Mesej utama
Transfusi platelet (memberikan sel darah yang membentuk pembekuan darah untuk menghentikan pendarahan) pada tahap kiraan platelet yang lebih tinggi (apabila terdapat risiko berdarah yang kurang) nampaknya tidak mengurangkan kematian atau pendarahan.
Transfusi pada paras platelet yang lebih rendah berkemungkinan mengurangkan transfusi platelet tanpa meningkatkan risiko kematian atau pendarahan.
Kajian masa hadapan diperlukan untuk mengetahui kiraan platelet yang tepat di mana bayi harus diberikan platelet berdasarkan risiko pendarahan individu.
Apakah platelet itu?
Platelet ialah sel darah yang membentuk pembekuan darah untuk menghentikan pendarahan. Tahap platelet yang rendah (tahap platelet pada ujian darah kurang daripada 150,000 platelet setiap mikroliter) dikenali sebagai trombositopenia. Kiraan platelet rendah adalah perkara biasa dalam kalangan bayi baru lahir pramatang atau sakit dan boleh meningkatkan risiko berdarah mereka.
Bagaimanakah trombositopenia (kiraan platelet yang rendah) dirawat?
Trombositopenia biasanya dirawat dengan memberikan platelet daripada darah yang didermakan. Platelet diberikan terus ke dalam vena dalam prosedur yang dipanggil transfusi. Walau bagaimanapun, transfusi platelet itu sendiri boleh meningkatkan risiko kematian dan kemudaratan yang lain, dan pakar dalam bidang ini berbeza pendapat tentang sama ada transfusi platelet harus dilakukan apabila platelet bayi lebih rendah berbanding apabila ia lebih tinggi.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada lebih baik memberi platelet apabila tahap platelet lebih tinggi dibandingkan apabila ia lebih rendah pada bayi dengan trombositopenia. Kami ingin mengetahui kesan transfusi terhadap kematian dan berdarah, serta perkembangan bayi.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada pemberian transfusi platelet kepada bayi yang menghidap trombositopenia. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti perkaedahan dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui tiga kajian (856 bayi) yang dibandingkan tahap platelet berbeza untuk rawatan dengan transfusi platelet. Dua kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi (AS, Kanada, UK, Ireland dan Belanda), dan satu lagi di negara berpendapatan sederhana rendah (India). Satu kajian melihat kepada sama ada lebih baik untuk memberikan transfusi platelet apabila platelet pada bayi sedikit rendah (trombositopenia ringan) dibandingkan jika platelet rendah (trombositopenia sederhana ) ( julat trombositopenia ringan) . Satu lagi kajian melihat kepada sama ada lebih baik untuk memberikan transfusi platelet apabila platelet berada pada tahap rendah (trombositopenia sederhana ) dibandingkan jika platelet berada pada tahap sangat rendah (trombositopenia teruk ) ( julat trombositopenia sederhana ) . Kajian ketiga melihat kepada sama ada lebih baik untuk memberikan transfusi platelet apabila platelet sangat rendah (trombositopenia teruk ) dibandingkan jika platelet sangat rendah (trombositopenia sangat teruk ) ( julat trombositopenia teruk ) .
Kami tidak menemui perbezaan antara tahap platelet yang lebih rendah dan lebih tinggi dalam kematian:
julat trombositopenia ringan (1 kajian, 152 bayi);
julat trombositopenia sederhana (1 kajian, 44 bayi);
julat trombositopenia teruk (1 kajian, 656 bayi).
Kami tidak menemui perbezaan antara tahap platelet yang lebih rendah dan lebih tinggi dalam pendarahan:
julat trombositopenia ringan (tidak dilaporkan);
julat trombositopenia sederhana (1 kajian, 44 bayi);
julat trombositopenia teruk (1 kajian, 658 bayi).
Kami menemui transfusi pada paras platelet yang lebih rendah berkemungkinan mengurangkan transfusi platelet tanpa meningkatkan risiko kematian atau pendarahan:
julat trombositopenia ringan (1 kajian, 152 bayi);
julat trombositopenia sederhana (tidak dilaporkan);
julat trombositopenia teruk (1 kajian, 659 bayi).
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami hanya mempunyai keyakinan sederhana hingga sangat rendah terhadap bukti. Keyakinan kami terhad kerana orang yang menjalankan kajian tahu rawatan yang mereka berikan, dan kami hanya menemui tiga kajian, yang semuanya berbeza dari segi tahap platelet yang dikaji. Kajian-kajian tersebut juga berbeza sama ada ia disertakan bayi yang sudah berdarah. Kajian terbesar tidak melibatkan bayi yang mengalami berdarah.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadhirah Azizan (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




