunyai sebarang gejala pada peringkat awal. Rawatan untuk glaukoma berkesan untuk menghentikan atau memperlahankan kemerosotan penyakit.
Jenis glaukoma yang paling kerap dikenali sebagai glaukoma sudut terbuka primer. Sejenis glaukoma lagi, glaukoma pseudoexfoliation, boleh berkembang lebih cepat kepada peringkat penyakit yang lebih teruk. Kedua-dua jenis ini telah disertakan dalam ulasan ini.
Apakah yang ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui ciri-ciri peribadi yang berkaitan dengan kemerosotan (perkembangan) glaukoma. Memahami faktor-faktor yang menjejaskan perkembangan glaukoma yang lebih pantas adalah berguna untuk mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi untuk kehilangan penglihatan. Hal ini membantu pakar oftalmologi untuk mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi untuk kehilangan penglihatan dan membantu membimbing pengurusan dan membuat keputusan pilihan rawatan yang terbaik.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah melihat kepada pelbagai jenis kajian untuk mengenal pasti faktor yang dikaitkan dengan perkembangan glaukoma. Disebabkan glaukoma adalah keadaan kronik, kami telah menyertakan kajian yang menilai peserta untuk sekurang-kurangnya dua tahun. Kami juga mewajibkan kajian yang menyertakan orang dewasa (18 tahun ke atas) dengan minimum 200 orang untuk merekodkan peristiwa-peristiwa perkembangan penyakit yang mencukupi. Kami telah menilai kualiti kajian secara mendalam dan menggabungkan anggaran daripada kajian secara statistik berdasarkan kaedah standard.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah mengenal pasti 16,188 penerbitan dan mendapatkan laporan penuh daripada 239 kajian untuk penilaian lanjut. Setelah meneliti laporan teks penuh, kami telah menyertakan 123 laporan daripada 22 kajian (6082 peserta) dalam ulasan ini. Purata umur peserta dalam kajian ini adalah antara 50 dan 78 tahun. Kami telah menemui 40 faktor dengan anggaran sebab akibat dengan perkembangan glaukoma merentas kajian yang disertakan. Daripada 40 kajian ini, kebanyakannya mempunyai bukti yang tidak konsisten dan bukti kepastian yang rendah tentang sebab akibat. Kami telah melaporkan tiga faktor prognostik dengan bukti kepastian yang konsisten, sangat rendah sehingga sederhana untuk kepastian yang positif atau negatif tentang sebab akibat dengan perkembangan - kesemua ini melibatkan kewujudan pendarahan kecil di belakang mata, mempunyai glaukoma di dalam kedua-dua mata, dan menerima rawatan untuk glaukoma. Walaupun kajian terdahulu menunjukkan bahawa tekanan intraokular, ketebalan bahagian permukaan hadapan mata yang jernih, umur, jantina perempuan, tekanan darah yang tinggi, migrain, masalah dalam peredaran darah dan saluran darah dan masalah jantung adalah berkaitan dengan kemerosotan glaukoma yang lebih cepat, kami tidak menemui bukti yang konsisten tentang sebab akibat tersebut dalam ulasan kami.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kebanyakan (86%) kajian yang telah disertakan adalah berkualiti rendah. Kami telah menemui pelbagai variasi dalam cara faktor prognostik ditakrifkan dan dinilai untuk peserta, serta bagaimana hasilnya ditakrifkanm diukur, dan disertakan dalam analisis. Hal ini bermakna kami tidak dapat menggabungkan anggaran untuk kebanyakan ciri-ciri dan adalah terhad kepada penerangan secara kualitatif untuk kebanyakan bukti.
Kesimpulan penulis
Dalam ulasan kami, kami telah mengenal pasti beberapa faktor yang berkaitan dengan kemerosotan cepat untuk glaukoma dan sesetengah bukti bahawa rawatan membantu memperlahankan kemerosotan glaukoma, walaupun kami tidak yakin dengan dapatan tersebut. Kami tidak menemui bukti yang meyakinkan untuk faktor lain yang dikenal pasti seperti tekanan darah tinggi yang boleh dikaitkan dengan kemerosotan penyakit. Kami mencadangkan untuk menjalankan lebih banyak kajian yang berkualiti tinggi mengenai topik ini pada masa depan, untuk mengumpulkan data yang lebih banyak dan lebih baik yang berguna untuk mencegah kebutaan yang disebabkan oleh glaukoma.
Adakah dapatan ini yang terkini?
Kami telah mencari dan mengenal pasti kajian yang diterbitkan sehingga 15 Ogos 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.