Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah rawatan bukan-perubatan dan kaedah baharu untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan membantu kanak-kanak dan remaja dengan epilepsi?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Satu kajian telah menunjukkan bahawa selepas tempoh rawatan selama tiga bulan, remaja yang telah menerima psikoterapi berkumpulan untuk menangani kebimbangan dan kemurungan mungkin mengalami bilangan sawan bulanan yang lebih rendah berbanding dengan remaja yang tidak menerima terapi.
• Kami tidak mengetahui sama ada rawatan bukan-perubatan dan sokongan penjagaan kesihatan inovatif telah membantu mengurangkan jumlah bilangan sawan atau meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak disebabkan bukti adalah terhad dan sangat tidak pasti.
• Kajian tersebut tidak menemui apa-apa rawatan atau kaedah baharu untuk memberikan sokongan penjagaan yang memudaratkan peserta kajian.

Apakah epilepsi?

Epilepsi ialah penyakit otak yang mengakibatkan sawan. Ia menjejaskan sekitar satu dalam 1000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun, dan sekitar satu dalam 200 kanak-kanak berumur antara lima dan 19 tahun. Dalam sawan, isyarat elektrik otak tiba-tiba terganggu atau menjadi terlalu aktif. Sawan boleh memudaratkan kesihatan dan mengurangkan kualiti hidup orang.

Apakah peranan rawatan bukan-perubatan dan pemberian penjagaan inovatif dalam epilepsi?

Kebanyakan orang dengan epilepsi mengambil ubat anti sawan setiap hari untuk membantu mengawal sawan. Walau bagaimanapun, sehingga empat daripada 10 kanak-kanak dengan epilepsi tidak bertindak balas dengan baik terhadap ubat sahaja: sawan berterusan. Tambahan pula, rawatan bukan-perubatan dan kaedah inovatif untuk menyampaikan sokongan penjagaan kesihatan mungkin membantu kanak-kanak dan remaja dengan epilepsi untuk menguruskan kesan keadaan terhadap mental, emosi, dan gaya hidup.

Kami telah membahagikan rawatan dan pendekatan kepada tiga kategori, berdasarkan bagaimana mereka direka bentuk untuk berfungsi:

• rawatan psiko-tingkah laku, yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku seseorang;
• rawatan minda-badan, seperti relaksasi otot dan yoga;
• pendekatan penyampaian perkhidmatan, seperti penjagaan kesihatan digital atau sokongan pakar epilepsi.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan dan pendekatan perkhidmatan ini untuk kanak-kanak dan remaja (kurang daripada 18 tahun) dan keluarga mereka adalah lebih baik daripada penjagaan biasa yang diterima oleh orang dengan epilepsi di:

• mengurangkan bilangan sawan yang dialami oleh mereka;
• meningkatkan kualiti hidup mereka.

Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan tersebut membawa kepada sebarang peristiwa-peristiwa yang tidak diingini, dan memudaratkan.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang meneroka (a) rawatan bukan-perubatan yang diberikan sebagai tambahan kepada penjagaan kesihatan biasa di mana kanak-kanak dengan epilepsi menerima atau (b) perubahan dalam cara perkhidmatan penjagaan kesihatan disampaikan. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang temukan?

Kami telah menemui enam kajian, melibatkan 468 peserta. Mereka telah dikendalikan di lima negara berbeza: dua kajian di China, dan satu kajian setiap satu di India, Jordan, Sweden, dan UK.

• Tiga kajian telah mengkaji rawatan psiko-tingkah laku yang ditambahkan kepada penjagaan epilepsi biasa.
• Satu kajian telah mengkaji yoga, rawatan minda-badan, ditambah penjagaan biasa.
• Dua kajian telah mengkaji kaedah baru dalam penyampaian penjagaan kesihatan. Dalam satu kajian, seorang ahli farmasi telah menyampaikan sesi pendidikan secara bersemuka selama 30 minit kepada penjaga dewasa. Kajian yang lain telah menyediakan penjagaan susulan selama enam bulan melalui aplikasi media sosial (WeChat) kepada ibu bapa.

Keputusan utama

Semua kajian dan inovasi penyampaian perkhidmatan yang telah dianalisis oleh kami dalam ulasan ini kelihatan selamat: tidak ada satu kajian pun yang telah melaporkan bahawa ia membawa kepada sebarang peristiwa-peristiwa yang tidak diingini atau memudaratkan kepada kanak-kanak atau penjaga mereka.

Rawatan psiko-tingkah laku

• Keputusan daripada satu kajian telah menunjukkan bahawa selepas tiga bulan rawatan, remaja yang telah menerima psikoterapi berkumpulan boleh mengalami pengurangan secara sedikit untuk sawan setiap bulan berbanding remaja yang tidak menjalani terapi.
• Bukti daripada dua kajian tidak menunjukkan terdapat perbezaan dalam kekerapan sawan antara kanak-kanak yang menerima rawatan tambahan dan mereka yang tidak.
• Kami tidak tahu sama ada mana-mana rawatan yang menambahbaikan kualiti hidup kanak-kanak disebabkan bukti sangat tidak pasti. Satu kajian tidak mengukur hasil ini.

Rawatan minda-badan

• Tidak jelas sama ada yoga menyebabkan lebih ramai kanak-kanak bebas daripada sawan selepas tiga bulan.
• Kajian yoga tidak mengukur kualiti hidup kanak-kanak.

Pendekatan penyampaian perkhidmatan

• Kami sangat tidak pasti sama ada pendekatan perkhidmatan yang dipimpin oleh ahli farmasi memberi sebarang perbezaan kepada kekerapan sawan.
• Kami juga tidak mengetahui sama ada kualiti hidup keseluruhan kanak-kanak bertambah baik selepas dua bulan. Kualiti hidup telah dinilai oleh penjaga dewasa, bukan kanak-kanak mereka sendiri.
• Kajian yang menawarkan sokongan melalui aplikasi WeChat hanya melaporkan kebimbangan dan kemurungan ibu bapa, bukan kawalan sawan atau kualiti hidup keseluruhan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai sedikit sehingga tiada keyakinan terhadap bukti disebabkan terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan hasil yang kami minati, dan semua kajian adalah kecil. Mereka telah menguji beberapa jenis rawatan/ pendekatan berbeza, yang dijalankan dalam pelbagai cara, dan mengukur kekerapan sawan dan kualiti hidup secara berbeza. Kebanyakan bukti berkaitan dengan kesan jangka pendek sehingga tiga bulan.

Kajian masa depan harus menangani batasan bukti semasa.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah (USM).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Fleeman N, Mayer J, Huang Y, Nevitt SJ, Panebianco M, Hill RA, Doherty AJ, Wilson N, Boland P, Clegg AJ, Bilsborough H, Williams EJ, Shaw EJ, Maden M, Kelly R, Marson AG. Service delivery, behavioural, and self-management interventions for children with epilepsy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD015287. DOI: 10.1002/14651858.CD015287.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan