Mesej utama
-
Antifibrinolitik membantu mencegah perdarahan dengan menghentikan klot darah daripada pecah terlalu cepat. Asid tranexamic (TXA) dan asid epsilon aminocaproic (EACA) adalah dua ubat antifibrinolitik.
-
Berbanding plasebo (ubat ‘palsu’ yang tidak aktif), TXA mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang dengan trombositopenia dan gangguan darah yang mengalami perdarahan sederhana atau lebih teruk daripada sederhana. Ia boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang mengalami perdarahan yang mengancam nyawa, atau klot darah berbahaya dalam saluran darah (tromboembolisme).
-
Kami tidak tahu jika EACA membantu kerana terdapat kekurangan data.
Apakah gangguan hematologi?
Gangguan hematologi (iaitu darah) adalah keadaan yang mempengaruhi darah dan organ pembentuk darah (seperti sumsum tulang). Ia mengganggu fungsi normal darah seperti mengangkut oksigen, pembekuan darah dan imuniti. Sebahagian gangguan darah ini bukanlah kanser dan boleh menyebabkan masalah seperti anemia atau anemia sel sabit. Yang lain adalah kanser darah, seperti leukemia, limfoma, dan myeloma.
Bagaimanakah gangguan hematologi dirawat?
Orang dengan kanser hematologi (darah) dan gangguan darah lain kerap berisiko mengalami perdarahan yang teruk atau mengancam nyawa kerana kiraan platelet yang rendah (trombositopenia). Apabila bilangan platelet dalam darah rendah, darah tidak membeku seperti yang sepatutnya, jadi orang boleh mendapat lebam atau mudah berdarah. Ini mungkin kegagalan sumsum tulang akibat gangguan yang mendasari gangguan darah, tetapi juga dari kesan toksik rawatan (kemoterapi) terhadap sumsum tulang.
Orang dengan platelet rendah boleh diberi transfusi platelet: iaitu, menerima platelet daripada darah yang didermakan untuk membantu mencegah perdarahan. Transfusi adalah berisiko, daripada tindakbalas ringan seperti demam hingga akibat yang lebih serius atau mengancam nyawa. Ini termasuk jangkitan yang ditransmisi kepada pesakit daripada platelet yang ditransfusi, meskipun terdapat usaha ketat untuk mencegahnya.
Apakah yang ingin diketahui?
Jelas sekali, cara untuk mencegah perdarahan dengan selamat dalam kalangan orang dengan trombositopenia sambil meminimumkan pendedahan kepada platelet yang ditransfusi adalah dialu-alukan. Satu cara yang mungkin dapat mencapai matlamat ini ialah penggunaan antifibrinolitik (juga dikenali sebagai analog lysine): asid tranexamic (TXA) dan asid epsilon aminocaproic (EACA).
Ubat-ubatan ini membantu menstabilkan klot yang terbentuk selepas pendarahan, dan mengurangkan kemungkinan perdarahan lanjutan serta keperluan untuk transfusi platelet. Terdapat risiko yang berkaitan dengan penggunaan TXA dan EACA: yang paling penting ialah peningkatan risiko membentuk klot darah yang tidak diingini (seperti trombosis vena dalam (DVT)), yang berpotensi mengancam nyawa.
Kami ingin tahu jika TXA dan EACA adalah lebih baik daripada plasebo (ubat ‘palsu’ yang tidak aktif) atau tiada ubaant dalam mengurangkan bilangan orang yang:
-
mengalami perdarahan sederhana atau lebih teruk;
-
mengalami perdarahan teruk atau mengancam nyawa;
-
mengalami sebarang jenis tromboembolisme (klot darah berbahaya);
-
meninggal dunia.
Kami juga ingin tahu jika TXA atau EACA menyebabkan sebarang kesan mudarat dan tidak diingini yang serius.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan TXA atau EACA dengan plasebo atau tiada rawatan dalam kalangan orang dengan gangguan hematologi (darah) dengan kiraan platelet rendah dan biasanya akan dirawat dengan transfusi platelet. Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui lapan kajian dengan sejumlah 1041 peserta. Enam kajian membandingkan TXA dengan plasebo, satu kajian membandingkan EACA dengan tiada EACA, serta satu lagi kajian membandingkan EACA dengan transfusi plasebo standard. Tujuh kajian adalah dalam kalangan dewasa dan satu dalam kalangan kanak-kanak. Lima kajian dibiayai oleh kerajaan, universiti atau organisasi-organisasi bukan farmaseutikal; satu kajian menerima dana daripada syarikat farmaseutikal; dan dua kajian tidak memberi maklumat tentang dana.
Keputusan utama
Dalam kalangan orang dengan gangguan hematologi yang mana kiraan plateletnya rendah, asid tranexamic (TXA) berbanding plasebo:
-
mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang mengalami perdarahan sederhana atau pendarahan yang lebih teruk daripada sederhana;
-
memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang mengalami perdarahan teruk, perdarahan mengancam nyawa, atau klot darah berbahaya dalam saluran darah (tromboembolisme).
Tiada cukup bukti untuk mencapai kesimpulan tentang kesan TXA terhadap risiko kematian atau risiko kesan sampingan yang serius.
Dua kajian yang melihat kepada asid epsilon aminocaproic (EACA) tidak melaporkan maklumat yang cukup untuk membolehkan kami menganalisis keputusan mereka.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Secara amnya, kami sedikit yakin atau tidak yakin terhadap bukti kerana terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan keputusan hasil kami. Selain itu, beberapa perkara yang dicari (seperti kematian, klot darah berbahaya) berlaku dalam kalangan sangat sedikit orang, yang membuat ketidakpastian keputusan. Keterbatasan ini bermakna sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh tentang keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan antifibrinolitik.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Januari 2025. Ini adalah kemaskini ulasan terbitan tahun 2016.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




