Langkau ke kandungan utama

Adakah terdapat risiko dalam memberikan rawatan anti-kanser di rumah pesakit dan adakah ianya kos efektif?

Mesej utama

1. Berbanding dengan menerima terapi anti-kanser intravena (terus ke dalam vena (IV)) di klinik pesakit luar hospital, kami tidak pasti sama ada terapi yang sama di rumah mempengaruhi pengurusan kesan tidak diingini, kemasukan ke hospital atau lawatan ke jabatan kecemasan selepas terapi, dan komplikasi saluran IV.

2. Orang yang menerima rawatan di rumah mungkin lebih cenderung kepada rawatan akan datang di rumah selepas menerima rawatan di sana, berbanding dengan kecenderungan peserta untuk rawatan akan datang di klinik pesakit luar hospital selepas menerima rawatan di sana.

3. Pemberian terapi anti-kanser IV di rumah, berbanding dengan di klinik pesakit luar hospital, mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kos rawatan, daripada perspektif sistem penjagaan kesihatan.

Apakah itu terapi anti-kanser, dan bagaimana ianya diberikan?

Terapi anti-kanser ialah rawatan perubatan untuk menghentikan atau melambatkan penularan kanser atau untuk merawat kesakitan dan simptom kanser dan meningkatkan kualiti hidup. Kemoterapi dan imunoterapi adalah rawatan biasa anti-kanser untuk pesakit kanser dewasa. Ia boleh diberikan melalui rongga mulut atau di bawah kulit (secara subkutaneus), atau 'secara intravena' (IV), terus ke dalam vena menggunakan jarum atau tiub. Terapi anti-kanser IV biasanya diberikan setiap minggu hingga setiap 4 minggu selama 4 hingga 24 bulan. Sesi rawatan berlangsung antara 20 minit dan beberapa jam. Ia biasanya diberikan di jabatan pesakit luar hospital. Menjalani beberapa pusingan terapi IV adalah membebankan bagi orang dengan kanser.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sekiranya pemberian terapi anti-kanser IV di rumah atau di dalam komuniti dan bukannya di hospital menyebabkan lebih sukar untuk mengurus kesan tidak diingini (seperti tindak balas alahan), menjadikan lebih ramai orang dimasukkan ke hospital atau melawat jabatan kecemasan dalam masa 48 jam selepas rawatan, dan jika terdapat lebih banyak masalah dengan 'saluran IV' - tiub yang digunakan untuk memberikan ubat - seperti jangkitan. Kami juga berminat dengan lokasi rawatan manakah yang lebih disukai oleh pesakit, penjaga dan pakar klinikal, dan sama ada ianya lebih mahal untuk memberikan rawatan yang sama di rumah daripada di hospital.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan pemberian terapi anti-kanser IV yang sama di rumah, di klinik pesakit luar hospital, atau di dalam komuniti (contohnya, di klinik pengamal am (GP)). Kajian tidak perlu memberikan maklumat tentang kos rawatan. Kami membanding dan meringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan saiz kesan.

Apakah yang kami dapati?

Kami menemui 7 kajian melibatkan 401 peserta dengan pelbagai jenis kanser, yang berusia antara 60 hingga 70 tahun. Kesemua 7 kajian membandingkan rawatan di rumah dengan rawatan di klinik pesakit luar hospital, dan 1 kajian juga melibatkan rawatan di klinik GP tempatan.

Keputusan utama

Berbanding dengan memberikan terapi anti-kanser IV di klinik pesakit luar hospital, kami tidak pasti tentang kesan memberikan terapi yang sama di rumah terhadap kesan tidak diingini, kemasukan ke hospital dan lawatan ke jabatan kecemasan dalam masa 48 jam selepas rawatan, dan terhadap masalah dengan saluran IV.

Mereka yang dirawat di rumah mungkin lebih cenderung kepada rawatan akan datang di rumah berbanding mereka yang dirawat di hospital lebih cenderung kepada rawatan akan datang di hospital. Daripada 100 peserta yang dirawat di hospital, 57 lebih cenderung kepada rawatan akan datang di hospital, manakala 92 orang daripada 100 yang dirawat di rumah lebih cenderung kepada rawatan akan datang di rumah (berdasarkan data daripada 1 kajian).

Rawatan di rumah dibandingkan dengan rawatan di hospital mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kos untuk penyedia penjagaan kesihatan. Kajian melaporkan kos dalam mata wang tempatan mereka, yang kami tukarkan kepada dolar Australia (AUD) 2022 untuk perbandingan. Purata kos setiap rawatan hospital ialah AUD 3419; rawatan yang sama di rumah berharga AUD 126 kurang (data daripada 2 kajian dengan 80 orang).

Satu kajian juga menyelidik rawatan di klinik GP tempatan. Kami tidak pasti sama ada rawatan di rumah berbanding dengan rawatan di klinik GP tempatan mempengaruhi pengurusan kesan tidak diingini dan kehadiran ke jabatan kecemasan dalam masa 48 jam selepas rawatan. Rawatan sambungan di rumah mungkin atau mungkin tidak disukai oleh mereka yang awalnya dirawat di rumah berbanding dengan rawatan sambungan di klinik GP yang lebih disukai oleh mereka yang awalnya dirawat di sana. Rawatan di rumah dibandingkan dengan rawatan di klinik GP tempatan mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kos rawatan. Kajian ini tidak memberikan data mengenai kemasukan ke hospital atau masalah dengan saluran IV.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti kerana kajian-kajian yang kami temui berusia lebih daripada 10 tahun dan mungkin tidak relevan dengan amalan semasa. Orang dalam kajian mengetahui rawatan mana yang mereka terima, dan bukan semua orang yang memulakan kajian kekal hingga selesai. Tidak semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami ingin ketahui, dan kadangkala bukti yang ada tidak berkait langsung. Secara keseluruhan, bukti adalah berdasarkan beberapa kajian yang agak kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 16 Oktober 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Grobler L, O'Connor D, Rischin D, Putrik P, Karnon J, Rischin KJ, McKenzie BJ, Ben Ami N, Whale R, Buchbinder R. Delivery of intravenous anti-cancer therapy at home versus in hospital or community settings for adults with cancer. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD014861. DOI: 10.1002/14651858.CD014861.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan