Langkau ke kandungan utama

Mukolitik (ubat yang mencairkan lendir) untuk kanak-kanak dengan penyakit paru-paru supuratif (bernanah) yang kronik

Mesej-mesej utama

- Disebabkan kekurangan bukti kukuh, tidak jelas sama ada ubat yang mencairkan lendir dapat membantu kanak-kanak dengan penyakit paru-paru supuratif kronik (CSLD). Kami menemui hanya satu kajian kecil dengan reka bentuk kajian yang terhad.

- Kajian-kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk menilai faedah dan potensi bahaya ubat mencairkan lendir pada kanak-kanak dengan CSLD.

Apakah penyakit paru-paru supuratif kronik (CSLD)?

Penyakit paru-paru bernanah kronik adalah keadaan paru-paru yang dikaitkan dengan jangkitan kronik dan keradangan pada saluran pernafasan dengan lendir yang berlebihan, yang membawa kepada batuk berkahak setiap hari bagi kanak-kanak tersebut. Ia termasuk bronkitis bakteria berlarutan dan bronkiektasis. Jika dirawat dengan betul masa zaman kanak-kanak, kitaran jangkitan berterusan, keradangan dan gangguan pembersihan lendir dalam saluran pernafasan boleh dipecahkan dan perkara ini boleh mencegah dan juga membaikpulih kerosakan paru-paru.

Bagaimanakah CSLD dirawat?

Dua aspek utama dalam merawat CSLD ialah penggunaan antibiotik yang sesuai dan fisioterapi paru-paru, yang dapat meningkatkan pembersihan saluran pernafasan. Fisioterapi paru-paru membantu membersihkan lendir dari saluran pernafasan dan boleh dilakukan secara manual, seperti perkusi dinding dada (yang melibatkan pukulan secara sekata pada dinding dada dengan tangan ditekup untuk melonggarkan lendir dari dinding saluran pernafasan, menjadikannya lebih mudah untuk batuk) dan senaman pernafasan dan huffing (hembus nafas dengan kuat melalui mulut). Kedua-dua aspek boleh membantu meningkatkan perawatan penyakit, seperti mengurangkan kekerapan jangkitan ulangan, membaikpulih fungsi paru-paru dan kualiti hidup.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Mukolitik ialah ubat yang boleh membantu memecahkan lendir dan memudahkan kanak-kanak mengeluarkan kahak, oleh itu, sangat berpotensi membantu kedua-dua masalah kesihatan tersebut. Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang bukti tentang bagaimana ubat yang mencairkan lendir dapat membantu kanak-kanak dengan CSLD, termasuk bronkiektasis yang bukan disebabkan oleh sistik fibrosis, dalam mencegah eksaserbasi, membaikpulih fungsi paru-paru dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari pangkalan data dan pendaftaran untuk kajian-kajian yang membandingkan ubat yang mencairkan lendir dengan rawatan kawalan atau tiada rawatan pada kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah dengan CSLD.

Apa yang kami temui?

Kami menemui hanya satu kajian kecil yang menilai ubat yang mencairkan lendir (penyedutan garam hipertonik) terhadap 63 kanak-kanak dengan bronkiektasis, dengan keputusan dilaporkan untuk 52 kanak-kanak.

Keputusan utama

Walaupun satu kajian kecil menemui bahawa penggunaan garam hipertonik yang disedut sebelum fisioterapi paru-paru pada kanak-kanak dengan CSLD berkemungkinan dapat mengurangkan bilangan kekerapan jangkitan ulangan dan membaikpulih fungsi paru-paru, jika dibandingkan dengan tidak menggunakan garam hipertonik secara nebulisasi sebelum fisioterapi paru-paru, bukti ini tidak dapat dipastikan.

Kami juga menemui dua kajian yang masih berjalan, satu menggunakan garam hipertonik dan satu lagi menggunakan ubat yang memecahkan lendir yang diambil melalui mulut (erdosteine), yang berpotensi untuk disertakan dalam kemas kini pada kajian akan datang.

Apakah batasan bukti?

Terdapat batasan yang serius terhadap bukti kerana kajian ini kecil dan hanya berlangsung selama lapan minggu. Kami juga mempunyai kebimbangan mengenai reka bentuk kajian; sebagai contoh, mereka yang terlibat tahu rawatan yang diterima oleh kanak-kanak dalam kajian itu. Kajian itu tidak melaporkan kesan tidak diingini atau kualiti hidup. Kami tidak menemui sebarang kajian tentang ubat yang mencairkan lendir yang lain, seperti ubat yang mencairkan lendir yang diambil secara oral, kajian-kajian tentang rawatan yang diberikan semasa peningkatan gejalan bronkiektasis, atau untuk penyakit yang lain seperti bronkitis bakteria yang berpanjangan, dan tiada kajian yang dilakukan di luar hospital. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menjawab soalan penting klinikal ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Pencarian dilakukan sehingga September 2024 dan kajian yang disertakan diterbitkan pada 2021. Oleh itu, ulasan ini adalah terkini tetapi terhad disebabkan hanya melibatkan satu kajian kecil dengan reka bentuk kajian yang terhad.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
O'Farrell HE, McElrea ER, Chang AB, Yerkovich ST, Mullins T, Marchant JM. Mucolytics for children with chronic suppurative lung disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD015313. DOI: 10.1002/14651858.CD015313.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan